Kedutaan Rusia di Belgium berkata pada Ahad, ia sedang mendapatkan penjelasan mengenai situasi berkenaan kapal tangki minyak Ethera, yang telah ditawan oleh Belgium di Laut Utara di luar pantai Perancis, menurut berita Anadolu.
Menurut Anadolu, dalam satu kenyataan di Telegram, misi diplomatik itu berkata, ia tidak menerima sebarang pemberitahuan rasmi daripada pihak berkuasa Belgium mengenai penangkapan atau kewarganegaraan kru kapal terbabit.
“Tiada pemberitahuan rasmi daripada pihak berkuasa Belgium kepada Kedutaan Rusia mengenai fakta dan sebab penahanan kapal tangki minyak Ethera di Laut Utara pada 1 Mac 2026. Kami juga tidak diberikan sebarang maklumat mengenai komposisi nasional krunya,” menurut kenyataan itu.
Kedutaan itu menambah bahawa ia sedang mengambil langkah yang perlu untuk menentukan sama ada warga Rusia berada di atas kapal dan untuk memastikan hak undang-undang mereka jika disahkan.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Belgium Theo Francken mengumumkan sebuah kapal tangki minyak telah dirampas di Laut Utara dan diiringkan ke pelabuhan Zeebrugge pada malam Sabtu. Menurutnya, pihak berkuasa Belgium merancang untuk merampas kapal terbabit, lapor Anadolu.
















































