• Bahrain hukum penjara seumur hidup 3 individu kerana didakwa bantu Iran

    Bahrain menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada tiga orang atas tuduhan bekerjasama dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran dalam usahanya untuk membanteras sentimen pro-Iran, menurut berita Al Jazeera.

    Lebih 20 orang lain dijatuhkan hukuman penjara sehingga 10 tahun oleh mahkamah di Bahrain.

    Seorang wanita “dituduh … bekerjasama dengan organisasi pengganas Pengawal Revolusi Iran – dengan niat untuk menjalankan tindakan pengganas yang bermusuhan” – dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, kata pejabat pendakwaan awam dalam satu kenyataan, menurut Al Jazeera.

    Dua orang lain, seorang daripadanya yang melarikan diri ke Iran, turut menerima hukuman penjara seumur hidup dan denda 10,000 dinar ($26,487) atas tuduhan yang sama, ia dilapor sebagai berkata.

    Yang lain disabitkan kesalahan menyokong Iran, merakam di lokasi dilarang, dan menyebarkan kenyataan dilarang.

  • 3 maut, 4 cedera dalam serangan Israel ke atas pekan Jebchit, Lubnan

    Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan empat lagi cedera susulan siri serangan udara Israel ke atas pekan Jebchit, selatan Lubnan, menurut berita Al Jazeera memetik Agensi Berita Nasional (NNA).

  • Bot bawa 37 pendatang tanpa izin karam di perairan Malaysia

    Sebuah bot yang membawa 37 pendatang tanpa izin karam di luar Pulau Pangkor di pantai barat Malaysia, menyebabkan 14 orang masih hilang, lapor Xinhua memetik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada Selasa.

    Kejadian itu dilaporkan oleh seorang nelayan Malaysia yang menemui dan mengangkat 23 mangsa yang terselamat dekat pulau itu di negeri Perak, dengan pihak berkuasa kini sedang menjalankan usaha mencari dan menyelamat untuk mencari baki 14 orang yang masih hilang, kata Mohamad Shukri Khotob, pengarah APMM negeri Perak, dalam satu kenyataan.

    “Siasatan awal juga mendapati pendatang terbabit berlepas dari Kisaran, Indonesia, pada 9 Mei dan menuju ke beberapa destinasi di Malaysia, termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

    Dia dilapor berkata, agensi itu telah mengerahkan bot, helikopter dan pesawat pengawasan untuk mencari mangsa hilang.

  • Sekurang-kurangnya 9 maut, lebih 20 cedera dalam letupan pasar di barat laut Pakistan

    Satu letupan di sebuah pasar di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan pada Selasa mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang dan mencederakan lebih 20 orang lain, menurut berita Anadolu memetik seorang pegawai pentadbiran tempatan yang memberitahunya melalui telefon.

    Letupan itu berlaku di pekan Sarai Naurang, di daerah Lakki Marwat, kata pegawai itu.

    “Buat masa ini, saya berada di hospital, (dan) sembilan mayat telah dibawa ke sini, setakat ini. Sekurang-kurangnya 22 orang yang cedera juga sedang menerima rawatan,” katanya seperti dilaporkan.

    Antara yang maut ialah dua anggota polis, kata pegawai itu, sambil menambah bahawa pihak berkuasa masih belum mengesahkan sifat letupan itu.

    Tiada kumpulan segera mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

  • Serangan udara Israel dilapor membunuh 6 orang di selatan Lubnan

    Menurut Al Jazeera, Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan serangan udara Israel pada waktu malam melanda sebuah rumah di Kfar Dounine, di selatan Lubnan, membunuh enam orang.

    Serangan itu turut mencederakan tujuh orang lain yang dibawa ke hospital di Tyre.

    Secara berasingan, artileri Israel membedil pinggir pekan al-Mansouri dan Majdal Zoun pada waktu fajar, Al Jazeera memetik NNA.

  • Rupiah Indonesia cecah paras terendah dalam sejarah 17,500 berbanding USD

    Rupiah Indonesia menjunam ke paras terendah dalam sejarah iaitu 17,500 berbanding dolar AS pada pagi Selasa, menandakan paras paling lemah dalam rekod, menurut berita Xinhua.

    Beberapa saluran media tempatan mengaitkan susut nilai mendadak itu dengan turun naik yang berterusan di pasaran kewangan global.

    Penurunan mata wang itu telah mencetuskan kebimbangan mengenai tekanan inflasi yang semakin meningkat dan kos import yang melambung tinggi, menimbulkan ancaman kepada perniagaan yang bergantung pada transaksi denominasi mata wang asing dan bahan mentah diimport, lapor Xinhua memetik media tempatan.

