• Pasukan keselamatan Pakistan bunuh 23 militan di barat laut dekat sempadan Afghanistan

    Pasukan keselamatan Pakistan membunuh sekurang-kurangnya 23 militan semasa operasi keselamatan di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa dekat sempadan Afghanistan, kata tentera pada Khamis, menurut berita Anadolu.

    Pasukan keselamatan menjalankan dua operasi berasingan di daerah Kurram dekat sempadan Pakistan-Afghanistan pada Rabu, kata Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR), sayap media tentera Pakistan, dalam satu kenyataan, menurut Anadolu.

    Tentera Pakistan telah meningkatkan operasi berasaskan perisikan mereka di beberapa daerah Khyber Pakhtunkhwa selepas serangan baru-baru ini di ibu kota Islamabad dan pelbagai bahagian wilayah itu.

    Pada Isnin, tentera dilaporkan turut membunuh sekurang-kurangnya empat militan di Bajaur, Waziristan Utara dan Dera Ismail Khan.

    Sehari sebelum itu, ISPR berkata tentera membunuh sekurang-kurangnya 23 militan dalam dua pertempuran besar di daerah Bajaur dan Bannu.

    Pada Ahad, sekurang-kurangnya 15 lagi militan dilaporkan terbunuh semasa operasi di daerah Dera Ismail Khan dan Waziristan Utara.

    Minggu lalu, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di luar Kompleks Kehakiman di ibu negara Pakistan, Islamabad, membunuh sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan hampir tiga dozen yang lain.

    Terdahulu, militan menyerang Kolej Kadet di wilayah Wana di daerah puak Waziristan Selatan dekat sempadan Afghanistan.
    Pasukan keselamatan menggagalkan serangan itu dan membunuh semua lima militan yang memasuki kolej selepas pengebom berani mati memusnahkan pintu utama.

  • Israel kata pesawat ke-1,000 bawa bekalan ketenteraan Barat mendarat sejak perang ke atas Gaza bermula

    Kementerian Pertahanan Israel berkata pada Rabu, pesawatnya yang ke-1,000 dalam pengangkutan udara Barat yang berterusan sejak permulaan genosid Gaza telah mendarat di negara itu, menjadikan jumlah kargo ketenteraan yang dihantar sejak 8 Okt, 2023 kepada lebih 120,000 tan, lapor Anadolu.

    Pengumuman itu dibuat ketika AS terus menyokong Tel Aviv semasa perang Gaza, dengan beberapa kerajaan Barat mengkritik tindakan Israel dan mengenakan sekatan ke atas eksport senjata.

    Sepanyol mengeluarkan dekri diraja pada September mengenakan sekatan senjata penuh ke atas Israel, manakala tahun lepas UK, Jerman, dan Kanada mengenakan had pemindahan senjata.

    “Pesawat ke-1,000 dalam operasi pengangkatan udara peralatan ketenteraan dan senjata yang komprehensif, yang bermula sejurus selepas meletusnya perang, telah mendarat di Israel,” kata satu kenyataan kementerian, menyifatkan operasi itu “belum pernah berlaku” dalam sejarah Israel, lapor Anadolu.

    Pesawat itu, yang membawa penghantaran besar peralatan ketenteraan, diterima oleh Ketua Pengarah Kementerian Pertahanan Mej Jeneral Amir Baram, kementerian itu dilapor sebagai berkata.

    “Sehingga kini, lebih 120,000 tan peralatan ketenteraan, amunisi, sistem senjata dan peralatan perlindungan telah dipindahkan ke Israel melalui 1,000 pesawat dan kira-kira 150 kapal maritim,” tambah kenyataan itu.

    Kenyataan itu tidak menyatakan asal usul penghantaran yang tepat. Bagaimanapun, ia berkata operasi itu diuruskan bersama oleh Direktorat Perolehan Kementerian Pertahanan, melalui Unit Pengangkutan Pertahanan Antarabangsa, misi kementerian di AS dan Berlin, Direktorat Perancangan dan Pembinaan Pasukan tentera, dan Tentera Udara Israel.

