• Iran dakwa bahagian signifikan keupayaan peluru berpandu ‘masih tidak digunakan’

    Jurucakap Kementerian Pertahanan Iran, Jeneral Reza Talaei-Nik, menyatakan bahawa “bahagian signifikan keupayaan peluru berpandu” negara itu “masih tidak digunakan”, lapor berita Al Jazeera memetik agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim.

    Dia juga berkata, angkatan tentera Iran “mengekalkan kawalan ke atas ruang udara wilayah yang diduduki sehingga detik gencatan senjata bermula”, lapor Al Jazeera memetik Tasnim.

  • Kapal pemusnah USS Rafael Peralta pintas kapal berbendera Iran – CENTCOM

    Perintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) berkata, kapal pemusnah peluru berpandu USS Rafael Peralta (DDG 115) memintas sebuah kapal berbendera Iran yang cuba belayar ke pelabuhan di Iran pada 24 April, lapor Al Jazeera.

  • IRGC Iran dilapor rampas kapal disyaki bekerjasama dengan tentera AS

    Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran merampas sebuah kapal yang disyaki bekerjasama dengan tentera AS, lapor berita Xinhua memetik agensi berita separa rasmi Tasnim pada Jumaat.

  • Tentera Kuwait kata dua dron hentam pos sempadan utara

    Tentera Kuwait berkata dua dron yang dilancarkan dari Iraq menyasarkan dua pos sempadan utara pada Jumaat, menyebabkan kerosakan, lapor Reuters.

    Namun ia mengatakan tiada korban jiwa, menurut agensi berita itu.

    Perdana menteri Iraq mengarahkan satu jawatankuasa penyiasatan untuk memeriksa serangan itu dan mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab, kata Menteri Dalam Negeri Abdul Amir al-Shammari, sambil menambah bahawa Iraq mengutuk serangan itu dalam satu panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari Kuwait, lapor Reuters.

  • Serangan Israel dilapor mengorbankan 12 orang di seluruh Gaza

    Serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin di seluruh Gaza, termasuk enam pegawai polis, lapor Al Jazeera.

    Menurut Al Jazeera, petugas perubatan berkata serangan Israel di bandar Gaza membunuh tiga orang, termasuk dua pegawai polis.

    Bedilan kereta kebal di Beit Lahiya membunuh dua lagi, sementara serangan di Khan Younis membunuh tujuh orang, termasuk empat polis.

    Kementerian dalam negeri Gaza dilapor berkata serangan hari ini (Jumaat) sengaja menyasarkan pasukan polis, melemahkan usaha untuk menjaga ketenteraman asas di wilayah terkepung itu.

    Di Khan Younis, serangan itu melanda kenderaan polis dekat dewan perkahwinan, lapor Al Jazeera memetik saksi.

    Menurut berita Al Jazeera, tentera Israel mengesahkan ia melakukan serangan di bandar Gaza meskipun gencatan senjata berulang kali dilanggar.

  • Tentera Israel kata ia ‘hapus’ 6 pejuang Hizbullah di selatan Lubnan

    Tentera Israel berkata ia “menghapuskan” enam pejuang Hizbullah dalam satu kejadian berbalas tembakan di kawasan Bint Jbeil, selatan Lubnan, menurut berita Al Jazeera.

    Hizbullah mengeluarkan dua kenyataan berasingan yang mengatakan ia menghentam sebuah kenderaan tentera Israel yang menghampiri pintu masuk pekan Qantara dan kenderaan kedua di dalam pekan.

  • Angka maut di Lubnan meningkat kepada 2,491 selepas serangan oleh Israel

    Jumlah korban sejak pertempuran antara tentera Israel dan Hizbullah meletus pada 2 Mac lalu telah meningkat kepada 2,491 orang terbunuh dan 7,719 cedera, lapor Al Jazeera memetik Kementerian Kesihatan Lubnan.

  • Kecederaan dilaporkan ketika Israel bedil pekan selatan Lubnan

    Beberapa orang cedera semasa bedilan artileri Israel melanda pekan Yater di selatan Lubnan, menurut berita Al Jazeera memetik laporan Agensi Berita Kebangsaan (NNA).

    Secara berasingan, serangan udara Israel dilaporkan di pelan selatan di Taybeh dan pinggir Bint Jbeil.

