• 2 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Gaza walaupun gencatan senjata

    Dua rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera pada Jumaat dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sekumpulan orang awam di kawasan kejiranan Al-Nasr di barat bandar Gaza, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.

    Mayat dua mangsa dan beberapa orang yang cedera dibawa ke Hospital Al-Shifa susulan serangan dron yang melanda orang awam di kawasan itu.

    Serangan itu berlaku di tengah-tengah pelanggaran berterusan Israel terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Oktober 2025, susulan perang yang mengakibatkan lebih 72,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 172,000 cedera, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

  • Myanmar mengenakan darurat di 60 pekan

    Myanmar mengenakan darurat di 60 pekan di sembilan negeri dan wilayah, memindahkan kuasa meluas kepada tentera ketika pihak berkuasa berusaha untuk membendung keganasan yang berterusan, menurut berita Anadolu memetik media tempatan pada Jumaat.

    Pejabat Presiden berkata, langkah-langkah darurat, yang diisytiharkan pada Khamis, bertujuan untuk menekan pergolakan bersenjata, memulihkan kestabilan dan menguatkuasakan kedaulatan undang-undang, lapor Anadolu memetik saluran media tempatan Eleven Myanmar.

    Di bawah perintah itu, kuasa pentadbiran dan kehakiman diserahkan kepada panglima tentera.

    Kepimpinan tentera kemudiannya mewakilkan kuasa ini kepada komander serantau, memberikan mereka kawalan langsung ke atas operasi keselamatan di kawasan terjejas.

  • Hegseth kata dua kapal ‘armada gelap’ Iran dirampas

    Hegseth berkata dua kapal “armada gelap” Iran yang meninggalkan pelabuhan Iran sebelum sekatan berkuat kuasa telah dirampas.

  • UNIFIL kata askar meninggal dunia akibat luka dialami di selatan Lubnan

    Pasukan pengaman PBB di Lubnan berkata seorang askar Indonesia, Koperal Rico Pramudia, meninggal dunia akibat luka dialami apabila projektil melanda pangkalannya di Adchit Al Qusayr pada 29 Mac, lapor Al Jazeera.

    UNIFIL dilapor berkata pada masa serangan itu bahawa ia tidak mengetahui asal usul projektil yang melanda pangkalan itu, yang membunuh seorang askar lain pada masa itu.

  • Iran beri pengecualian untuk beberapa negara dalam yuran transit Hormuz – duta

    Iran memberikan pengecualian kepada beberapa negara, termasuk Rusia, dalam yuran transit untuk laluan melalui Selat Hormuz, kata Duta Iran ke Rusia, Kazem Jalali, lapor berita Xinhua memetik RIA Novosti.

    “Kami kini telah memberikan pengecualian untuk beberapa negara, tetapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, kementerian luar kami sedang cuba melaksanakan pengecualian yang dibayangkan untuk negara-negara sahabat, seperti Rusia,” kata duta itu.

    Iran telah mengumumkan rancangan untuk mengenakan yuran untuk laluan melalui Selat Hormuz berikutan serangan AS-Israel terhadap negara itu, dengan memetik kos yang berkaitan dengan memastikan keselamatan laluan air utama. Ia berkata ia telah menutup selat itu dan akan membukanya semula sebaik sahaja sekatan tentera laut AS ditarik balik sepenuhnya.

    Menurut Xinhua, Timbalan Speaker Pertama parlimen Iran Hamid Reza Haji Babaei berkata pada Khamis bahawa Iran telah menerima yuran untuk transit melalui selat itu buat kali pertama, dengan dana dipindahkan ke bank pusat negara itu.

    Selat itu, titik sempit antara Teluk Parsi dan Teluk Oman, merupakan satu-satunya saluran maritim ke lautan terbuka, dengan kira-kira 20 juta tong minyak melaluinya setiap hari sebelum perang – kira-kira satu perlima daripada penggunaan global.

  • Sekurang-kurangnya 10 cedera selepas puting beliung landa Oklahoma AS

    Sekurang-kurangnya 10 orang dilapor cedera selepas puting beliung melanda utara Oklahoma di Amerika Syarikat pada Khamis.

    Menurut berita Xinhua, puting beliung melanda bahagian Enid, sebuah bandar dengan kira-kira 50,000 orang dekat sempadan utara negeri itu, menyebabkan kerosakan ketara dan menjejaskan Pangkalan Tentera Udara Vance, kira-kira 129 km di utara bandar Oklahoma.

    Tiada laporan segera mengenai kematian, tetapi kecederaan dilaporkan beberapa jam selepas puting beliung melaluinya, menurut Pejabat Syerif Daerah Garfield, lapor Xinhua.