    Laporan Oktober oleh Quincy Institute for Responsible Statecraft yang berpangkalan di Washington berkata AS telah menyediakan Israel dengan sekurang-kurangnya $21.7 bilion bantuan ketenteraan sejak bermulanya genosid di Gaza dua tahun lalu, lapor Anadolu.

    Selepas 7 Okt 2023, AS membekalkan $17.9 bilion bantuan ketenteraan semasa tempoh bekas Presiden Joe Biden, dan $3.8 bilion di bawah Presiden semasa Donald Trump, menurut laporan itu. Sebahagian daripada bantuan itu telah pun disampaikan, manakala selebihnya akan tiba pada tahun-tahun akan datang, menurut Anadolu.

    Laporan itu berkata Israel tidak akan dapat meneruskan genosid di Gaza tanpa sokongan AS.

    Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh hampir 70,000 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mencederakan lebih 170,000, dan menjadikan sebahagian besar kawasan itu menjadi runtuhan.

  • Belgium rancang untuk larang semua perisa vape kecuali tembakau untuk lindung anak muda

    Belgium sedang bersedia untuk melarang semua perisa vape kecuali tembakau dalam usaha menghalang golongan muda daripada menjadi ketagih kepada nikotin, Menteri Kesihatan Frank Vandenbroucke mengumumkan pada Rabu, berikutan cadangan baharu daripada Majlis Kesihatan Tertinggi, berita Anadolu melaporkan.

    Vandenbroucke berkata, e-rokok berperisa sengaja direka untuk menarik minat kanak-kanak dan menutup potensi bahaya vape, Anadolu memetik laporan agensi berita Belga.

    Tinjauan nasional terkini menunjukkan peningkatan mendadak dalam vape dalam kalangan murid sekolah di Belgium, dengan hampir satu pertiga telah mencuba e-rokok. Penggunaan mingguan dalam kalangan orang muda kini empat kali lebih tinggi daripada lima tahun lalu, menurut laporan Anadolu.

    Kerajaan masih belum mengumumkan bila larangan itu akan dikuatkuasakan, lapor Anadolu.

    Vandenbroucke dilapor berkata, dia berhasrat untuk melaksanakannya “secepat mungkin”.

    Sekatan yang dirancang itu berikutan dasar awal yang menyasarkan golongan muda merokok, termasuk larangan ke atas vape pakai buang dan pengehadan merokok di kawasan yang sering dikunjungi golongan muda.

  • Seorang rakyat Palestin terbunuh dalam serangan dron Israel di Abasan al-Kabira, Khan Younis

    Seorang lelaki Palestin terbunuh pada Khamis di pekan Abasan al-Kabira, timur Khan Younis di selatan Jalur Gaza, lapor agensi berita Palestin WAFA.

    WAFA mengatakan, menurut sumber tempatan, dron Israel menyasarkan lelaki terbabit di Abasan al-Kabira, mengakibatkan kematiannya.

    Mayatnya dipindahkan ke Kompleks Perubatan Nasser.

    Pada Rabu, 33 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, terbunuh dalam beberapa siri serangan udara Israel di seluruh Jalur Gaza, menurut WAFA.

    Angka kematian di Jalur Gaza telah meningkat kepada 69,513, majoritinya kanak-kanak dan wanita, dengan 170,745 cedera, sejak permulaan serangan Israel pada Oktober 2023, menurut WAFA.

  • 13 maut selepas bas terbabas ke dalam sungai di tengah Kemboja

    Tiga belas orang maut dan 24 lagi cedera selepas sebuah bas merempuh rel jambatan dan terjunam ke dalam sungai di wilayah Kampong Thom, tengah Kemboja awal Khamis, kata seorang pegawai polis tempatan, menurut berita Xinhua.

