Lebih 200 orang terbunuh minggu ini dalam runtuhan di lombong coltan Rubaya di timur Republik Demokratik Congo, lapor Reuters memetik Lumumba Kambere Muyisa, jurucakap gabenor dilantik pemberontak di wilayah tempat lombong itu terletak, yang memberitahunya pada Jumaat.
Rubaya menghasilkan sekitar 15% coltan dunia, yang diproses menjadi tantalum, logam tahan haba yang mendapat permintaan tinggi oleh pembuat telefon bimbit, komputer, komponen aeroangkasa dan turbin gas, menurut Reuters, tapak itu, tempat penduduk tempatan menggali secara manual dengan harga beberapa dolar sehari, telah berada di bawah kawalan kumpulan pemberontak AFC/M23 sejak 2024.
Runtuhan itu berlaku pada Rabu dan jumlah sebenar masih belum jelas sehingga petang Jumaat, menurut laporan Reuters.
“Lebih 200 orang menjadi mangsa tanah runtuh ini, termasuk pelombong, kanak-kanak dan wanita pasar. Beberapa orang diselamatkan tepat pada masanya dan mengalami kecederaan parah,” kata Muyisa, sambil menambah bahawa kira-kira 20 orang yang cedera sedang dirawat di kemudahan kesihatan.
“Kita sedang berada di musim hujan. Tanahnya rapuh. Tanah itulah yang runtuh ketika mangsa berada di dalam lubang itu.”
Seorang penasihat gabenor berkata jumlah kematian yang disahkan adalah sekurang-kurangnya 227 orang, menurut Reuters, dia bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana dia tidak dibenarkan untuk memberi taklimat kepada media.
Menurut Reuters, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan AFC/M23 telah merompak kekayaan Rubaya untuk membantu membiayai pemberontakannya, yang disokong oleh kerajaan negara jiran Rwanda, satu dakwaan yang dinafikan oleh Kigali.
Pemberontak bersenjata berat, yang tujuannya dinyatakan adalah untuk menggulingkan kerajaan di Kinshasa dan memastikan keselamatan minoriti Tutsi Congo, menawan lebih banyak wilayah yang kaya dengan mineral di timur Congo semasa kemaraan kilat tahun lalu.
















































