Moscow mendakwa pada Jumaat ia menguasai dua lagi penempatan di Ukraine ketika perang Rusia-Ukraine bakal memasuki tahun kelima bulan depan, menurut laporan Anadolu.
Kementerian Pertahanan Rusia dilapor mendakwa bahawa pasukannya di wilayah Donetsk telah menawan penempatan Zakitne, yang terletak kira-kira 25 kilometer (15.5 batu) di timur bandar Sloviansk.
Sloviansk merupakan salah satu kubu terakhir Ukraine di wilayah timur, selain Kramatorsk, pusat pentadbiran wilayah itu, sejak Moscow menawan bandar Donetsk pada 2014.
Menurut laporan Anadolu, kementerian itu selanjutnya mendakwa bahawa pasukannya di wilayah tenggara Zaporizhzhia telah menawan kampung Olenokostiantynivka, yang terletak kira-kira 9 kilometer (5.6 batu) di barat laut pekan barisan hadapan Huliaipole.
Rusia mendakwa ia menawan pekan itu lewat bulan lalu, walaupun Ukraine telah menafikan dakwaan terbabit, menurut Anadolu.
Menurut laporan Anadolu, Staf Am Ukraine mendakwa dalam satu kenyataan pagi bahawa pasukannya menangkis lima serangan Rusia dekat tiga penempatan di barisan hadapan Sloviansk, termasuk Zakitne, serta menangkis 30 serangan dekat enam penempatan di barisan hadapan Huliaipole, termasuk Olenokostiantynivka, yang dipanggil oleh kenyataan Rusia sebagai Zhovtnevoe.
Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Ukraine dilaporkan masih belum mengulas mengenai dakwaan baru ini.
















