    Kemalangan maut itu berlaku di jalan nasional di daerah Santuk kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan, Siv Sovanna, timbalan ketua polis daerah Santuk dilapor berkata.

    “Tiga belas orang, termasuk lapan wanita, disahkan meninggal dunia, manakala 24 yang lain cedera,” dia dilapor berkata kepada Xinhua melalui telefon.

    “Memandu mengantuk adalah kemungkinan besar punca kemalangan itu.”

    Mereka yang cedera telah dikejarkan ke hospital sejurus selepas kemalangan itu, dia dilapor berkata, sambil menambah bahawa semua mangsa adalah warga Kemboja.

    Angka kematian akibat kemalangan jalan raya kekal tinggi di negara Asia Tenggara itu. Dalam sembilan bulan pertama 2025, kira-kira 1,062 orang telah terbunuh dalam kemalangan jalan raya, dan 2,256 yang lain cedera, menurut laporan kerajaan, lapor Xinhua.

  • Gempa bumi 6.1 magnitud landa Seram, Indonesia

    Gempa bumi dengan magnitud 6.1 menggegarkan Seram, Indonesia pada Khamis, kata Pusat Penyelidikan Geosains Jerman GFZ, berita Xinhua melaporkan.

    Pusat gempa bumi, dengan kedalaman 131.6 km, pada mulanya ditentukan pada 3.84 darjah lintang selatan dan 128.39 darjah bujur timur.

  • Penyelidik di Australia temui cara baharu untuk sasar kanser darah agresif

    Penyelidik di Australia menemui cara baharu untuk membunuh sel kanser dalam leukemia myeloid akut (AML), salah satu bentuk kanser darah yang paling agresif dan sukar dirawat, lapor Xinhua.

    Pasukan mendapati sel AML, terutama sel stem yang mendorong kambuh (berulang, jatuh sakit lagi), bergantung pada molekul biasa yang dipanggil heme untuk terus hidup dan terus membiak.

    Apabila proses ini disekat, sel-sel kanser mati melalui bentuk kematian sel yang baru dikenal pasti dikenali sebagai cuproptosis, menurut kenyataan Pusat Kanser Peter MacCallum Australia pada Khamis, lapor Xinhua.

    “Dengan menyekat sel AML daripada menghasilkan heme, kita boleh menghidupkan cuproptosis, satu bentuk kematian sel yang unik, dan secara berkesan membunuh sel yang paling bertanggungjawab menyebabkan kanser berulang,” Alexander Lewis, penyelidik pasca doktoral di Peter Mac dilapor berkata.

    “Kami telah menemui kelemahan asas dalam sel AML… Ini membuka pintu kepada terapi baharu yang berpotensi lebih berkuasa dan tahan lebih lama,” kata Lewis, pengarang utama penyelidikan, yang diterbitkan dalam Cell dan dijalankan dengan pelbagai institut penyelidikan Australia.

    Setiap tahun, kira-kira 900 orang Australia didiagnosis dengan AML, dengan separuh kambuh selepas keredaan dan kelangsungan hidup median untuk pesakit kambuh antara empat dan enam bulan, kata penyelidik.

    “Penemuan ini boleh membawa kepada rawatan baharu yang bukan sahaja membunuh sel AML tetapi juga menghalang penyakit itu daripada datang kembali selepas terapi awal,” kata Lewis sambil menambah ia “mungkin berkesan walaupun dalam AML yang telah menjadi tahan terhadap ubat standard”.

    Kajian itu juga mengenal pasti laluan metabolik tambahan untuk digabungkan dengan strategi penyekatan heme untuk meningkatkan keberkesanan rawatan, kenyataan itu dilapor sebagai berkata.

