Seramai 448 penduduk Israel menyerbu pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki pada Khamis, hari pertama pembukaannya semula selepas ditutup sejak 28 Februari lalu, menurut berita Anadolu.
Menurut Anadolu, seorang pegawai dari Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis, yang meminta namanya dirahsiakan, memberitahunya “448 penduduk (peneroka) menyerbu pekarangan masjid semasa waktu pagi dan selepas solat zuhur.”
Saksi mata dilapor berkata, penduduk masuk melalui Bab al-Magharibah di sebelah barat pekarangan itu, di bawah pengawalan ketat polis Israel.
Menurut mereka, pencerobohan itu disertai dengan pelanggaran, termasuk nyanyian kuat, tarian, dan doa.
Polis Israel telah menutup pintu pagar masjid pada 28 Feb, dengan alasan perlunya mencegah perhimpunan semasa perang dengan Iran, selaras dengan arahan tentera.
Sejak itu, akses ke tapak terbabit telah dihadkan kepada pengawal masjid dan beberapa pekerja Jabatan Wakaf Islam.
Kawasan itu dibuka semula pada waktu fajar pada Khamis, dengan ratusan jemaah Islam menunaikan solat.
Menurut Anadolu, saksi juga berkata polis Israel menahan tiga jemaah Islam dari dalam kawasan tanpa memberikan alasan.
Tahun ini, pihak berkuasa juga menghalang solat Aidilfitri daripada diadakan di tapak terbabit, menandakan sekatan pertama seumpamanya sejak pendudukan Israel di Baitulmaqdis Timur pada 1967, menurut Anadolu.
Pihak berkuasa Israel juga menutup Gereja Makam Suci, salah satu tapak paling suci Kristian di Baitulmaqdis, dalam tempoh yang sama.
























