• 2 ditangkap selepas berbilang mangsa ditikam dalam tren UK

    Dua orang ditangkap selepas berbilang mangsa ditikam di dalam kereta api, kata Polis Pengangkutan British (BTP) pada Sabtu, berita Anadolu melaporkan.

    “Kami sedang memberi respons kepada satu kejadian di dalam kereta api ke Huntingdon di mana berbilang orang telah ditikam,” BTP dilaporkan sebagai berkata di X.

    Ia menambah bahawa pegawai sedang bertugas bersama polis Cambridgeshire.

    Dalam satu kenyataan kepada media, polis Cambridgeshire dilaporkan berkata, mereka telah dihubungi pada jam 7.39 malam GMT dengan laporan bahawa berbilang orang telah ditikam di dalam kereta api.

    “Beberapa orang telah dibawa ke hospital,” kata polis.

  • Rali protes di Paris kecam pembunuhan orang awam di bandar El-Fashir, Sudan

    Dua Ahli Parlimen Perancis menyertai ratusan orang pada perarakan protes di Paris menentang pembunuhan orang awam di Sudan pada Sabtu, menggesa tindakan antarabangsa untuk menamatkan keganasan, menurut berita Anadolu.

    Peserta protes, termasuk Ahli Parlimen Gabrielle Cathala dan Carlos Martens Bilango, berkumpul di Dataran Bastille pada jam 3 petang waktu tempatan sebagai tanda solidariti kepada rakyat Sudan.

    Mereka bertafakur selama seminit untuk memperingati orang awam yang terbunuh di dalam dan sekitar bandar El-Fashir, ibu kota Negeri Darfur Utara, salah satu kawasan yang paling teruk terjejas oleh konflik yang sedang berlaku.

    Sambil melaungkan “Kebebasan untuk Sudan”, “Pasukan Sokongan Pantas bersalah” dan “Solidariti dengan Sudan”, orang ramai berarak ke Place de la Nation, menuntut keamanan dan keadilan untuk penduduk Sudan.

    Ramai yang memegang sepanduk bertulis “Rakyat Sudan bekerja siang dan malam untuk terus hidup” dan “Diam ketika orang sedang tidur, bukan ketika mereka sedang nazak”, menggariskan rayuan mereka untuk kesedaran global.

    Peserta protes menggesa masyarakat antarabangsa untuk campur tangan bagi menghentikan kematian orang awam dan menyokong usaha keamanan di Sudan.

  • Pasukan Sokongan Pantas bunuh 300 wanita dalam 2 hari pertama selepas masuk El-Fasher – Menteri Sudan

    Menteri Sudan untuk Kebajikan Sosial, Salma Ishaq, mendedahkan kepada Anadolu pada Sabtu bahawa Pasukan Sokongan Pantas (RSF) membunuh 300 wanita dalam tempoh dua hari pertama selepas memasuki El-Fasher di ibu kota Negeri Darfur Utara di barat Sudan, menurut agensi berita itu.​​​​​​​

    “RSF membunuh 300 wanita dalam tempoh dua hari pertama mereka memasuki El-Fasher,” Salma dilaporkan berkata dalam kenyataan, sambil menambah bahawa wanita-wanita itu “didera secara seksual, keganasan, dan penyeksaan”.

    “Sesiapa yang meninggalkan El-Fasher menuju Tawila (di Darfur Utara) berisiko, kerana jalan El-Fasher–Tawila telah menjadi jalan kematian,” Salma dipetik berkata.

    Dia menambah: “Masih terdapat keluarga di El-Fasher yang menjadi sasaran penyeretan, penyeksaan, penghinaan dan keganasan seksual.”

    Menteri itu menekankan bahawa “apa yang berlaku di El-Fasher adalah tindakan pembersihan etnik yang sistematik, satu jenayah besar di mana setiap orang bersubahat melalui kesenyapan mereka”.

    Pada 26 Oktober, RSF merampas kawalan El-Fasher dan melakukan “pembunuhan beramai-ramai” terhadap orang awam, menurut laporan Anadolu, memetik organisasi tempatan dan antarabangsa, di tengah-tengah amaran bahawa serangan itu boleh mengukuhkan pembahagian geografi Sudan.

    Pada Rabu, pemimpin RSF Mohamed Hamdan Dagalo (Hemedti) dilaporkan mengakui bahawa “pelanggaran” telah berlaku oleh pasukannya di El-Fasher, mendakwa bahawa jawatankuasa siasatan telah dibentuk.