  • Sekurang-kurangnya 25 penduduk Gaza terbunuh, 77 cedera dalam serangan udara Israel walaupun gencatan senjata

    Sekurang-kurangnya 25 rakyat Palestin terbunuh dan 77 lagi cedera dalam serangan udara Israel di Jalur Gaza pada Rabu, kata Kementerian Kesihatan, menandakan pelanggaran baru perjanjian gencatan senjata yang rapuh dilaksanakan sejak bulan lalu, menurut berita Anadolu.

    Kenyataan kementerian itu mengatakan sesetengah orang awam yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

    Tentera Israel melancarkan beberapa siri serangan di beberapa kawasan di Gaza pada petang Rabu. Tentera mendakwa serangan itu adalah sebagai tindak balas kepada tembakan yang menyasarkan pasukannya di Rafah di selatan Gaza, menurut laporan Anadolu.

    Jurucakap Pertahanan Awam Mahmoud Basal dilapor berkata, serangan Israel menyasarkan beberapa kawasan di Jalur Gaza sejak petang.

    Basal berkata, serangan bermula dengan tembakan meriam menyasarkan sebuah rumah di kejiranan Shujaiya di bandar Gaza, membunuh seorang pemuda Palestin.

    Satu lagi serangan melanda perhimpunan awam di kawasan kejiranan yang sama, membunuh seorang lagi orang awam dan mencederakan berpuluh yang lain, tambahnya.

    Pesawat perang Israel turut menyerang ibu pejabat Kementerian Wakaf Gaza di kejiranan Zeitoun di bandar Gaza, membunuh lima orang, termasuk seorang wanita hamil dan seorang budak perempuan, jurucakap itu dilapor berkata.

    Di selatan Gaza, tiga rakyat Palestin terbunuh, dan beberapa lagi cedera dalam serangan Israel ke atas sekumpulan orang awam di Khan Younis, jurucakap itu dilapor berkata.

    Anadolu melaporkan, menurut seorang korespondennya, serangan itu menyasarkan kawasan dari mana tentera Israel berundur di Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Okt.

    Kumpulan Palestin Hamas mengecam serangan Israel sebagai “pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan” dan “peningkatan berbahaya yang melaluinya penjenayah perang (Perdana Menteri Benjamin) Netanyahu berusaha meneruskan genosid terhadap rakyat kami”.

  • Ukraine kata angka kematian akibat serangan Rusia ke atas Ternopil meningkat kepada 25 orang

    Sekurang-kurangnya 25 orang, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh dan 73 yang lain cedera selepas serangan Rusia melanda bangunan kediaman di bandar Ternopil di barat Ukraine pada pagi Rabu, kata pihak berkuasa, menandakan salah satu serangan paling maut dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menurut berita Anadolu.

    Perkhidmatan Kecemasan Negeri Ukraine dilapor berkata, lebih 160 penyelamat bekerja di tempat kejadian dengan kira-kira 45 unit peralatan, termasuk sistem robotik.

    Menteri Luar Andrii Sybiha mengecam serangan itu, berkata tindakan Rusia menunjukkan bagaimana “rancangan keamanannya kelihatan dalam realiti”.

    Sementara itu, Tentera Udara Ukraine dalam satu kenyataan dilapor berkata, Rusia melancarkan 48 peluru berpandu dan 476 dron dari beberapa arah, dengan sasaran utama adalah wilayah Lviv, Ternopil dan Kharkiv.

    Ia dilapor berkata, pasukan pertahanan udara menembak jatuh atau menumpaskan 483 daripada 524 aset serangan udara yang dikesan, termasuk 442 dron, 34 peluru berpandu jelajah Kh-101 dan tujuh Kalibr.

    Menurut Anadolu, pegawai tentera udara berkata serangan itu bermula pada petang Selasa dan melibatkan dron jenis Shahed, UAV jenis Gerbera dan peluru berpandu jelajah yang dilancarkan dari wilayah Rusia dan dari Crimea yang diduduki.

