• Serangan Israel di Lubnan membunuh sekurang-kurangnya 3 orang, mencederakan 21 orang

    Menurut Al Jazeera, Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan melaporkan serangan udara Israel di kampung Aadloun di daerah Sidon di selatan Lubnan, membunuh tiga orang, termasuk dua wanita, dan mencederakan 21 yang lain.

    Serangan itu adalah satu daripada beberapa serangan yang telah membunuh lebih daripada sedozen rakyat Lubnan dalam beberapa jam lalu, menjelang gencatan senjata yang dijangka berkuat kuasa pada jam 21:00 GMT.

  • Tentera Israel kata ia serang pelancar Hizbullah selepas roket dilancarkan

    Tentera Israel berkata ia menyerang pelancar Hizbullah selepas kumpulan Lubnan itu melancarkan roket ke utara Israel, lapor Al Jazeera.

    Menurutnya, beberapa lokasi impak telah dilaporkan.

    Media Israel memetik perkhidmatan ambulans Magen David Adom sebagai berkata bahawa seorang lelaki berusia 25 tahun telah cedera parah selepas terkena serpihan akibat pintasan.

    Tentera berkata ia sedang bersedia untuk pertempuran yang dipergiatkan “berlatarbelakangkan perkembangan baru-baru ini”, merujuk kepada gencatan senjata yang akan bermula pada jam 21:00 GMT hari ini.

  • Israel serang selatan Lubnan sebelum gencatan senjata

    Tentera Israel melancarkan serangan ke atas pekan Marjayoun di Lubnan, serta kampung-kampung Sajd dan Hanaway, dan kem pelarian Palestin Burj Shemali, lapor Al Jazeera memetik Agensi Berita Kebangsaan (NNA).

    Serangan di selatan negara itu berlaku sebelum gencatan senjata 10 hari antara Israel dan Lubnan yang diumumkan sebelum ini oleh Trump yang dijadualkan bermula pada jam 21:00 GMT hari ini.

  • Bekas penjaga gol Arsenal, Alex Manninger meninggal dunia selepas keretanya dilaporkan dilanggar kereta api

    Bekas penjaga gol Arsenal dan Austria, Alex Manninger meninggal dunia selepas keretanya dilaporkan dilanggar kereta api di Salzburg pada Khamis, lapor AP.

    Manninger berusia 48 tahun dan bermain untuk beberapa kelab di Eropah, termasuk Juventus dan Salzburg. Banyak kelab memberi penghormatan di media sosial.

    “Kami meratapi bekas penjaga gol kami, Alexander Manninger, yang kehilangan nyawanya secara tragis dalam kemalangan jalan raya. Ingatan kami bersama keluarga dan rakan-rakannya. Semoga tenang di sana, Alexander,” Salzburg menyiarkan di X, lapor AP.

    Menurut AP, polis Salzburg tidak menamakan Manninger tetapi penyiar kebangsaan Austria, ORF, melaporkan dia cedera parah dalam satu kejadian di lintasan aras pada pagi Khamis waktu tempatan. AP telah menghubungi polis untuk pengesahan.

    Polis dilapor berkata, sebuah kereta dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta api semasa melintas landasan. Pemandu itu bersendirian dan pemandu kereta api tidak cedera.

    “Pada 16 April kira-kira jam 8:20 pagi, polis telah dihubungi untuk kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah kereta api tempatan dan sebuah kereta di lintasan aras di Nußdorf am Haunsberg,” polis dilapor berkata.

    “Sebaik tiba, responder kecemasan mendapati pemandu kereta itu, seorang lelaki berusia 48 tahun dari Salzburg, telah pun dikeluarkan dari kenderaan oleh responder pertama dan sedang menjalani CPR. Polis membantu usaha resusitasi, termasuk penggunaan defibrilator. Walaupun terdapat usaha selanjutnya oleh paramedik dan doktor kecemasan, resusitasi tidak berjaya. Lelaki dari Salzburg itu meninggal dunia akibat kecederaannya.”

    Manninger memenangi kejuaraan berganda Liga Perdana dan Piala FA 1998 bersama Arsenal dan juga merupakan pemenang Serie A bersama Juventus. Dia membuat 33 penampilan untuk negaranya.

