Briged Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, dan Briged al-Quds, sayap bersenjata Jihad Islamik, pada Selasa menyerahkan mayat seorang lagi warga Israel kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Jalur Gaza, menurut sumber Palestin dan Israel, Xinhua melaporkan.
Sumber Hamas dilapor memberitahu Xinhua bahawa anggota Briged al-Qassam dan Briged al-Quds “menyerahkan mayat seorang tawanan Israel, yang ditemui pada Isnin di kawasan utara kem pelarian Al-Nuseirat di tengah Gaza”.
Saksi mata dan sumber tempatan di Gaza dilapor berkata, pasukan ICRC menerima mayat itu dan dalam perjalanan untuk memindahkannya ke pihak Israel.
Sementara itu, tentera Israel dan agensi keselamatan Shin Bet mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa mayat seorang tebusan, salah seorang daripada tiga terakhir yang masih berada di Gaza, sedang dipindahkan pada Selasa ke Palang Merah di enklaf itu, lapor Xinhua.
Juga pada Selasa, kementerian kesihatan yang berpangkalan di Ramallah dilapor berkata, seorang lelaki Palestin terbunuh oleh tembakan tentera Israel di selatan Jenin di utara Tebing Barat.
“Kami dimaklumkan… kematian Sultan Nidal Abdul Aziz yang berusia 22 tahun, yang ditembak oleh tentera Israel di kawasan Marka di selatan Jenin,” kementerian itu dilapor sebagai berkata dalam satu kenyataan.
















