    Tujuh peluru berpandu dan 34 dron serangan melanda 14 lokasi, manakala serpihan yang jatuh direkodkan di enam kawasan, menurut laporan Anadolu.

    Menurut Anadolu, Rusia mendakwa tenteranya melakukan “serangan besar-besaran dengan senjata ketepatan jarak jauh” ke atas kemudahan industri ketenteraan dan tenaga Ukraine di wilayah barat.

    Kementerian Pertahanan dilapor berkata serangan itu, termasuk peluru berpandu hipersonik Kinzhal dan serangan UAV, dilakukan “sebagai tindak balas” kepada apa yang dipanggil serangan Ukraine ke atas tapak awam di Rusia.

  • Indonesia pindahkan pendaki terkandas selepas gunung berapi Semeru meletus

    Pihak berkuasa Indonesia memindahkan lebih 900 orang dan memudahkan kembali dengan selamat pada Khamis daripada 170 pendaki yang terkandas selepas letusan gunung berapi Semeru, salah satu gunung tertinggi di negara itu, lapor Reuters.

    Paras amaran dikekalkan pada tahap tertinggi selepas Semeru di pulau Jawa meletus sebanyak 10 kali pada Rabu, mengeluarkan kepulan abu yang besar dan menghantar lava dan batu sejauh 13 km (8.08 batu) menuruni cerunnya, pegawai dilapor berkata.

    Para pendaki terperangkap semalaman di kawasan perkhemahan tepi tasik di kaki gunung berapi kira-kira 6.4 km dari kawah tetapi kini dibantu untuk selamat, Septi Wardhani, pegawai di taman nasional Semeru dilapor berkata.

    “Semua pendaki bersama jurupandu mereka selamat,” Wardhani dilapor berkata kepada Reuters.

  • Angka kematian meningkat kepada 16 dalam banjir di Vietnam

    Angka kematian akibat hujan lebat dan banjir di wilayah tengah Vietnam meningkat kepada 16, dengan 5 yang lain hilang, lapor Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Dyke Vietnam pada Khamis, menurut berita Xinhua.

    Lebih 43,200 rumah masih ditenggelami air, manakala 91 lagi rosak.

    Banjir itu telah menenggelamkan lebih 10,000 hektar padi dan tanaman lain, dan membunuh atau menghanyutkan lebih 6,500 ternakan dan ayam itik, menurut laporan itu.

    Sementara itu, gangguan bekalan elektrik terus menjejaskan lebih 553,200 isi rumah, tambahnya.

  • Pemimpin Jepun harus belajar dari sejarah – Jurucakap kementerian luar Rusia

    Pemimpin semasa Jepun harus belajar daripada sejarah dan menahan diri daripada kenyataan berbahaya mengenai Taiwan, jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova dilapor berkata dalam temu bual dengan Xinhua.

    Tahun ini menandakan ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Anti-Fasis Dunia, dan dunia, terutama ahli politik, mesti mengingati pengajaran perang itu, Zakharova dilapor berkata kepada Xinhua pada Selasa.

    “Keamanan adalah perkara yang rapuh; keamanan adalah buatan manusia,” katanya sambil menambah bahawa rantau Asia-Pasifik harus dipandu oleh tindakan politik yang aman dan bertanggungjawab bertujuan untuk memelihara keamanan dan keselamatan daripada dasar yang tidak bertanggungjawab atau agresif.

    “Kami tahu bagaimana ketenteraan Jepun berakhir,” kata Zakharova.

    “Adalah baik jika ahli politik yang datang untuk mentadbir Jepun mengingati perkara ini, memahami ke mana kenyataan tidak bertanggungjawab membawanya, dan mengelak daripada membuat kenyataan itu.”

  • Menteri Luar Iran kata tidak akan terima pengayaan sifar uranium

    Iran tidak akan menerima sebarang perjanjian yang akan membawa kepada pengayaan sifar uranium di negara itu kerana ia dianggap sebagai “pengkhianatan”, kata Menteri Luar Seyed Abbas Araghchi, menurut berita Xinhua.