    “Alexander Manninger merupakan duta hebat untuk bola sepak Austria di dalam dan di luar padang yang menetapkan penanda aras dalam kerjaya antarabangsanya dan memberi inspirasi serta membentuk begitu ramai penjaga gol muda,” kata pengarah sukan Persatuan Bola Sepak Austria, Peter Schottel, menurut AP.
    “Profesionalisme, ketenangan dan kebolehpercayaannya menjadikannya bahagian penting dalam pasukannya dan pasukan kebangsaan. Pencapaiannya patut diberi penghormatan tertinggi dan akan dikenang.”

  • Netanyahu kata tentera Israel akan kekal dalam zon keselamatan yang diperluas di selatan Lubnan walaupun gencatan senjata

    Netanyahu Israel berkata tentera Israel akan kekal dalam zon keselamatan yang diperluas di selatan Lubnan walaupun terdapat gencatan senjata, menurut berita AP.

    Dia dilapor berkata, tentera (Israel) akan kekal dalam zon sedalam 10 kilometer, “jauh lebih kuat, lebih luas dan lebih berterusan dari sebelumnya”.

    “Di situlah kami berada, dan kami tidak akan pergi.”

    Hizbullah, dalam mengulas mengenai gencatan senjata itu, berkata pendudukan Israel yang berterusan memberi hak kepada Lubnan untuk menentang.

  • 2 maut dalam serangan dron Israel di selatan Lubnan

    Menurut Al Jazeera, Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan melaporkan serangan dron Israel menghentam sebuah kereta di jalan ke pekan Zefta di Nabatieh, membunuh dua orang.

  • 8 orang awam maut dalam serangan Israel di Lubnan

    Al Jazeera memetik Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan melaporkan, pasukan Israel melakukan serangan maut di pekan Ghaziyeh di kawasan Zahrani, mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang awam.

    Sekurang-kurangnya 33 orang lain dilaporkan cedera, sementara beberapa orang masih hilang di bawah runtuhan.

  • Serangan Israel hentam ambulans di Lubnan sebelum gencatan senjata

    Menurut Al Jazeera, Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan melaporkan serangan Israel berterusan walaupun gencatan senjata dijadualkan berkuat kuasa lewat malam ini.

    Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan di Kementerian Kesihatan Awam dilapor berkata pasukan Israel menyasarkan ambulans milik Pihak Berkuasa Kesihatan di pekan Tebnine, di daerah Bint Jbeil.

    “Musuh Israel menyasarkan ambulans milik Pihak Berkuasa Kesihatan di pekan Tebnine – daerah Bint Jbeil, yang mengakibatkan dua paramedik cedera parah dan berada dalam keadaan sangat kritikal.”

    Kementerian itu mengutuk serangan itu, dengan mengatakan serangan Israel terhadap paramedik telah menjadi rutin meskipun terdapat perlindungan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

  • Ahli parlimen Hizbullah kata gencatan senjata bergantung kepada Israel menghentikan semua bentuk permusuhan

    Menurut berita Al Jazeera, ahli parlimen kanan Hizbullah Hassan Fadlallah memberitahu agensi berita Reuters bahawa sama ada kumpulan itu akan mematuhi gencatan senjata yang mungkin bergantung kepada Israel menghentikan semua bentuk permusuhan.

    Bercakap beberapa minit sebelum Trump mengumumkan gencatan senjata, Fadlallah berkata Hizbullah telah diberi taklimat mengenai kemungkinan gencatan senjata jangka pendek yang akan bermula pada malam Khamis oleh duta Iran ke Beirut.

  • Hizbullah dakwa gelombang serangan sasar tentera Israel

    Dalam berdozen kenyataan yang diterbitkan sebelum pengumuman gencatan senjata Lubnan oleh Trump, Hizbullah berkata pasukannya telah melakukan beberapa siri serangan terkoordinasi ke atas kedudukan dan tapak tentera Israel di seluruh selatan Lubnan dan utara Israel.

    Berikut adalah serangan yang dikatakan oleh Hizbullah hari ini (Khamis):

    Pangkalan Shraga di utara Acre di Israel: Apa yang digambarkan sebagai ibu pejabat pentadbiran Briged Golani telah disasarkan dengan skuadron dron serangan.