  • Netanyahu dakwa ‘kebebasan bertindak sepenuhnya’ di Lubnan meskipun gencatan senjata

    Perdana menteri Israel menyiarkan video di X yang mana dia memberikan komen pertamanya susulan pengumuman presiden AS bahawa gencatan senjata di Lubnan akan diperbaharui selama tiga minggu tambahan, lapor Al Jazeera.

    “Kami mengekalkan kebebasan bertindak sepenuhnya terhadap sebarang ancaman, termasuk ancaman yang muncul,” Al jazeera memetik The Times of Israel, yang memetiknya sebagai berkata.

    “Kami menyerang semalam dan kami menyerang hari ini. Kami bertekad untuk memulihkan keselamatan penduduk di utara.”

    Menurut Al Jazeera, Netanyahu menuduh Hizbullah “cuba mensabotaj” perjanjian gencatan senjata, meskipun tentera Israel menduduki wilayah Lubnan secara haram di selatan, kerap menyerang pekan-pekan, dan merobohkan bangunan kediaman.

  • 2 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Gaza walaupun gencatan senjata

    Dua rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera pada Jumaat dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sekumpulan orang awam di kawasan kejiranan Al-Nasr di barat bandar Gaza, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.

    Mayat dua mangsa dan beberapa orang yang cedera dibawa ke Hospital Al-Shifa susulan serangan dron yang melanda orang awam di kawasan itu.

    Serangan itu berlaku di tengah-tengah pelanggaran berterusan Israel terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Oktober 2025, susulan perang yang mengakibatkan lebih 72,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 172,000 cedera, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

  • Myanmar mengenakan darurat di 60 pekan

    Myanmar mengenakan darurat di 60 pekan di sembilan negeri dan wilayah, memindahkan kuasa meluas kepada tentera ketika pihak berkuasa berusaha untuk membendung keganasan yang berterusan, menurut berita Anadolu memetik media tempatan pada Jumaat.

    Pejabat Presiden berkata, langkah-langkah darurat, yang diisytiharkan pada Khamis, bertujuan untuk menekan pergolakan bersenjata, memulihkan kestabilan dan menguatkuasakan kedaulatan undang-undang, lapor Anadolu memetik saluran media tempatan Eleven Myanmar.

    Di bawah perintah itu, kuasa pentadbiran dan kehakiman diserahkan kepada panglima tentera.

    Kepimpinan tentera kemudiannya mewakilkan kuasa ini kepada komander serantau, memberikan mereka kawalan langsung ke atas operasi keselamatan di kawasan terjejas.

  • Hegseth kata dua kapal ‘armada gelap’ Iran dirampas

    Hegseth berkata dua kapal “armada gelap” Iran yang meninggalkan pelabuhan Iran sebelum sekatan berkuat kuasa telah dirampas.

  • UNIFIL kata askar meninggal dunia akibat luka dialami di selatan Lubnan

    Pasukan pengaman PBB di Lubnan berkata seorang askar Indonesia, Koperal Rico Pramudia, meninggal dunia akibat luka dialami apabila projektil melanda pangkalannya di Adchit Al Qusayr pada 29 Mac, lapor Al Jazeera.

    UNIFIL dilapor berkata pada masa serangan itu bahawa ia tidak mengetahui asal usul projektil yang melanda pangkalan itu, yang membunuh seorang askar lain pada masa itu.

  • Iran beri pengecualian untuk beberapa negara dalam yuran transit Hormuz – duta

    Iran memberikan pengecualian kepada beberapa negara, termasuk Rusia, dalam yuran transit untuk laluan melalui Selat Hormuz, kata Duta Iran ke Rusia, Kazem Jalali, lapor berita Xinhua memetik RIA Novosti.

    “Kami kini telah memberikan pengecualian untuk beberapa negara, tetapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, kementerian luar kami sedang cuba melaksanakan pengecualian yang dibayangkan untuk negara-negara sahabat, seperti Rusia,” kata duta itu.

    Iran telah mengumumkan rancangan untuk mengenakan yuran untuk laluan melalui Selat Hormuz berikutan serangan AS-Israel terhadap negara itu, dengan memetik kos yang berkaitan dengan memastikan keselamatan laluan air utama. Ia berkata ia telah menutup selat itu dan akan membukanya semula sebaik sahaja sekatan tentera laut AS ditarik balik sepenuhnya.

