Suruhanjaya Palestin menuduh pihak berkuasa penjara Israel menghalang tahanan daripada berpuasa “pada waktu tepat” semasa bulan puasa Ramadan yang suci, lapor berita Anadolu.
Menurut Anadolu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu malam, Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Palestin berkata, pihak berkuasa di Penjara Ofer di bandar Ramallah di Tebing Barat enggan memaklumkan tahanan mengenai waktu solat subuh dan maghrib untuk membolehkan tahanan memulakan dan berbuka puasa.
“Banduan menjalani Ramadan tanpa sahur (makan sebelum subuh), manakala iftar (makan berbuka puasa) bertukar menjadi dugaan yang panjang,” kata Khaled Mahajneh, seorang peguam suruhanjaya itu, kepada radio rasmi Voice of Palestine, menurut Anadolu.
Dia dilapor berkata, tahanan Palestin di Penjara Gilboa di utara Israel tidak dimaklumkan mengenai permulaan bulan puasa Ramadan, bulan paling suci dalam kalendar lunar Islam.
Menurutnya, seorang banduan mengetahui mengenai permulaan Ramadan semasa menghadiri sesi mahkamah Israel.
“Selama lebih dua tahun, tahanan Palestin terpaksa hanya makan sisa makanan untuk berbuka puasa,” Mahajneh dipetik berkata.
“Pendudukan cuba memadamkan kegembiraan tahanan Palestin dalam majlis keagamaan, dan sengaja menjadikan kegembiraan keluarga mereka tidak lengkap dan menyakitkan atas penderaan dan penyeksaan anak-anak lelaki mereka di sebalik jeriji besi,” tambahnya.
Lebih 9,300 rakyat Palestin kini ditahan di penjara Israel, termasuk 350 kanak-kanak, dan mereka menghadapi penyeksaan, kebuluran, dan pengabaian perubatan yang telah menyebabkan kematian berpuluh-puluh orang, menurut organisasi hak asasi manusia Palestin dan Israel, lapor Anadolu.
















































