Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan 14 lagi cedera dalam kejadian tembakan awal Sabtu di sebuah asrama di ibu kota pentadbiran Afrika Selatan, Pretoria, kata polis tempatan, menurut Xinhua.
Brigadier Athlenda Mathe, jurucakap Perkhidmatan Polis Afrika Selatan (SAPS), dilapor berkata 10 mangsa meninggal dunia di tempat kejadian di Saulsville, Atteridgeville, dan seorang lagi meninggal dunia akibat luka tembak kemudian di hospital, manakala 14 lagi sedang menerima rawatan perubatan.
Mangsa termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan dua remaja berusia 12 dan 16 tahun, tambahnya.
Menurut SAPS, tembakan berlaku kira-kira jam 4:15 pagi waktu tempatan (0215 GMT), apabila sekurang-kurangnya tiga lelaki bersenjata yang tidak dikenali menyerbu bangunan itu dan melepaskan tembakan secara rambang.
Pihak berkuasa masih belum mengesahkan motif serangan itu. SAPS dilapor berkata siasatan intensif sedang dijalankan dan menggesa penduduk supaya terus berwaspada ketika polis meneruskan usaha untuk menangkap pelaku.
















































