Rumah Putih menghantar mesej peribadi “tegas” kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menekankan bahawa serangan Israel di Gaza merupakan pelanggaran perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Presiden Donald Trump, menurut satu laporan pada Isnin, lapor Anadolu.
Sumber yang bercakap dengan Axios berkata mesej itu susulan pembunuhan Israel terhadap Raed Saad, timbalan komander sayap tentera Hamas, dalam serangan di bandar Gaza pada hujung minggu yang mengorbankan empat orang secara keseluruhan, menurut Anadolu.
Anadolu mengatakan, menurut laporan itu, seorang pegawai kanan AS berkata mesej Rumah Putih kepada Netanyahu ialah, “Jika anda ingin merosakkan reputasi anda dan menunjukkan bahawa anda tidak mematuhi perjanjian, silakan saja, tetapi kami tidak akan membenarkan anda merosakkan reputasi Presiden Trump selepas beliau menjadi perantara perjanjian di Gaza”.
Pegawai AS dilaporkan berkata kerajaan Israel tidak memaklumkan atau berunding dengan Washington sebelum serangan itu, lapor Anadolu.
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, ketua Hamas di Gaza, Khalil al-Hayya mengesahkan Saad terkorban dalam serangan Israel itu, lapor Anadolu.
Saad menjadi sasaran beberapa percubaan pembunuhan Israel sehingga dia kehilangan nyawanya dalam serangan udara pada Sabtu.
Serangan itu berlaku meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa di Gaza pada 10 Oktober.
Tentera Israel telah berulang kali melanggar gencatan senjata, membunuh sekurang-kurangnya 391 rakyat Palestin dan mencederakan 1,063 yang lain sejak perjanjian itu, lapor Anadolu.
















































