Kumpulan militan Palestin Hamas pada Selasa menyerahkan mayat seorang daripada dua tebusan terakhir yang masih berada di Gaza, kata Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa, di bawah syarat perjanjian gencatan senjata Oktober, lapor Reuters.
Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilapor berkata dalam satu kenyataan, bahawa tentera Israel di Gaza telah menerima apa yang disifatkan sebagai “penemuan” yang akan dibawa ke Israel untuk ujian forensik.
Menurut Reuters, dua tebusan yang berbaki itu ialah pegawai polis Israel, Ran Gvili dan warga Thailand, Sudthisak Rinthalak, kedua-duanya diculik semasa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang melanda dua tahun perang dahsyat di Gaza.
Terdahulu, serangan udara Israel membunuh seorang lelaki Palestin, yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan sebagai wartawan bebas Mahmoud Wadi, di Khan Younis di selatan Jalur Gaza, lapor Reuters.
Seorang pegawai kanan tentera Israel dilapor memberitahu Reuters bahawa Wadi telah mengambil bahagian dalam serangan Hamas pada Oktober 2023, memetik fotograf. Reuters mengatakan tidak serta-merta dapat mengesahkan secara bebas kenyataan pegawai itu.
Seorang lagi wartawan Palestin cedera dalam serangan Israel, kata pihak berkuasa Gaza, menurut Reuters.
Kemudian, perkhidmatan Pertahanan Awam Palestin berkata, bedilan kereta kebal Israel melanda sebuah rumah di pinggir bandar Gaza, membunuh dua orang dan mencederakan 15 yang lain, lapor agensi berita itu.
















