    Sejak 15 April 2023, tentera Sudan dan RSF telah terlibat dalam peperangan yang gagal ditamatkan oleh pengantaraan serantau dan antarabangsa.

    Konflik itu telah membunuh 20,000 mangsa dan menyebabkan lebih 15 juta pelarian dan orang terlantar di dalam negara kehilangan tempat tinggal, Anadolu memetik laporan PBB dan tempatan.

  • Keluarga pelarian dari El-Fasher, Sudan jalan kaki sejauh 60 kilometer tanpa makanan, air untuk lari daripada keganasan

    Beribu-ribu keluarga pelarian berjalan kaki jarak jauh tanpa makanan dan air untuk melarikan diri daripada keganasan di El-Fasher, ibu kota negeri Darfur Utara di barat Sudan, lapor Anadolu memetik Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) pada Sabtu.

    “Di Tawila, Darfur Utara, beribu-ribu keluarga melarikan diri daripada keganasan di El-Fasher, tiba dalam keadaan keletihan, lapar & kekurangan zat makanan,” agensi PBB itu dilaporkan berkata dalam satu kenyataan di X.

    Abubakar Ahmed, pakar pemakanan UNICEF, berkata lebih 6,000 orang melarikan diri dari El-Fasher ke Tawila minggu lalu kerana perang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mereka yang terlantar terus tiba setiap hari.

    Mereka yang terlantar “datang dalam keadaan yang sangat teruk disebabkan oleh jalan yang jauh” antara kedua-dua bandar itu, yang menjangkau lebih 60 kilometer, katanya.

    Ahmed menyatakan bahawa keluarga-keluarga pelarian itu berjalan kaki selama empat hari, dan ada yang mengambil masa lima hari atau lebih.

    “Penduduk yang kehilangan tempat tinggal menghadapi cabaran besar di sepanjang jalan, dengan sebahagiannya dipukul, sementara yang lain menghabiskan masa berhari-hari tanpa makanan atau air,” katanya.

    “Apabila mereka tiba – sebenarnya, mereka kelihatan dahaga, dan kebanyakan mereka kekurangan zat makanan, malah kanak-kanak dan orang dewasa.”

    Ramai kanak-kanak tiba tanpa keluarga mereka dan tidak tahu di mana mereka berada, kata pakar UNICEF itu.

    Peninggalan itu dilaporkan berlaku selepas Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera menawan El-Fasher pada Ahad selepas pertempuran dengan tentera Sudan.

    Tiada komen segera daripada kumpulan pemberontak mengenai kenyataan UNICEF, menurut Anadolu.

    Awal Sabtu, kumpulan perubatan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) melahirkan kebimbangan terhadap nyawa beribu-ribu orang awam yang terperangkap di dalam El-Fasher susulan pengambilalihan bandar itu oleh RSF.

    MSF dilaporkan berkata pasukannya di Tawila telah bersedia untuk menangani kemasukan besar-besaran orang yang kehilangan tempat tinggal dan individu yang cedera selepas kejatuhan bandar itu kepada RSF.

  • 750 kanak-kanak Sudan melarikan diri dari El-Fasher tanpa keluarga mereka di tengah-tengah keganasan

    Kira-kira 750 kanak-kanak melarikan diri dari bandar El-Fasher di barat Sudan tanpa keluarga mereka di tengah-tengah serangan oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera, Anadolu memetik kumpulan tempatan pada Sabtu.

    Dalam satu kenyataan, Jawatankuasa Penyelarasan Pelarian dan Pengungsi Darfur dilaporkan berkata, lebih 36,000 orang telah melarikan diri dari El-Fasher, ibu kota negeri Darfur Utara, disebabkan oleh keganasan yang semakin meningkat.

    Kumpulan Sudan itu menekankan bahawa keluarga-keluarga yang kehilangan tempat tinggal amat memerlukan makanan, dengan kebanyakan mereka kini tertumpu di Tawila, hampir 60 kilometer dari El-Fasher.

    Ia menyeru tekanan yang lebih tinggi ke atas RSF dan tentera untuk menguatkuasakan gencatan senjata, mengetengahkan laporan keganasan seksual terhadap orang awam yang kehilangan tempat tinggal dari El-Fasher.

    Kumpulan itu dilaporkan berkata, kebanyakan orang awam yang kehilangan tempat tinggal dari bandar itu mengalami kekurangan zat makanan teruk, dengan majoritinya adalah kanak-kanak dan warga emas.

    Menurut Anadolu, pada Rabu, pemimpin RSF, Mohamed Hamdan Dagalo (Hemedti) mengakui bahawa “pelanggaran” telah berlaku oleh pasukannya di El-Fasher, mendakwa bahawa jawatankuasa penyiasatan telah dibentuk.

