Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengisytiharkan kawasan sempadan dengan Mesir sebagai zon tentera tertutup, memetik kebimbangan keselamatan, berita Anadolu memetik laporan media tempatan pada Khamis.
“Kami mengisytiharkan perang. Sesiapa yang memasuki kawasan larangan akan dicederakan,” kata Katz semasa perbincangan lewat Rabu, seperti yang dipetik oleh penyiar awam KAN.
Radio Tentera Darat dilapor berkata, menteri pertahanan bersetuju dengan Ketua Shin Bet, David Zinni, untuk mengklasifikasikan dakwaan percubaan menyeludup senjata melalui sempadan dengan Mesir sebagai “ancaman pengganas” untuk membantu perkhidmatan keselamatan “menggunakan alat yang sesuai untuk memeranginya”.
Menurut Yedioth Ahronoth, menteri pertahanan mengarahkan “untuk menyerang mana-mana entiti tanpa kebenaran yang menyusup masuk ke kawasan larangan”.
Menurut Anadolu, akhbar harian itu mendakwa keputusan itu dibuat selepas apa yang dipanggilnya “operasi penyeludupan senjata besar-besaran” di sepanjang sempadan.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tentera Israel dilaporkan berulang kali mendakwa telah menggagalkan percubaan penyeludupan senjata melalui dron, tanpa menyatakan pihak-pihak di sebalik operasi yang didakwa ini.
















































