Kedutaan Turki di Mexico menggesa warga Turki supaya berhati-hati susulan operasi keselamatan persekutuan dan pergolakan berikutnya di beberapa negeri Mexico, lapor berita Anadolu.
Menurut Anadolu, dalam satu kenyataan yang disiarkan di X, kedutaan itu berkata ia sedang memantau rapi perkembangan yang berlaku pada Ahad di negeri Jalisco, Michoacan, Guanajuato, Tamaulipas, Aguascalientes dan Zacatecas.
Kedutaan menasihati rakyat Turki supaya sentiasa berwaspada, mengambil langkah berjaga-jaga maksimum untuk keselamatan mereka dan mengikuti arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Ia berkata kedutaan boleh dihubungi melalui talian kecemasan di +52 557 917 7785.
Pasukan keselamatan persekutuan Mexico pada Ahad menjalankan operasi ketenteraan yang menyasarkan Kartel Generasi Baharu Jalisco di peam Tapalpa, kira-kira 130 kilometer (80 batu) di selatan Guadalajara, ibu kota negeri Jalisco. Laporan mengatakan ketua kartel El Mencho terbunuh semasa pertempuran itu.
Susulan operasi itu, banyak sekatan jalan raya dan insiden pembakaran kenderaan dan perniagaan telah dilaporkan di Jalisco dan negeri-negeri lain, yang digambarkan sebagai kemungkinan tindakan balas oleh organisasi jenayah itu.
Kerajaan negeri Jalisco menggesa penduduk untuk kekal di rumah, menggantung pengangkutan awam dan mengaktifkan “amaran merah” di tengah-tengah ancaman terhadap keselamatan awam.
Keganasan telah meningkat di beberapa negeri di Mexico sejak kebelakangan ini.

















































