Pemimpin Cuba dan Colombia membantah serangan tentera AS yang dilaporkan di Venezuela pada Sabtu, lapor Anadolu.
“Cuba mengecam dan menuntut reaksi segera daripada komuniti antarabangsa terhadap serangan jenayah AS ke atas Venezuela,” kata Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel di X, menurut Anadolu.
Beliau dilapor berkata, rantau itu “diserang secara kejam” dan menyifatkannya sebagai “keganasan negara terhadap rakyat Venezuela yang berani dan terhadap Amerika Kita”.
Presiden Colombia Gustavo Petro juga dilaporkan melahirkan kebimbangan terhadap laporan letupan dan aktiviti udara yang luar biasa di Venezuela dan peningkatan ketegangan yang terhasil.
Beliau menolak “sebarang tindakan ketenteraan unilateral yang akan memburukkan lagi keadaan atau membahayakan penduduk awam”, lapor Anadolu.
Venezuela menuduh AS menyerang lokasi awam dan tentera di Caracas dan bandar-bandar lain, lapor Anadolu.
Menurut laporan Anadolu, Fox News memetik pegawai AS, melaporkan tentera AS menyerang Venezuela, walaupun tiada pengesahan rasmi lagi mengenai serangan itu dari Washington.
Menteri Luar Venezuela Yvan Gil dilapor berkata, negara itu “menolak, mengutuk, dan mengecam … pencerobohan tentera yang sangat serius”.
Presiden Nicolas Maduro menandatangani dan mengarahkan pelaksanaan dekri yang mengisytiharkan Keadaan Gangguan Luar di seluruh wilayah negara, lapor Anadolu.
















































