Sekurang-kurangnya seorang maut selepas hujan lebat berhari-hari membawa banjir besar di Albania, kata polis pada Sabtu, agensi berita AP melaporkan.
Menurut AP, keadaan kekal sukar di kawasan luar bandar, termasuk perkampungan selatan Dushar, di mana 30 keluarga dilaporkan terkandas kerana banjir menyebabkan jalan masuk tidak dapat dilalui.
Polis dilapor berkata, mayat seorang wanita berusia 76 tahun ditemui selepas paras air surut di perbandaran tenggara Devoll yang dinaiki air.
Anak lelakinya telah melaporkan dia hilang dan pencarian yang dilakukan oleh askar pada Jumaat gagal menemuinya.
Pihak berkuasa percaya dia mungkin telah dihanyutkan arus deras.
Hujan menyebabkan sungai Vjosa dan Seman melimpah tebing dan membanjiri kawasan pertanian yang luas.
Sungai Vjosa mengalir melalui selatan Albania manakala Seman mengalir melalui dataran rendah Myzeqeja.
Agensi Perlindungan Awam dilapor berkata bahawa di wilayah barat laut Lezha kira-kira 220 hektar (544 ekar) tanah masih ditenggelami air.
Terdapat kebimbangan keadaan mungkin bertambah buruk kerana lebih banyak hujan diramalkan dalam beberapa hari akan datang, dengan Pasukan Kecemasan Awam kekal bersiap sedia.
















































