Sekurang-kurangnya enam orang, termasuk tiga kanak-kanak, maut dan lebih sedozen yang lain cedera apabila struktur tempat mereka berlindung di tengah hujan lebat dan angin kencang, tiba-tiba runtuh menimpa mereka di negeri Maharashtra, barat daya India, polis mengesahkan pada Rabu, menurut berita Xinhua.
Kejadian itu dilaporkan dari daerah Sangli di negeri itu lewat petang Selasa.
Mangsa adalah antara hampir 350 penganut yang melawat sebuah kuil sempena perayaan keagamaan tempatan.
Sebaik sahaja hujan lebat bermula, disertai angin kencang, mereka berlindung di dalam struktur yang sedang dalam pembinaan.
Akibat angin kencang, bangsal dan dinding timah runtuh menimpa mereka, memerangkap mereka serta-merta.
Selepas kerja menyelamat dijalankan, enam mayat ditemui, dan mereka yang cedera dikejarkan ke hospital tempatan, lapor Xinhua memetik seorang polis tempatan.