    Sejak 15 April 2023, tentera Sudan dan RSF dilaporkan telah terlibat dalam peperangan yang gagal ditamatkan oleh pelbagai pengantaraan serantau dan antarabangsa.
    Konflik ini telah mengorbankan kira-kira 20,000 orang dan menyebabkan lebih 15 juta pelarian dan orang yang terlantar di dalam negara kehilangan tempat tinggal, menurut laporan PBB dan tempatan, lapor Anadolu.

  • 12 orang awam terbunuh dalam serangan oleh RSF separa tentera di Kordofan Selatan

    Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan beberapa yang lain parah apabila Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera menyerang dua tapak perlindungan orang awam yang terlantar di negeri Kordofan Selatan, berita Anadolu memetik kumpulan perubatan tempatan pada Sabtu.

    Rangkaian Doktor Sudan dilaporkan berkata tujuh orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh apabila RSF membedil sebuah kem untuk orang terlantar di kawasan al-Abbasiya Tagali di negeri itu.

    Ia berlaku sejurus selepas kumpulan pemberontak membunuh lima kanak-kanak dalam serangan dron yang menyasarkan ibu pejabat Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) di ibu kota wilayah, Kadugli.

    Rangkaian itu menyifatkan serangan itu sebagai “satu lagi jenayah yang ditambah kepada rekod pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh RSF”.

    Tiada komen segera daripada RSF mengenai serangan itu, menurut Anadolu.

    Sudan dilanda perang saudara antara tentera dan RSF sejak April 2023, menyebabkan beribu-ribu kematian dan perpindahan berjuta-juta orang.

  • Sekurang-kurangnya 13 maut dalam tanah runtuh selepas hujan lebat landa barat Kenya

    Sekurang-kurangnya 13 orang disahkan maut dan beberapa lagi hilang pada Sabtu selepas tanah runtuh dicetuskan hujan lebat melanda kampung-kampung di Elgeyo Marakwet County, barat Kenya, kata pihak berkuasa, menurut berita Xinhua.

    Kementerian Dalam Negeri dan Pentadbiran Nasional dilaporkan berkata, tanah runtuh berlaku semalaman di kawasan Endo, Sambirir dan Embobut susulan hujan lebat, memusnahkan rumah, menumbangkan pokok dan memotong jalan akses utama.

    “Setakat ini, 13 mayat telah dikeluarkan, sementara usaha mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan sukar,” kementerian itu dilaporkan berkata dalam satu kenyataan.

    Sembilan belas mangsa terselamat dilaporkan telah diselamatkan dan beberapa orang yang cedera sedang menerima rawatan di hospital tempatan.

    Operasi menyelamat telah terhalang oleh tanah runtuh yang berterusan di sepanjang laluan akses.

    Kerajaan telah mengerahkan sokongan udara, pasukan kecemasan dan responder (pasukan tindakan) pertama bagi membantu pemindahan, bantuan perubatan dan pengawasan.

    Komander Polis Daerah Elgeyo Marakwet, Zablon Okoyo dilaporkan berkata hujan lebat telah mencetuskan tanah runtuh, runtuhan batu, dan banjir di beberapa bahagian daerah itu sejak petang Jumaat.

    Menurut Okoyo, jalan raya dan rumah telah dihanyutkan, menyebabkan beberapa laluan tidak dapat dilalui, sementara kerajaan daerah telah menggerakkan ambulans dan kakitangan perubatan dari kawasan jiran untuk menyokong tindak balas.

    Persatuan Palang Merah Kenya dilaporkan berkata, pasukannya telah diaktifkan untuk menilai keadaan, menjalankan operasi menyelamat, dan menyokong keluarga terjejas.

    Jabatan Meteorologi Kenya telah memberi amaran, hujan lebat dijangka berterusan di beberapa wilayah, meningkatkan risiko banjir kilat dan tanah runtuh, terutama di kawasan berbukit dan sungai.

    Usaha sedang dijalankan bagi memulihkan rangkaian jalan raya yang musnah bagi memudahkan akses untuk operasi kecemasan dan bantuan.

    Menurut pakar cuaca, wilayah itu telah mengalami bencana serupa pada masa lalu, yang sering dikaitkan dengan peningkatan penggunaan tanah dan pemuliharaan tanah yang lemah, yang telah menyebabkan rupa bumi lebih terdedah kepada hakisan dan tanah runtuh semasa tempoh hujan lebat.