Hampir satu daripada lapan pembeli dalam talian di Jerman menjadi mangsa kedai palsu di internet sejak dua tahun lalu, menurut laporan dikeluarkan pada Khamis oleh Persekutuan Organisasi Pengguna Jerman (VZBV), lapor Xinhua.
Kajian itu, berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh institut tinjauan Forsa antara 1 dan 12 September tahun ini, dalam kalangan 1,503 orang berumur 14 tahun ke atas, mendapati kedai dalam talian palsu, yang sering direka bentuk untuk kelihatan sangat asli, menerima bayaran untuk barangan yang tidak pernah sampai kepada pelanggan.
Menurut kajian itu, hampir 70 peratus pengguna yang telah membeli-belah dalam talian dalam tempoh dua tahun lalu berkata mereka telah menemui laman web yang kelihatan meragukan atau palsu, dan 51 peratus melaporkan telah menemui laman web sedemikian beberapa kali.
Aduan pengguna mengenai kedai dalam talian palsu dilaporkan melonjak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2024, agensi perlindungan pengguna mencatatkan lebih daripada 10,000 aduan, menandakan peningkatan 47 peratus dari 2023, lapor Xinhua.
Dalam tiga suku pertama tahun 2025, lebih 8,000 aduan dilaporkan telah difailkan.
VZBV dilaporkan berkata, platform dalam talian utama seperti Google dan Meta mesti mengambil tanggungjawab yang lebih besar untuk memerangi penipuan dalam talian, dengan menyatakan separuh daripada kedai palsu diperiksanya telah meletakkan iklan di platform ini.
“Mereka yang mengaut keuntungan daripada pengiklanan tidak boleh mengelak daripada tanggungjawab mereka,” ahli lembaga VZBV, Ramona Pop dilapor berkata.
















































