Jesus mungkin menjawab doa tetapi dia belum membuat penampilan khas di sebuah pekan kecil di utara Perancis, kata Vatican pada Rabu, berita Reuters melaporkan.
Dalam arahan baharu yang diluluskan oleh Paus Leo, pejabat doktrin tertinggi Vatican dilaporkan berkata, kisah-kisah penampakan Jesus di pekan Dozule, di Normandy, tidak boleh dianggap tulen oleh 1.4 bilion penganut Katolik dunia.
Seorang ibu Katolik di pekan itu telah melaporkan melihat Jesus sebanyak 49 kali sepanjang tahun 1970-an, dan berkata dia telah menyebutkan (dictated) beberapa siri mesej dan memberitahunya (ibu Katolik itu) supaya membina salib setinggi 7.38 meter (24.21 kaki) di lereng bukit di pekan itu.
“Fenomena penampakan yang didakwa … harus dianggap, secara muktamad, sebagai bukan berasal dari ghaib, dengan semua akibat yang timbul daripada penentuan ini,” kata teks dikeluarkan oleh pejabat doktrin, lapor Reuters.
Penganut Katolik percaya tokoh agama seperti Jesus dan Mary boleh membuat penampilan ghaib, yang dipanggil penampakan, untuk menawarkan mesej keagamaan, mewujudkan amalan kebaktian baharu atau membuat rayuan umum untuk keamanan.
Vatican mempunyai proses penilaian formal untuk menilai dakwaan kemunculan, dan ia memberi amaran terhadap penggunaan fenomena yang didakwa untuk keuntungan kewangan, lapor Reuters.
Menurut Reuters, Vatican juga baru-baru ini mengeluarkan dekri yang menjelaskan gelaran yang boleh digunakan oleh penganut Katolik untuk Mary.
Teks itu mengatakan bahawa Mary tidak boleh dipanggil “penebus bersama” dunia, kerana umat Katolik percaya bahawa Jesus sahaja yang menebus manusia melalui penyaliban dan kematiannya.
Penampakan terkenal yang diluluskan oleh Vatikan termasuk kemunculan Mary di Mexico sebagai Our Lady of Guadalupe pada tahun 1531 dan kemunculan Jesus kepada sister Poland, Faustina Kowalska pada tahun 1930-an, lapor Reuters.
“Salib tidak memerlukan 738 meter keluli atau konkrit untuk diiktiraf, ia diangkat setiap kali hati, yang digerakkan oleh rahmat, membuka dirinya untuk pengampunan,” Vatikan dilapor berkata pada Rabu mengenai dakwaan kemunculan di Dozule.
Arahan itu juga menyatakan bahawa kemunculan Jesus yang dilaporkan telah mengatakan bahawa dunia akan berakhir sebelum tahun 2000. “Jelas sekali, ramalan yang didakwa ini tidak dipenuhi,” katanya.
















































