Tentera Myanmar menafikan membunuh orang awam dalam serangan udara baru-baru ini ke atas sebuah hospital di negeri Rakhine yang menyebabkan lebih 30 orang terkorban, lapor Anadolu memetik media kerajaan pada Sabtu.
Junta tentera berkata dalam satu kenyataan, hospital besar di Mrauk-U, yang terletak di barat negeri Rakhine dekat sempadan Bangladesh, telah ditutup secara rasmi oleh kerajaan pada Julai 2024 selepas Tentera Arakan (AA) mengambil alih kawasan itu susulan pengunduran pasukan keselamatan akibat pertempuran sengit, Anadolu memetik akhbar harian Global New Light of Myanmar.
“Pengganas AA berlindung di hospital itu dan menubuhkan kem mereka, mengambil kesempatan daripada penampilan hospital itu untuk berlindung,” kenyataan itu dilapor sebagai berkata.
AA, yang ditubuhkan pada tahun 2009, ialah kumpulan pemberontak etnik Buddha dari Negeri Rakhine Myanmar, menurut Anadolu.
Menurut laporan Anadolu, tentera mengesahkan ia menyasarkan bangunan itu dalam serangan udara baru-baru ini, mendakwa ia digunakan oleh AA dan kumpulan lain sebagai kem pangkalan.
“Mereka yang terbunuh atau cedera bukanlah orang awam, tetapi pengganas dan penyokong mereka,” kata junta, menurut laporan Anadolu.
Pada Rabu, sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh dan 76 cedera, termasuk 27 dalam keadaan kritikal, selepas pasukan junta mengebom bangunan hospital awam di pekan Mrauk-U di Negeri Rakhine, menurut Anadolu.
PBB dilaporkan mengutuk serangan udara itu pada Khamis. Jurucakap PBB, Farhan Haq, dilapor berkata: “Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan bahawa ini adalah serangan ke-67 yang disahkan ke atas kemudahan kesihatan di Myanmar tahun ini.”

















