    Di kawasan terjejas, bumbung bangunan tercabut dan tiang elektrik tumbang, Xinhua memetik laporan media tempatan.

  • Lapangan terbang terbesar di Tehran dilapor akan sambung semula penerbangan antarabangsa mulai Sabtu

    Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini Iran akan menyambung semula penerbangan ke Istanbul di Turkiye dan ibu kota Oman, Muscat mulai Sabtu, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi berita separa rasmi Tasnim pada Jumaat.

  • Kapal pengangkut pesawat USS George HW Bush di rantau Timur Tengah

    Kapal pengangkut pesawat USS George HW Bush tiba di Timur Tengah, kata tentera AS, menjadikan bilangan kapal perang besar AS yang beroperasi di rantau itu kepada tiga, menurut berita Al Jazeera.

    Kapal pengangkut itu belayar “di Lautan Hindi di kawasan tanggungjawab Perintah Pusat AS, 23 April”, kata perintah tentera yang bertanggungjawab untuk Timur Tengah dalam catatan di X yang menyertakan imej kapal dengan deknya yang penuh dengan pesawat perang.

  • Israel dakwa bunuh dua orang ‘bersenjata’ di Aainata di selatan Lubnan

    Tentera Israel berkata pasukannya telah membunuh dua orang “bersenjata” di kampung Aainata di selatan Lubnan, meskipun gencatan senjata selama 10 hari sedang berlangsung, lapor Al Jazeera.

    Menurut Al Jazeera, kenyataannya yang diterbitkan di Telegram tidak memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya.

  • 3 terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan

    Tiga orang terbunuh dalam serangan udara Israel di jalan di pekan Shoukin di kawasan Nabatieh di selatan Lubnan, menurut berita Al Jazeera memetik laporan kementerian kesihatan negara itu.

  • Makan Nasiri, satu-satunya kanak-kanak masih hilang dari sekolah yang dibom di Iran

    Ibu bapa kepada Makan Nasiri, 7, adalah satu-satunya yang tidak dapat mengebumikan jenazah anak mereka selepas sekolahnya dibom pada hari pertama serangan AS-Israel di seluruh Iran pada 28 Februari lalu, lapor Al Jazeera.

    Washington tidak mengaku bertanggungjawab atas serangan dahsyat ke atas sekolah rendah Shajareh Tayyebeh (Pokok Baik) di Minab, bersebelahan pangkalan IRGC di wilayah Hormozgan selatan Iran.

    Tetapi bukti menunjukkan bahawa peluru berpandu Tomahawk AS mungkin digunakan dalam apa yang menjadi insiden paling dahsyat yang melibatkan orang awam sejak permulaan perang, lapor Al Jazeera.

  • Israel dakwa dua anggota tentera udara kerana intip untuk Iran

    Israel mendakwa dua anggota tentera udara kerana didakwa bekerja untuk perisikan Iran, menurut berita Al Jazeera memetik laporan harian Israel, Haaretz.

    Menurut tentera Israel, bersama perkhidmatan perisikan dalaman Israel, Shin Bet, dan polis, kedua-dua juruteknik itu menghadapi kesalahan keselamatan yang serius, termasuk membantu musuh dan memindahkan maklumat sensitif.

    Seorang didakwa dengan hubungan langsung dengan ejen asing, manakala seorang lagi dituduh membantu hubungan sedemikian, menurut kenyataan bersama yang dipetik oleh Haaretz, lapor Al Jazeera.

    Pihak berkuasa berkata pasangan itu memberitahu penyiasat bahawa mereka pada mulanya memutuskan hubungan dengan pengendali Iran selepas enggan menjalankan tugas berkaitan senjata. Walau bagaimanapun, pegawai mendakwa mereka kemudiannya cuba menjalin semula hubungan selepas komunikasi diputuskan oleh pihak Iran.

    Al Jazeera melaporkan, menurut kementerian pertahanan Israel, seorang daripada askar “menyerahkan bahan latihan ketenteraan yang berkaitan dengan sistem jet pejuang kepada ejen Iran, bersama rakaman pemasangan dan kawasan di pangkalan tentera”.

  • Hizbullah kata ia tembak jatuh dron, sasar perkumpulan tentera Israel di selatan Lubnan

    Hizbullah mendakwa ia menembak jatuh sebuah dron Israel di Majdal Zoun, selatan Lubnan, lapor Al Jazeera.

    Kumpulan itu juga dilapor berkata, ia menyasarkan perhimpunan tentera Israel di pekan Taybeh, juga di selatan Lubnan.