    Al-Bayada: Kedudukan artileri Israel yang baru ditubuhkan telah diserang dengan tembakan serentak roket.

    Dekat pusat tahanan Khiam: Perkumpulan askar dan kenderaan Israel telah disasarkan dengan roket.

    Al-Qantara: Serangan roket dan artileri berulang kali ke atas tentera Israel dan sebuah kenderaan termasuk serangan ke atas pekan, pinggirnya, kawasan tinggi Al-Sal’a dan kawasan sekitarnya. Sebuah kenderaan berperisai Namer telah diserang dengan peluru berpandu.

    Kawasan tinggi Al-Sal’a, Qantara: Dua kereta kebal Merkava telah disasarkan dengan peluru berpandu dengan hentaman yang disahkan.

    Projek Taybeh: Satu serangan roket besar-besaran dilancarkan ke arah tentera Israel.

    Nahariya: Bandar pesisir paling utara di Israel disasarkan dengan tembakan bertubi-tubi roket.

    Di antara Adaysah dan Rabaa Thalathin: Kedudukan artileri Israel yang baru ditubuhkan diserang dengan roket.

    Taybeh: Tentera dan kenderaan Israel disasarkan dengan roket.

    Hizbullah berkata serangan itu akan berterusan sehingga “pencerobohan Israel-Amerika” terhadap Lubnan berakhir.

  • Trump umum gencatan senjata Lubnan bermula jam 21:00 GMT malam ini

    “Saya baru sahaja berbual dengan Presiden Joseph Aoun yang amat dihormati, dari Lubnan, dan Perdana Menteri Bibi Netanyahu, dari Israel,” kata presiden AS di Truth Social, lapor Al Jazeera.

    “Kedua-dua Pemimpin ini telah bersetuju bahawa untuk mencapai keamanan antara negara mereka, mereka akan secara rasmi memulakan gencatan 10 Hari pada jam 5 petang EST,” tambah Trump.

    “Pada Selasa, kedua-dua negara bertemu buat kali pertama dalam tempoh 34 tahun di Washington, D.C., dengan Setiausaha Negara Agung kita, Marco Rubio. Saya telah mengarahkan Naib Presiden JD Vance dan Setiausaha Negara Rubio, bersama-sama Pengerusi Ketua Staf Bersama, Dan Razin’ Caine, untuk bekerjasama dengan Israel dan Lubnan bagi mencapai keamanan berkekalan.

    “Saya berbesar hati dapat menyelesaikan 9 peperangan di seluruh dunia, dan ini akan menjadi yang ke-10 saya, jadi marilah kita, selesaikan!”

  • 8 maut dalam nahas helikopter di Indonesia

    Penyelamat berkata pada Khamis, lapan orang di dalam helikopter yang hilang disahkan meninggal dunia, menurut berita Xinhua, serpihan dari helikopter itu ditemui di wilayah Kalimantan Barat, Indonesia.

  • Mahkamah Tinggi Israel sekat sementara kuasa Menteri Keselamatan Negara Ben-Gvir

    Mahkamah Tinggi Israel pada Khamis secara sementara menyekat sesetengah kuasa Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir selepas menyemak petisyen yang memohon pemecatannya atas dakwaan campur tangan dalam urusan polis, lapor Anadolu.

    “Mahkamah Tinggi hari ini mengeluarkan perintah sementara yang menyekat kuasa menteri keselamatan negara dalam beberapa bidang,” lapor Anadolu memetik penyiar awam KAN.

    Ia menambah bahawa bidang utama yang terjejas termasuk “pelantikan dalam badan penguatkuasaan undang-undang dan kenyataan berkaitan penggunaan kekerasan polis”.

    Laporan itu mengatakan bahawa “menteri tidak akan dapat meneruskan pelantikan kanan dalam jawatan penguatkuasaan undang-undang kecuali atas cadangan polis, dan dikehendaki memaklumkan penasihat undang-undang kerajaan (Gali Baharav-Miara) terlebih dahulu”.

  • Jumlah kematian rakyat Lubnan dalam serangan Israel meningkat kepada 2,196 – AP

    Kementerian Kesihatan Lubnan mengatakan antara yang terkorban ialah 260 wanita dan 172 kanak-kanak sejak perang terbaru antara Israel dan Hizbullah bermula pada 2 Mac, lapor AP, 7,185 lagi cedera.

