Seorang lelaki dipercayai membunuh ibu, isteri dan dua anak perempuan sebelum membunuh diri di sebuah rumah di Taman Cherating Damai, Kuantan, hari ini, menurut BH Online.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, dilapor berkata empat mayat ditemukan dalam sebuah bilik dan mayat seorang wanita dengan kesan berlumuran darah ditemukan di dapur kediaman terbabit.
Dilaporkan semua mayat ditemukan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang juga adik kepada suspek utama, selepas terdengar kekecohan di kediaman berkenaan.
Dia dilapor berkata, mayat terbabit membabitkan seorang lelaki berusia 32 tahun, isterinya berusia 28 tahun, dua kanak-kanak perempuan anak pasangan terbabit berusia tiga dan empat tahun serta nenek kanak-kanak terbabit berusia 53 tahun.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pagi ini, suspek utama dipercayai membunuh isteri dan dua anak dalam sebuah bilik.
“Suspek kemudian disyaki membunuh ibunya di dapur dan membunuh diri dalam bilik dan mayatnya ditemukan bersama isteri dan dua anaknya.
“Terdapat kesan kelar di beberapa bahagian badan setiap mangsa dan polis sudah menemui pisau dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu,” dia dilapor berkata pada sidang media.
















































