Lebih seminggu selepas pengambilalihan bandar El Fasher, Sudan oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF), hukuman mati ringkas dan keganasan seksual terhadap orang awam dilaporkan berterusan, kata aktivis kemanusiaan PBB pada Isnin, berita Xinhua melaporkan.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) dilapor berkata, PBB menerima laporan yang boleh dipercayai mengenai jenayah terhadap orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, dari dalam ibu kota negeri Darfur Utara yang terkurung.
“Beratus-ratus orang awam, termasuk pekerja kemanusiaan, dilaporkan terbunuh, manakala sebilangan besar masih terperangkap di dalam bandar dengan sedikit atau tiada komunikasi dengan dunia luar,” OCHA dilapor berkata.
“Penyampaian bantuan menyelamatkan nyawa masih disekat oleh RSF, bertentangan dengan kewajipannya di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk memudahkan laluan bantuan tersebut yang cepat dan tanpa halangan.”
Menurut Xinhua, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) melaporkan, hampir 71,000 orang telah melarikan diri dari El Fasher dan kawasan sekitarnya sejak kejatuhan bandar itu pada 26 Oktober, kebanyakannya ke kem-kem yang terlalu sesak di pekan Tawila, 40 kilometer jauhnya, sementara ramai pendatang baru melaporkan pembunuhan, penculikan dan keganasan seksual di sepanjang jalan.
Keadaan di Tawila sangat teruk, dengan keluarga tinggal di tempat terbuka atau di tempat perlindungan sementara, stok makanan habis dan air bersih terhad, OCHA dilapor berkata.
“PBB dan rakan kongsinya menyediakan bantuan kecemasan – termasuk makanan harian, penjagaan kesihatan, air, sanitasi, pemakanan dan sokongan psikososial – tetapi usaha ini hanya meliputi sebahagian kecil daripada keperluan disebabkan oleh kekangan dana.”
Keganasan di wilayah Kordofan juga telah meningkat dengan mendadak, mencetuskan perpindahan besar-besaran dan penderitaan orang awam, pejabat itu dilapor berkata, sambil menyatakan bahawa pelanggaran berat, termasuk dakwaan hukuman mati ringkas terhadap orang awam, telah dilaporkan di kawasan Bara, Kordofan Utara.
IOM dilapor berkata, antara 26 dan 31 Oktober, kira-kira 37,000 orang telah kehilangan tempat tinggal dari Bara, Um Rawaba dan kampung-kampung sekitarnya.
Orang awam menghadapi peningkatan keadaan tidak selamat, kekurangan makanan dan kemusnahan infrastruktur asas.
Dengan hanya tinggal dua bulan lagi dalam setahun, pelan tindak balas 2025 untuk Sudan hanya dibiayai 28 peratus, dengan 1.17 bilion dolar AS diterima daripada 4.16 bilion dolar yang diperlukan, kata OCHA, menyeru pembiayaan segera dan fleksibel untuk menyokong berjuta-juta orang yang terperangkap dalam konflik Sudan.
















































