Perbadanan nuklear negara Rusia, Rosatom, akan kekal di Iran walaupun terdapat konflik di Timur Tengah dan komited terhadap persetujuannya untuk membina dua unit lagi di loji nuklear Bushehr, kata ketuanya Alexei Likhachev, lapor Aljazeera.
Rosatom, yang membina unit 1-gigawatt pertama loji kuasa nuklear tunggal Iran di Bushehr, telah memindahkan sebahagian kakitangannya dan menggantung kerja pembinaan unit baharu selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Feb.
Kira-kira 450 pekerja Rosatom masih berada di tapak terbabit, kata Likhachev, selepas 150 orang kembali ke Rusia melalui Armenia minggu ini.
“Pembinaan unit kedua dan ketiga kekal antara keutamaan syarikat. Sudah tentu bukan masanya untuk pergi. Apa yang berlaku di Timur Tengah hanyalah sebahagian daripada mozek global,” Rosatom memetik Likhachev sebagai berkata.
Perjanjian dua hala antara Rusia dan Iran membenarkan pembinaan sehingga lapan unit nuklear, empat daripadanya di Bushehr.