  • 5 maut dalam kebakaran di Hunan, China

    Kebakaran di sebuah bangunan kediaman di wilayah Hunan, tengah China menyebabkan lima orang maut dan dua lagi cedera, menurut berita Xinhua memetik biro pengurusan kecemasan tempatan.

    Kebakaran itu dilaporkan berlaku sekitar jam 3 pagi Selasa di daerah Yanfeng di bandar Hengyang.

  • Api rosak rumah di Sao Paulo, Brazil

    Kebakaran yang berpunca daripada potensi letupan gas merosakkan beberapa rumah dan menyebabkan kecederaan di bandar terbesar di Brazil, Sao Paulo pada Isnin, lapor Reuters memetik jabatan bomba dalam catatan di X.

    Pihak berkuasa tidak memperincikan berapa ramai orang yang cedera, menurut Reuters, imej dari media tempatan menunjukkan bumbung yang musnah dan asap berkepul-kepul di kawasan kejiranan Jaguare, kira-kira 16 km (10 batu) dari pusat bandar Sao Paulo.

    Jabatan bomba dilapor berkata, ia telah mengerahkan 12 jentera bomba untuk memadamkan kebakaran.

  • UAE secara rahsia melakukan serangan ke atas Iran – laporan media

    Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menjalankan serangan ketenteraan ke atas Iran, lapor Wall Street Journal pada Isnin, memetik orang yang biasa dengan perkara itu, menurut Reuters.

    Serangan itu, yang tidak diakui secara terbuka oleh UAE, termasuk serangan ke atas kilang penapisan di Pulau Lavan Iran di Teluk Parsi, kata WSJ, sambil menambah bahawa serangan itu berlaku pada awal April, lapor Reuters.

    Reuters bagaimanapun mengatakan ia tidak dapat segera mengesahkan laporan itu.

  • “Kami bersedia untuk semua pilihan, mereka akan terkejut” – speaker parlimen Iran

    Speaker parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, berkata di X bahawa “angkatan tentera negaranya bersedia untuk memberikan tindak balas yang sewajarnya terhadap sebarang pencerobohan”, lapor Al Jazeera.

    Komennya dibuat selepas Presiden AS Trump berkata gencatan senjata dengan Iran adalah atas dasar “sokongan hayat”, sekali lagi mengancam negara itu.

    “Strategi yang salah dan keputusan yang salah akan sentiasa membawa kepada hasil yang salah— seluruh dunia telah pun mengetahui perkara ini. Kami bersedia untuk semua pilihan; mereka akan terkejut”, katanya.

  • Pejabat Netanyahu kecam sekatan EU, pertahan penempatan haram Israel

    Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengutuk sekatan EU hari ini terhadap peneroka Israel, mengatakan “menyekat orang Yahudi kerana tinggal di Judea dan Samaria tidak boleh diterima”.

    Judea dan Samaria ialah istilah Bible yang digunakan oleh ahli politik dan kumpulan peneroka Israel untuk menggambarkan Tebing Barat yang diduduki.

    “Israel akan sentiasa melindungi hak orang Yahudi untuk tinggal di tengah-tengah tanah air nenek moyang kami,” kata pejabat Netanyahu.

    Ia menyambung: “Percubaan Kesatuan Eropah untuk menghukum orang awam Israel merupakan satu lagi tanda kelemahan dan tidak akan berjaya.”

  • Geng saingan bertempur di ibu negara Haiti, hospital dikosongkan, MSF henti perkhidmatan

    Hospital-hospital di kawasan kejiranan Cite Soleil di Port-au-Prince, ibu negara Haiti, memindahkan pesakit mereka dan kumpulan bantuan MSF (Doktor Tanpa Sempadan) menggantung aktivitinya di sana pada Isnin ketika pertempuran antara kumpulan bersenjata yang beroperasi di kawasan itu yang bermula dua minggu lalu semakin merosot pada hujung minggu, menurut berita Reuters.

    MSF dilapor berkata, beratus-ratus penduduk mencari perlindungan di hospitalnya, di mana seorang daripada pengawal keselamatannya tertembak oleh peluru sesat di dalam kompleks itu.

    Menurut Reuters, sebuah lagi hospital memberitahunya ia telah memindahkan bayi baru lahir dari unit rawatan rapinya.

