Sekurang-kurangnya lima orang dilaporkan terkorban selepas gempa bumi luar pesisir berukuran 7.8 magnitud yang melanda selatan Filipina, menurut seorang pegawai bencana tempatan, lapor Xinhua.
Agripino Dacera, ketua pengurusan bencana di bandar General Santos, berkata pihak berkuasa masih mengesahkan tahap kematian dan kerosakan.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina berkata gempa bumi tektonik itu berlaku pada jam 7:37 pagi waktu tempatan pada kedalaman 33 km, dengan pusat gempa 32 km barat daya pantai bandar Maasim di wilayah Sarangani di Pulau Mindanao, dekat General Santos, dengan populasi kira-kira 700,000 orang, lapor Xinhua.
Institut itu berkata, gelombang tertinggi yang direkodkan mencapai 1.4 meter, menurut Xinhua, media tempatan melaporkan sesetengah bangunan runtuh dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik. Gegaran dirasai di wilayah jiran.
Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos mengarahkan usaha tindak balas dan pemantauan bencana di seluruh kawasan terjejas dan menggesa penduduk berpindah ke kawasan lebih tinggi untuk pemindahan.



























