Myanmar menutup sementara Lapangan Terbang Myitkyina di ibu kota Negeri Kachin untuk penerbangan akibat kerosakan yang dialami selepas serangan dron minggu lalu, kata Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara pada Selasa, menurut berita Anadolu.
“Pada masa ini, disebabkan kerosakan pada apron di lapangan terbang, NOTAM (Notis kepada Juruterbang) telah dikeluarkan untuk menggantung sementara operasi penerbangan di Lapangan Terbang Myitkyina,” kata Majlis, menurut kenyataan diterbitkan dalam akhbar milik kerajaan Global New Light of Myanmar, lapor Anadolu.
Militan bersenjata Tentera Kemerdekaan Kachin (KIA) dan Angkatan Pertahanan Rakyat (PDF), sayap bersenjata Kerajaan Perpaduan Negara, menyerang pesawat penumpang Myanmar National Airlines dengan dron berani mati di Lapangan Terbang Myitkyina pada 20 Februari ketika pesawat itu sedang bersiap sedia untuk berlepas ke Mandalay, menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan, tengah dan belakang pesawat, kata majlis itu, menurut laporan Anadolu.
Usaha sedang dijalankan untuk menyambung semula operasi penerbangan biasa, kata majlis itu.
Pertembungan etnik telah meningkat ketika negara itu masih diliputi konflik sivil selepas rampasan kuasa tentera Februari 2021.
Pengambilalihan tentera pada tahun 2021 telah menggulingkan kerajaan pilihan raya yang diketuai oleh Liga Demokrasi Kebangsaan Aung San Suu Kyi dan menjerumuskan negara itu ke dalam pemerintahan darurat selama lebih empat tahun. Darurat secara rasminya berakhir Julai lalu.
Myanmar juga mengadakan pilihan raya dalam tiga fasa antara 28 Disember tahun lalu dan 25 Januari.
Lebih 6,000 orang telah terbunuh dan hampir tiga juta kehilangan tempat tinggal sejak pengambilalihan tentera akibat pertempuran antara junta dan kumpulan pembangkang, menurut pemantau hak asasi manusia, lapor Anadolu.
















