  • HRW gesa siasatan terhadap pembunuhan wartawan Lubnan oleh Israel

    Human Rights Watch (HRW) menyeru siasatan terhadap kematian wartawan Lubnan Amal Khalil, yang terbunuh dalam serangan Israel pada Rabu, lapor Al Jazeera.

    “Pembunuhan wartawan Amal Khalil oleh Israel harus disiasat secara kredibel dengan tujuan ke arah keadilan dan akauntabiliti,” kata Ramzi Kaiss, penyelidik HRW di Lubnan.

    “Wartawan yang hanya membuat laporan mereka dilindungi sebagai orang awam di bawah undang-undang antarabangsa dan tidak seharusnya disasarkan secara sengaja. Menyasarkan orang awam secara sengaja adalah jenayah perang.”

    Kaiss memetik pembunuhan wartawan Lubnan Issam Abdullah pada 2023 oleh Israel, dengan menyatakan bahawa ia “diterima tanpa hukuman”, membenarkan kematian wartawan di Lubnan “berlaku berulang kali”.

  • Sekurang-kurang 5 rakyat Palestin termasuk remaja maut akibat serangan Israel di Gaza dan Tebing Barat

    Sekurang-kurangnya 5 rakyat Palestin termasuk remaja maut akibat serangan Israel di Gaza dan Tebing Barat pada Khamis.

    Agensi berita WAFA melaporkan, seorang budak lelaki Palestin berusia 15 tahun mati selepas ditembak pada Khamis oleh pasukan pendudukan Israel semasa pencerobohan tentera yang berterusan ke bandar Nablus (di Tebing Barat).

    Menurut WAFA, sumber berkata remaja itu meninggal dunia akibat cedera parah selepas kena peluru hidup di bahu.

    Awal hari ini, pasukan Israel menyerbu kawasan kejiranan Rafidia di Nablus dan melepaskan tembakan di kawasan Beit Wazan di barat, mencederakan budak lelaki itu secara kritikal, lapor WAFA, dia dibawa ke hospital berdekatan, di mana dia meninggal dunia akibat cedera parah.

    WAFA dalam siaran berita sebelumnya melaporkan, tiga orang awam Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera pada Khamis dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah kenderaan di pintu masuk ke kem Maghazi di tengah Jalur Gaza.

    Kemudian, WAFA melaporkan, seorang lelaki Palestin terbunuh dan yang lain cedera pada Khamis susulan serangan dron Israel di Khan Younis di Jalur Gaza, meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata.

  • Anak lelaki bekas Shah Iran rayu sokongan negara Barat, kritik keputusan kerajaan Jerman untuk tidak bertemu dengannya

    Anak lelaki bekas Shah merayu kepada negara-negara Barat untuk menyertai perang menentang Iran dan mengkritik keputusan kerajaan Jerman untuk tidak bertemu dengannya semasa lawatannya ke Berlin pada Khamis, menurut laporan Reuters.

    Reza Pahlavi, yang bapanya digulingkan dalam revolusi yang membawa Ayatollah Ruhollah Khomeini berkuasa pada tahun 1979, menuduh Eropah hanya berdiam diri dan membenarkan kerajaan Tehran meneruskan penindasan berdarah terhadap protes yang membunuh beribu-ribu orang pada akhir tahun lalu.

    “Persoalannya bukanlah sama ada perubahan akan datang. Perubahan sedang dalam perjalanan,” katanya pada sidang akhbar di Berlin, lapor Reuters.

    “Persoalan sebenarnya ialah berapa ramai rakyat Iran yang akan kehilangan nyawa mereka sementara komuniti demokrasi Barat terus hanya menonton.”

    Demonstrasi oleh kedua-dua, penyokong dan penentang telah diadakan di tengah Berlin dan seorang ditahan selepas Pahlavi, yang muncul, disimbah dengan sejenis cecair merah.

    Pahlavi, yang telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya dalam buangan, muncul sebagai bakal pemimpin pembangkang selepas protes anti-kerajaan meletus di Tehran dan bandar-bandar lain di Iran tahun lalu.

    Namun, pergerakan pembangkang Iran sangat berpecah belah dan banyak kerajaan Barat berhati-hati dalam menawarkan sokongan mereka kerana masih belum jelas sokongan apa yang dinikmatinya, hampir setengah abad selepas pemerintahan bapanya digulingkan.

    Negara-negara Eropah, termasuk Jerman, telah menolak untuk menyertai Amerika Syarikat dan Israel, yang memulakan perang pada 28 Februari dengan gelombang serangan udara yang membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menurut Reuters.

