Jumlah kematian akibat kapal karam di Filipina minggu lalu meningkat kepada 39 orang pada Ahad, menurut berita Anadolu memetik laporan Agensi Berita Filipina.
Pengawal Pantai Filipina (PCG) dilapor berkata, tiga mayat ditemui pada Ahad ketika operasi mencari dan menyelamat M/V Trisha Kerstin 3 yang karam diteruskan.
“Jumlah kematian telah meningkat kepada 39 orang, manakala jumlah mangsa yang terselamat kekal pada 316 orang,” kata PCG.
M/V Trisha Kerstin 3 sedang dalam perjalanan ke Pulau Jolo di wilayah Sulu sebelum ia tenggelam di perairan Pulau Baluk-Baluk, Basilan. Kapal itu mengeluarkan isyarat kecemasan sekitar jam 1.50 pagi (1750GMT) pada 25 Januari, empat jam selepas ia berlepas dari Pelabuhan Bandar Zamboanga di hujung barat daya Mindanao.
Filipina, yang terdiri daripada 7,000 pulau, mempunyai sejarah panjang kemalangan feri yang membawa maut disebabkan oleh bot dan kapal yang murah dan tidak dikawal selia dengan baik.
















































