• 750 kanak-kanak Sudan melarikan diri dari El-Fasher tanpa keluarga mereka di tengah-tengah keganasan

    Kira-kira 750 kanak-kanak melarikan diri dari bandar El-Fasher di barat Sudan tanpa keluarga mereka di tengah-tengah serangan oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera, Anadolu memetik kumpulan tempatan pada Sabtu.

    Dalam satu kenyataan, Jawatankuasa Penyelarasan Pelarian dan Pengungsi Darfur dilaporkan berkata, lebih 36,000 orang telah melarikan diri dari El-Fasher, ibu kota negeri Darfur Utara, disebabkan oleh keganasan yang semakin meningkat.

    Kumpulan Sudan itu menekankan bahawa keluarga-keluarga yang kehilangan tempat tinggal amat memerlukan makanan, dengan kebanyakan mereka kini tertumpu di Tawila, hampir 60 kilometer dari El-Fasher.

    Ia menyeru tekanan yang lebih tinggi ke atas RSF dan tentera untuk menguatkuasakan gencatan senjata, mengetengahkan laporan keganasan seksual terhadap orang awam yang kehilangan tempat tinggal dari El-Fasher.

    Kumpulan itu dilaporkan berkata, kebanyakan orang awam yang kehilangan tempat tinggal dari bandar itu mengalami kekurangan zat makanan teruk, dengan majoritinya adalah kanak-kanak dan warga emas.

    Menurut Anadolu, pada Rabu, pemimpin RSF, Mohamed Hamdan Dagalo (Hemedti) mengakui bahawa “pelanggaran” telah berlaku oleh pasukannya di El-Fasher, mendakwa bahawa jawatankuasa penyiasatan telah dibentuk.

    Sejak 15 April 2023, tentera Sudan dan RSF dilaporkan telah terlibat dalam peperangan yang gagal ditamatkan oleh pelbagai pengantaraan serantau dan antarabangsa.
    Konflik ini telah mengorbankan kira-kira 20,000 orang dan menyebabkan lebih 15 juta pelarian dan orang yang terlantar di dalam negara kehilangan tempat tinggal, menurut laporan PBB dan tempatan, lapor Anadolu.

  • 12 orang awam terbunuh dalam serangan oleh RSF separa tentera di Kordofan Selatan

    Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan beberapa yang lain parah apabila Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera menyerang dua tapak perlindungan orang awam yang terlantar di negeri Kordofan Selatan, berita Anadolu memetik kumpulan perubatan tempatan pada Sabtu.

    Rangkaian Doktor Sudan dilaporkan berkata tujuh orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh apabila RSF membedil sebuah kem untuk orang terlantar di kawasan al-Abbasiya Tagali di negeri itu.

    Ia berlaku sejurus selepas kumpulan pemberontak membunuh lima kanak-kanak dalam serangan dron yang menyasarkan ibu pejabat Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) di ibu kota wilayah, Kadugli.

    Rangkaian itu menyifatkan serangan itu sebagai “satu lagi jenayah yang ditambah kepada rekod pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh RSF”.

    Tiada komen segera daripada RSF mengenai serangan itu, menurut Anadolu.

    Sudan dilanda perang saudara antara tentera dan RSF sejak April 2023, menyebabkan beribu-ribu kematian dan perpindahan berjuta-juta orang.

  • Sekurang-kurangnya 13 maut dalam tanah runtuh selepas hujan lebat landa barat Kenya

    Sekurang-kurangnya 13 orang disahkan maut dan beberapa lagi hilang pada Sabtu selepas tanah runtuh dicetuskan hujan lebat melanda kampung-kampung di Elgeyo Marakwet County, barat Kenya, kata pihak berkuasa, menurut berita Xinhua.

    Kementerian Dalam Negeri dan Pentadbiran Nasional dilaporkan berkata, tanah runtuh berlaku semalaman di kawasan Endo, Sambirir dan Embobut susulan hujan lebat, memusnahkan rumah, menumbangkan pokok dan memotong jalan akses utama.

    “Setakat ini, 13 mayat telah dikeluarkan, sementara usaha mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan sukar,” kementerian itu dilaporkan berkata dalam satu kenyataan.

    Sembilan belas mangsa terselamat dilaporkan telah diselamatkan dan beberapa orang yang cedera sedang menerima rawatan di hospital tempatan.

    Operasi menyelamat telah terhalang oleh tanah runtuh yang berterusan di sepanjang laluan akses.

    Kerajaan telah mengerahkan sokongan udara, pasukan kecemasan dan responder (pasukan tindakan) pertama bagi membantu pemindahan, bantuan perubatan dan pengawasan.

    Komander Polis Daerah Elgeyo Marakwet, Zablon Okoyo dilaporkan berkata hujan lebat telah mencetuskan tanah runtuh, runtuhan batu, dan banjir di beberapa bahagian daerah itu sejak petang Jumaat.

    Menurut Okoyo, jalan raya dan rumah telah dihanyutkan, menyebabkan beberapa laluan tidak dapat dilalui, sementara kerajaan daerah telah menggerakkan ambulans dan kakitangan perubatan dari kawasan jiran untuk menyokong tindak balas.

    Persatuan Palang Merah Kenya dilaporkan berkata, pasukannya telah diaktifkan untuk menilai keadaan, menjalankan operasi menyelamat, dan menyokong keluarga terjejas.

    Jabatan Meteorologi Kenya telah memberi amaran, hujan lebat dijangka berterusan di beberapa wilayah, meningkatkan risiko banjir kilat dan tanah runtuh, terutama di kawasan berbukit dan sungai.

    Usaha sedang dijalankan bagi memulihkan rangkaian jalan raya yang musnah bagi memudahkan akses untuk operasi kecemasan dan bantuan.

    Menurut pakar cuaca, wilayah itu telah mengalami bencana serupa pada masa lalu, yang sering dikaitkan dengan peningkatan penggunaan tanah dan pemuliharaan tanah yang lemah, yang telah menyebabkan rupa bumi lebih terdedah kepada hakisan dan tanah runtuh semasa tempoh hujan lebat.