    Lawatan Pahlavi ke Jerman datang ketika usaha untuk menamatkan konflik itu nampaknya terhenti, dengan Iran dan Amerika Syarikat kedua-duanya mengekalkan sekatan Selat Hormuz yang penting, saluran untuk kira-kira seperlima daripada minyak dunia.

    Dia berkata adalah memalukan bahawa kerajaan Canselor Friedrich Merz tidak menawarkan pertemuan semasa lawatannya ke Jerman, lapor Reuters.

  • Israel tidak menunjukkan sebarang muhibah – Ahli Parlimen Lubnan mengenai pembunuhan wartawan Amal Khalil

    Pembunuhan wartawan Amal Khalil oleh Israel pada malam rundingan Lubnan-Israel di AS merupakan jenayah perang dan menjejaskan keseluruhan proses rundingan, kata Ahli Parlimen Lubnan bebas Najat Aoun Saliba, lapor Al Jazeera.

    “Israel tidak menunjukkan sebarang muhibah, terutama dengan pembunuhan Amal Khalil dan kecederaan Zeinab Faraj,” kata Saliba kepada Al Jazeera.

    “Kedua-dua wartawan itu sedang bertugas, menjalankan tugas mereka, dan Israel tidak membenarkan Palang Merah mencapai mereka tepat pada masanya. Kami menganggap ini sebagai jenayah perang.”

    Walaupun begitu, Saliba berkata dia bersetuju bahawa rundingan itu perlu.

    “Kami masih bersetuju dengan presiden dan perdana menteri bahawa satu-satunya cara untuk menghentikan mesin pembunuh terhadap orang awam di selatan adalah melalui rundingan langsung. Rundingan itu tidak akan mudah, ia sangat mencabar. Tetapi kami berharap daripada rundingan hari ini, kami dapat memaksa Israel untuk menghentikan kekejaman dan pendudukan wilayah Lubnan ini.”

  • Trump arah untuk ‘tembak dan bunuh’ mana-mana vesel letak periuk api di Selat Hormuz

    Presiden Trump berkata dia telah mengarahkan Tentera Laut AS “untuk menembak dan membunuh” mana-mana vesel “yang meletakkan periuk api di perairan Selat Hormuz”.

  • Lubnan tidak akan tandatangan sebarang perjanjian tanpa pengunduran penuh Israel – PM Salam

    Lubnan tidak boleh menandatangani sebarang perjanjian yang tidak termasuk “pengunduran penuh” pasukan Israel, kata PM Nawaf Salam menjelang rundingan Khamis di Washington, lapor Al Jazeera.

    “Kita tidak boleh hidup dengan apa yang dipanggil zon penampan, kehadiran Israel di mana orang pelarian Lubnan tidak dibenarkan kembali, di mana kampung dan pekan yang musnah tidak boleh dibina semula,” dia dilapor berkata dalam temu bual dengan Washington Post di Paris, di mana dia bertemu Presiden Perancis Macron.

    “Kami memasuki rundingan ini dengan yakin bahawa AS adalah pihak yang boleh mempunyai pengaruh ke atas Israel. Peranan mereka adalah penting dalam mencapai gencatan senjata, dan kami berharap mereka akan terus menggunakan pengaruh mereka ke atas Israel”.

    Mengenai melucutkan senjata Hizbullah, tuntutan teras Israel dan Barat, Salam berkata ia adalah satu proses, bukan peristiwa dalam sekelip mata.

    Menurutnya, Lubnan tidak membuat konsesi dengan duduk di meja.

    “Saya tidak tahu apa yang boleh kita capai melalui rundingan, tetapi saya tahu apa yang kita mahukan.”

  • Tentera Laut AS kata ia menaiki ‘kapal tanpa kewarganegaraan’ di Lautan Hindi

    Pasukan AS “melaksanakan sekatan maritim dan hak lawatan menaiki kapal tanpa kewarganegaraan yang dibenarkan M/T Majestic X yang mengangkut minyak dari Iran, di Lautan Hindi” semalaman, Jabatan Perang AS menyatakan di X, menurut Al Jazeera.

    Ia mendakwa kapal itu beroperasi dalam kawasan tanggungjawab USINDOPACOM (Perintah Indo-Pasifik Amerika Syarikat).

    “Kami akan meneruskan penguatkuasaan maritim global untuk mengganggu rangkaian haram dan melarang kapal yang menyediakan sokongan material kepada Iran, di mana sahaja mereka beroperasi,” katanya.

    “Perairan antarabangsa tidak boleh digunakan sebagai perisai oleh pelaku yang disekat. Jabatan Perang akan terus menafikan kebebasan pelaku haram dan kapal mereka untuk bergerak dalam domain maritim.”