    “Kami sama sekali tidak akan menerima pengayaan sifar (uranium) kerana isu itu telah bertukar menjadi (perkara) kemuliaan dan kebanggaan negara,” dia dilapor berkata dalam temu bual dengan agensi berita Iran Khabar Online yang diterbitkan pada Rabu, sambil menambah negara itu telah membayar banyak kos dan melakukan banyak pengorbanan untuk mengekalkan pengayaan uraniumnya.

    Mengulas mengenai interaksi Iran dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Araghchi dilapor berkata, negara itu telah bekerjasama dengan agensi itu hanya berhubung dengan kemudahan nuklear Iran yang tidak dibom oleh Israel dan Amerika Syarikat pada Jun.

    Sejak beberapa bulan lalu, Amerika Syarikat, yang disertai oleh beberapa negara Eropah, telah menyeru Iran untuk menghentikan pengayaan uranium di buminya.

    Tehran telah berulang kali menolak permintaan itu, menegaskan haknya untuk pengayaan uranium tidak boleh dirunding.

    Iran telah menggantung kerjasama dengan IAEA sejak Jun di bawah undang-undang parlimen, memetik kegagalan agensi itu untuk mengutuk serangan Israel dan AS ke atas tapak nuklearnya dan kebimbangan mengenai keselamatan kemudahan dan saintisnya.

  • Sekurang-kurangnya 64 hilang selepas bot karam di DR Congo – media

    Sekurang-kurangnya 64 orang hilang selepas sebuah bot karam pada Isnin di Sungai Sankuru di wilayah Kasai, tengah Republik Demokratik Congo (DRC), lapor Xinhua memetik media tempatan melaporkan pada Rabu.

    Memetik pegawai tempatan, laporan itu berkata bahawa bot itu berlepas dari pelabuhan Bena Dibele di wilayah Sankuru pada 13 November, menuju ke ibu kota, Kinshasa, lebih 800 km jauhnya.

    Bot itu terbalik selepas menemui “pusaran air”, menurut laporan itu. Ia membawa kira-kira 120 orang, di mana hanya sekitar 50 orang telah diselamatkan setakat ini, manakala yang lain masih hilang. Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.

    Laluan air kekal sebagai mod pengangkutan utama di DRC, di mana kemalangan bot adalah perkara biasa disebabkan oleh muatan berlebihan dan keadaan bot yang buruk.

  • Angka kematian akibat banjir di Thailand cecah 25

    Angka kematian akibat banjir yang berterusan di seluruh Thailand mencecah 25, kata pihak berkuasa pada Rabu, ketika dianggarkan 444,000 orang di 12 wilayah kekal terjejas oleh aliran air dan limpahan sungai, lapor Xinhua.

    Menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana, kematian dilaporkan di lima wilayah, dengan 19 kematian direkodkan di Phra Nakhon Si Ayutthaya, utara Bangkok.

    Walaupun paras air stabil dan surut di kebanyakan kawasan, jabatan itu berkata bencana itu terus memberi kesan kepada lebih 132,000 isi rumah, dan bekalan bantuan, termasuk kit kelangsungan hidup dan tempat perlindungan sementara, sudah diagihkan kepada masyarakat yang ditenggelami air.

    Sementara itu, jabatan meteorologi telah mengeluarkan amaran bahawa hujan lebat sehingga Ahad boleh mengakibatkan banjir kilat dan air larian hutan di wilayah selatan.

  • 10 terbunuh, berpuluh-puluh cedera dalam serangan dron, peluru berpandu Rusia ke atas Ukraine

    Sekurang-kurangnya sepuluh orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera ketika Rusia melancarkan dron dan peluru berpandu di Ukraine semalaman hingga Rabu, lapor pihak berkuasa, menurut Xinhua.

    Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dilapor berkata di Telegram, serangan itu, yang melibatkan 470 dron tempur dan 48 peluru berpandu jelajah dan balistik, menyasarkan 10 wilayah di seluruh Ukraine.

    Di wilayah barat, Ternopil, serangan melanda bangunan pangsapuri sembilan tingkat, mencetuskan kebakaran dan menyebabkan kerosakan yang besar, Zelensky dilapor berkata.

    Xinhua melaporkan, menurut Menteri Dalam Negeri Ihor Klymenko, 10 orang terbunuh dan 37 yang lain cedera di Ternopil.

    Di bandar timur, Kharkiv, 19 dron tempur melanda dua daerah, mencederakan 46 orang dan merosakkan 40 bangunan kediaman, sebuah perusahaan pertanian, kedai, dan kemudahan lain, datuk bandar Ihor Terekhov dilapor berkata.

    Kementerian Tenaga Ukraine mengumumkan gangguan bekalan elektrik kecemasan di beberapa wilayah berikutan serangan itu, menurut laporan Xinhua.

  • Letupan gegar barat Ukraine selepas serangan peluru berpandu, dron Rusia

    Letupan menggegarkan bandar Lviv dan Ternopil di barat Ukraine pada Rabu, media Ukraine dan saksi Reuters melaporkan, selepas tentera Ukraine melaporkan serangan peluru berpandu dan dron Rusia, menurut berita Reuters.

    “Rusia sekali lagi menyerang infrastruktur tenaga kami,” Kementerian Tenaga Ukraine dilapor sebagai berkata di Telegram.
    “Pemadaman elektrik kecemasan telah diperkenalkan di beberapa wilayah di Ukraine.”

    Tahap kerosakan sepenuhnya tidak diketahui dengan segera, menurut Reuters.

    Menurut agensi berita itu, media kerajaan Ukraine melaporkan sebuah bangunan kediaman bertingkat telah dilanda di Ternopil, manakala saksi Reuters melaporkan gangguan bekalan elektrik di Lviv semasa serangan itu.

    Gabenor wilayah Maksym Kozytskyi dilapor berkata di Telegram, serangan itu merosakkan kemudahan tenaga dan melanda tapak perindustrian di wilayah Lviv tetapi tidak menyebabkan kemalangan jiwa, tanpa memberikan butiran lanjut.

  • Tentera Israel tahan kira-kira 100 rakyat Palestin dalam serbuan di Tebing Barat

    Tentera Israel menahan kira-kira 100 rakyat Palestin di pekan Beit Ummar, utara Hebron di selatan Tebing Barat yang diduduki, selepas menutup semua pintu masuk pekan itu awal Rabu, lapor Anadolu.

    Menurut laporan Anadolu, operasi itu dilakukan beberapa jam selepas seorang peneroka Israel terbunuh dan tiga lagi cedera, seorang kritikal, dalam serangan rempuh dan tikaman di persimpangan Gush Etzion di selatan Tebing Barat.

    Serangan itu dilakukan oleh dua rakyat Palestin, seorang daripada mereka dari Beit Ummar, yang ditembak mati oleh tentera Israel, lapor Anadolu.

    Pada Selasa, Kementerian Kesihatan Palestin dilapor berkata Pihak Berkuasa Hal Ehwal Awam Palestin – perhubungan rasmi dengan Israel – memaklumkan bahawa Imran al-Atrash dari Hebron dan Walid Mohammed Sabarneh dari Beit Ummar terbunuh dalam tembakan Israel dekat Bethlehem di selatan Tebing Barat.

    Tentera Israel menyerbu Beit Ummar awal Rabu dan menyerbu berpuluh-puluh rumah, termasuk rumah keluarga Sabarneh, merosakkan kandungannya, saksi dilapor berkata kepada Anadolu.

    Menurut mereka, tentera melancarkan kempen penangkapan secara meluas di pekan itu, menahan kira-kira 100 orang.