    Menurut Xinhua, Timbalan Speaker Pertama parlimen Iran Hamid Reza Haji Babaei berkata pada Khamis bahawa Iran telah menerima yuran untuk transit melalui selat itu buat kali pertama, dengan dana dipindahkan ke bank pusat negara itu.

    Selat itu, titik sempit antara Teluk Parsi dan Teluk Oman, merupakan satu-satunya saluran maritim ke lautan terbuka, dengan kira-kira 20 juta tong minyak melaluinya setiap hari sebelum perang – kira-kira satu perlima daripada penggunaan global.

  • Sekurang-kurangnya 10 cedera selepas puting beliung landa Oklahoma AS

    Sekurang-kurangnya 10 orang dilapor cedera selepas puting beliung melanda utara Oklahoma di Amerika Syarikat pada Khamis.

    Menurut berita Xinhua, puting beliung melanda bahagian Enid, sebuah bandar dengan kira-kira 50,000 orang dekat sempadan utara negeri itu, menyebabkan kerosakan ketara dan menjejaskan Pangkalan Tentera Udara Vance, kira-kira 129 km di utara bandar Oklahoma.

    Tiada laporan segera mengenai kematian, tetapi kecederaan dilaporkan beberapa jam selepas puting beliung melaluinya, menurut Pejabat Syerif Daerah Garfield, lapor Xinhua.

    Di kawasan terjejas, bumbung bangunan tercabut dan tiang elektrik tumbang, Xinhua memetik laporan media tempatan.

  • Lapangan terbang terbesar di Tehran dilapor akan sambung semula penerbangan antarabangsa mulai Sabtu

    Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini Iran akan menyambung semula penerbangan ke Istanbul di Turkiye dan ibu kota Oman, Muscat mulai Sabtu, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi berita separa rasmi Tasnim pada Jumaat.

  • Kapal pengangkut pesawat USS George HW Bush di rantau Timur Tengah

    Kapal pengangkut pesawat USS George HW Bush tiba di Timur Tengah, kata tentera AS, menjadikan bilangan kapal perang besar AS yang beroperasi di rantau itu kepada tiga, menurut berita Al Jazeera.

    Kapal pengangkut itu belayar “di Lautan Hindi di kawasan tanggungjawab Perintah Pusat AS, 23 April”, kata perintah tentera yang bertanggungjawab untuk Timur Tengah dalam catatan di X yang menyertakan imej kapal dengan deknya yang penuh dengan pesawat perang.

  • Israel dakwa bunuh dua orang ‘bersenjata’ di Aainata di selatan Lubnan

    Tentera Israel berkata pasukannya telah membunuh dua orang “bersenjata” di kampung Aainata di selatan Lubnan, meskipun gencatan senjata selama 10 hari sedang berlangsung, lapor Al Jazeera.

    Menurut Al Jazeera, kenyataannya yang diterbitkan di Telegram tidak memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya.

  • 3 terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan

    Tiga orang terbunuh dalam serangan udara Israel di jalan di pekan Shoukin di kawasan Nabatieh di selatan Lubnan, menurut berita Al Jazeera memetik laporan kementerian kesihatan negara itu.

  • Makan Nasiri, satu-satunya kanak-kanak masih hilang dari sekolah yang dibom di Iran

    Ibu bapa kepada Makan Nasiri, 7, adalah satu-satunya yang tidak dapat mengebumikan jenazah anak mereka selepas sekolahnya dibom pada hari pertama serangan AS-Israel di seluruh Iran pada 28 Februari lalu, lapor Al Jazeera.

    Washington tidak mengaku bertanggungjawab atas serangan dahsyat ke atas sekolah rendah Shajareh Tayyebeh (Pokok Baik) di Minab, bersebelahan pangkalan IRGC di wilayah Hormozgan selatan Iran.

    Tetapi bukti menunjukkan bahawa peluru berpandu Tomahawk AS mungkin digunakan dalam apa yang menjadi insiden paling dahsyat yang melibatkan orang awam sejak permulaan perang, lapor Al Jazeera.