Sekurang-kurangnya lima anggota polis, termasuk seorang pegawai kanan, dan dua orang awam terbunuh dalam serangan militan di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa di Pakistan, kata seorang pegawai pada Selasa, menurut berita Anadolu.
Militan menyerang sebuah kenderaan polis di kawasan Kohat di Khyber Pakhtunkhwa, kata Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi dalam satu kenyataan, lapor Anadolu.
Semasa serangan itu, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Asad Mehmood dan empat anggota polis terkorban, tambahnya.
Menurut laporan Anadolu, pegawai polis daerah Kohat Shehbaz Elahi dalam satu kenyataan berkata, dua orang awam juga terbunuh dan tiga yang lain cedera dalam serangan itu.
Sepanjang minggu lalu, sekurang-kurangnya 16 anggota keselamatan, termasuk seorang pegawai kanan tentera, terkorban dalam pertempuran dan operasi keselamatan menentang militan di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa dan barat daya Balochistan.
Menurut tentera, 53 militan juga terbunuh semasa operasi dan serangan ini.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Pakistan telah menyaksikan peningkatan keganasan, dengan pengeboman dan serangan yang menyasarkan anggota keselamatan, penguatkuasa undang-undang dan kemudahan kerajaan di Khyber Pakhtunkhwa dan Balochistan.
















































