Kebiadaban terhadap wanita di Gaza tidak menerima reaksi yang sepatutnya, kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Selasa, Anadolu melaporkan.
“Identiti pelaku dan mangsa sekali lagi menentukan nada tindak balas,” Erdogan dilapor berkata pada satu acara di ibu negara Ankara, menandakan Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita.
Menurut Anadolu, Erdogan berkata tekanan ke atas Israel tidak sepadan dengan beratnya jenayah dilakukannya.
Dia dilapor berkata: “Dua pertiga daripada 70,000 rakyat Palestin yang mati syahid dalam genosid Gaza, malangnya, wanita dan kanak-kanak. Ini adalah angka yang membimbangkan bagi mereka yang mempunyai hati nurani.”
“Kami akan mempertahankan apa yang betul tanpa mengira identiti penindas atau yang ditindas, dan kami akan menyuarakan kebenaran dengan lantang di setiap platform,” presiden Turki itu dilapor berkata, sambil menambah bahawa mereka yang mendasari reaksi mereka pada identiti mangsa dan pelaku adalah bersubahat dalam penindasan dan ketidakadilan seperti mereka yang melakukan jenayah.
“Namun, setiap serangan ke atas nyawa, harta dan maruah wanita adalah tindakan tidak berperikemanusiaan yang mesti ditentang tanpa sebarang keraguan. Memerangi perbuatan ini adalah kewajipan kita antara satu sama lain sebagai manusia,” kata Erdogan.
“Kami tidak merestui isu kemanusiaan seperti keganasan terhadap wanita digunakan sebagai makanan untuk pertempuran ideologi atau sebagai alat dalam peperangan wilayah (turf wars),” tambahnya.
Erdogan dilapor berkata, keganasan terhadap manusia, terutama terhadap wanita dan kanak-kanak, adalah pengkhianatan terhadap kemanusiaan itu sendiri, sambil menambah: “Sesiapa yang mengangkat tangan terhadap seorang wanita telah menggelapkan kedua-dua tangannya dan hati nuraninya.”
“Sebagai presiden dan bapa kepada dua anak perempuan, saya akan terus berada di barisan hadapan dalam memerangi keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak, seperti yang selalu saya lakukan,” tegas Erdogan.
















