    Anadolu melaporkan, menurut saksi, tentera menjadikan stadium perbandaran itu sebagai tapak tahanan sementara dan soal siasat.

    Tentera Israel dilaporkan telah meningkatkan serangannya di Tebing Barat sejak meletusnya perang Gaza pada Oktober 2023.

  • 1 terbunuh, 11 cedera apabila dron Israel hentam kenderaan di selatan Lubnan

    Seorang lelaki terbunuh dan 11 yang lain cedera apabila dron Israel melepaskan dua peluru berpandu ke arah sebuah kereta di pekan Attiri di selatan Lubnan pada pagi Rabu, kata Kementerian Kesihatan Lubnan, menurut laporan Anadolu.

    Antara yang cedera ialah beberapa murid sekolah yang menaiki bas sedang melalui ketika kejadian, Anadolu memetik laporan Agensi Berita Nasional (NNA) milik kerajaan.

    Anadolu melaporkan, menurut NNA, bas sekolah itu bergerak betul-betul di belakang kenderaan yang disasarkan ketika serangan, menyebabkan beberapa pelajar dan pemandu bas cedera.

    Serbuan itu turut mengakibatkan kereta yang disasarkan itu terbakar. Pasukan pertahanan awam berusaha untuk memadamkan api, manakala yang cedera dipindahkan ke Hospital Salah Ghandour di Bint Jbeil.

    Serangan itu dilaporkan berlaku beberapa jam selepas sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas kem pelarian Palestin Ain al-Hilweh di bandar Sidon di selatan Lubnan.

    Tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan anggota Hamas di dalam pusat itu. Ia mendakwa kemudahan disasarkan itu digunakan untuk merancang serangan terhadap Israel.

    Kumpulan Palestin menafikan dakwaan Israel.

    Serangan di Ain al-Hilweh berlaku sejurus selepas dua serangan dron Israel sebelum ini di selatan Lubnan.

    Anadolu melaporkan, menurut laporan tempatan, dua dron Israel melanda kenderaan berasingan di bandar Bint Jbeil dan pekan Blida, membunuh dua orang.

    Tentera Israel mendakwa pada Rabu bahawa ia menghapuskan dua anggota Hizbullah dalam serangan kenderaan, mendakwa kedua-duanya “terlibat dalam aktiviti penubuhan semula Hizbullah” dan “memerhatikan pengumpulan risikan ke atas tentera Israel”, menurut Anadolu.

  • Kebakaran di barat daya Jepun merosakkan 170 rumah dan memaksa pemindahan

    Anggota bomba dan helikopter tentera bertempur dengan kebakaran pada Rabu yang membakar kejiranan di barat daya Jepun, mengorbankan seorang, mencederakan seorang lagi dan memaksa orang berpindah, menurut laporan AP.

    Seorang lelaki berusia 70-an tidak dapat dikesan dan anggota bomba kemudian menemui mayat, mungkin lelaki yang hilang itu, dan seorang wanita dalam lingkungan 50-an mengalami kecederaan ringan, AP memetik pasukan tindak balas bencana wilayah Oita.

    Sekurang-kurangnya 170 rumah telah rosak atau terbakar, pasukan itu dilapor berkata.

    Berdozen jentera bomba dan lebih 200 anggota bomba dikerah untuk memadamkan kebakaran, yang tidak dapat dikawal sepenuhnya hampir 20 jam selepas ia bermula.

    Pasukan Pertahanan Diri Darat menghantar dua helikopter tentera UH1 untuk membantu.

    Menurut AP, kebakaran bermula semasa angin kencang petang Selasa dekat pelabuhan nelayan di bandar Oita di selatan pulau utama Kyushu.

    Kebakaran merebak ke hutan, menjejaskan kira-kira 4.9 hektar (12 ekar), agensi pengurusan bomba dan bencana dilapor berkata.