Menteri Pertahanan Turki Yasar Guler pada Selasa membincangkan usaha mencari dan menyelamat dengan rakan sejawatnya dari Georgia dan Azerbaijan selepas sebuah pesawat kargo tentera Turki terhempas di sempadan Georgia-Azerbaijan, lapor Anadolu.
Guler membincangkan usaha menyelamat dengan Menteri Pertahanan Azerbaijan Zakir Hasanov dan Ketua Staf Am Azerbaijan Karim Valiyev, serta Menteri Pertahanan Georgia Irakli Chikovani, Kementerian Pertahanan Turki dilaporkan sebagai berkata.
Terdahulu pada hari itu, sebuah pesawat kargo tentera C-130 Turki yang dalam perjalanan dari Azerbaijan terhempas di Georgia.
Menurut Kementerian Pertahanan Turki, pesawat itu membawa 20 orang, termasuk kru penerbangan, dan usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan.
Kementerian itu kemudian mengumumkan bahawa “pasukan mencari dan menyelamat Georgia sampai ke bangkai pesawat pada jam 5 petang” sambil menambah bahawa bangkai pesawat itu telah diamankan untuk pemeriksaan oleh pasukan penyiasatan nahas Turkiye.
















