    Peningkatan ketenteraan terbaru Israel bermula selepas Hizbullah melancarkan roket ke arah utara Israel sebagai tanda solidariti dengan sekutu utama dan penaungnya, Iran.

  • 9 terbunuh, 6 cedera dalam dua hari terakhir serangan Israel di Tyre

    Kementerian Kesihatan Lubnan berkata serangan udara Israel ke atas pekan al-Shahabiya di daerah Tyre membunuh sembilan orang dan mencederakan enam orang dalam tempoh dua hari, lapor Al Jazeera.

    Dalam satu kenyataan, kementerian itu dilapor berkata serangan pada 15 April membunuh lima orang, termasuk seorang paramedik, dan mencederakan enam orang. Serangan berasingan pada 16 April membunuh empat orang.

  • 2 maut dalam letupan tangki LPG di Filipina

    Dua orang terbunuh dan tujuh lagi cedera selepas tangki gas petroleum cecair (LPG) meletup di kawasan perumahan di bandar Dasmarinas di wilayah Cavite, selatan Manila, pada pagi Khamis, kata Biro Perlindungan Kebakaran (BFP), menurut berita Xinhua.

    Biro itu berkata letupan itu berlaku sejurus selepas jam 9 pagi waktu tempatan di sebuah rumah yang digunakan sebagai stesen pengisian semula LPG.

    Letupan itu membunuh seorang pekerja lelaki berusia 65 tahun dan seorang anak saudara pemilik perniagaan berusia 20 tahun.

    Letupan kuat itu juga mencetuskan kebakaran dan memusnahkan rumah dan kenderaan diletakkan berdekatan.

  • Seorang terbunuh dalam serangan Israel ke atas Jambatan Qasmiyeh di selatan Lubnan

    Menurut Al Jazeera, Jambatan Qasmiyeh kini terputus separuh akibat serangan terbaru Israel.

    Tentera Lubnan dilapor berkata, pasukan Israel menyasarkan dan memusnahkan jambatan pantai Qasmiyeh di Tyre pada 16 April, dalam apa yang digambarkannya sebagai sebahagian daripada pencerobohan berterusan terhadap negara itu.

    Menurut Al Jazeera, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Kebangsaan (NNA) rasmi, tentera berkata serangan itu bertujuan untuk memisahkan wilayah selatan Litani dari utara dan mengasingkannya.

    Serangan itu membunuh seorang, mencederakan dua orang, dan mencederakan seorang askar yang ditempatkan di lokasi terbabit, menurut berita Al Jazeera.

  • Wanita maut, 2 kanak-kanak cedera dalam serangan Israel di Lubnan

    Serangan udara Israel di pekan Saadiyat di daerah Chouf membunuh seorang wanita dan mencederakan dua kanak-kanak, menurut berita Al Jazeera memetik laporan Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan.

  • Rundingan Lubnan dengan Israel ‘silap besar’ – pegawai Hizbullah

    Keputusan kerajaan Lubnan untuk mengadakan rundingan langsung dengan Israel merupakan satu “kesilapan besar”, kata Hussein Hajj Hassan kepada agensi berita AFP, menurut berita Al Jazeera.

    Hassan dilapor berkata, rundingan “tidak memberi kepentingan kepada negara” dan menggesa pihak berkuasa untuk menghentikan “siri konsesi yang tidak berguna ini”.

  • 2 militan terbunuh dalam serangan di pos pemeriksaan di Balochistan Pakistan

    Dua militan dilapor terbunuh dan dua anggota keselamatan cedera dalam serangan di pos pemeriksaan Frontier Corps (FC) di wilayah Balochistan barat daya Pakistan pada Khamis.

    Serangan itu berlaku pada jam 03:45 pagi waktu tempatan (2245 GMT Rabu) di ibu kota wilayah Quetta apabila penyerang yang tidak dikenali melepaskan tembakan ke pos pemeriksaan, mendorong tindakan balas segera oleh tentera FC, lapor Xinhua memetik sumber yang memberitahunya dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

    Ketika berbalas tembak, dua penyerang dineutralkan, manakala dua askar FC mengalami kecederaan dan dipindahkan ke kemudahan perubatan berdekatan untuk rawatan, kata sumber itu.