  • Hizbullah meneruskan serangan ke atas tentera Israel

    Hizbullah mengaku bertanggungjawab atas beberapa siri serangan ke atas sasaran tentera Israel di selatan Lubnan, dengan mengatakan operasi itu dijalankan sebagai tindak balas terhadap dakwaan pelanggaran gencatan senjata Israel dan serangan ke atas kampung-kampung Lubnan, lapor Al Jazeera.

    Dalam kenyataan berasingan, kumpulan bersenjata Lubnan itu berkata ia melancarkan dron serangan ke arah tentera Israel yang berkumpul di al-Bayada, diikuti dengan serangan dron lain yang menyasarkan kedudukan artileri Israel di al-Adisa.

    Menurut Al Jazeera, Hizbullah juga berkata ia membedil kenderaan dan askar Israel dekat dua jentolak di jalan al-Bayada–Naqoura dengan tembakan artileri.

    Awal hari ini, kumpulan itu berkata pasukannya menyerang perhimpunan askar Israel dekat Sungai Deir Siryan.

  • Dua terbunuh dalam serangan dron Israel di selatan Lubnan

    Menurut Al Jazeera, Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan melaporkan, sebuah dron Israel melepaskan peluru berpandu ke arah sebuah kereta di pekan Doueir petang ini, membunuh dua orang.

  • Menteri Israel gelar EU ‘antisemitik’ berhubung sekatan terhadap peneroka

    Menteri Keselamatan Negara haluan kanan Israel, Itamar Ben Gvir, mengecam Kesatuan Eropah (EU) selepas ia mengenakan sekatan terhadap peneroka Israel yang dituduh melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin, menurut berita Al Jazeera.

    Menurut Al Jazeera, Ben Gvir dalam catatan di X melabelkan blok itu sebagai “antisemitik”, menuduhnya menyasarkan rakyat Israel sambil mengabaikan serangan terhadap mereka.

    Dia juga berikrar untuk meneruskan pengembangan penempatan meskipun terdapat langkah berkenaan.

    “Perusahaan penempatan tidak akan terhalang. Kami akan terus membina, menanam, mempertahankan, dan menetap di seluruh tanah Israel.”

  • Trump sifatkan cadangan Iran sebagai ‘bodoh’

    “Ia adalah cadangan yang bodoh, dan tiada siapa yang akan menerimanya (would take it),” kata presiden AS mengenai respons Iran terhadap pelan damai AS, menurut berita Al Jazeera.

  • Askar Israel dihukum ke penjara tentera kerana cemar patung Kristian di Lubnan

    Askar yang mencemarkan patung di selatan Lubnan dijatuhkan hukuman penjara tentera selama 21 hari, lapor Al Jazeera memetik tentera Israel.

    Seorang askar kedua yang merakam kejadian itu juga dijatuhkan hukuman penjara tentera selama 14 hari.

    Walaupun tentera Israel berkata ia memandang pencemar terbabit “dengan sangat tegas dan menghormati kebebasan beragama dan beribadat”, pemerhati menyatakan tentera telah menyerang beberapa tempat Kristian dan Islam selama beberapa dekad, termasuk gereja dan masjid di Gaza.

    Dalam satu lagi kejadian yang dikecam meluas di selatan Lubnan, seorang askar Israel baru-baru ini dirakam memecahkan patung Jesus, mencetuskan kemarahan global, lapor Al Jazeera.

  • Pemuda Palestin ditembak tentera Israel di kem pelarian Qalandiya, utara Baitulmaqdis.

    Seorang pemuda ditembak oleh tentera pendudukan Israel di utara Baitulmaqdis yang diduduki, lapor agensi berita WAFA memetik Kementerian Kesihatan.

    Menurut WAFA, kementerian kesihatan menyatakan dalam siaran akhbar bahawa ia dimaklumkan oleh Pihak Berkuasa Am untuk Hal Ehwal Sivil mengenai pembunuhan Ayman Rafiq Muhammad al-Hashlamoun, 30, yang ditembak semasa serbuan di kem pelarian Qalandiya.

  • 3 maut dalam kebakaran bangunan di tenggara Perancis

    Tiga orang maut dan 50 penduduk dipindahkan selepas kebakaran berlaku pada Isnin di sebuah bangunan pangsapuri di pinggir bandar Lyon di tenggara Perancis, menurut berita Anadolu memetik laporan penyiar tempatan BFM TV.

    Seorang daripada mangsa ialah seorang lelaki yang terjun dari tingkat atas untuk melarikan diri daripada kebakaran, lapor Anadolu, 14 yang lain mengalami penyedutan asap tetapi tidak dilaporkan berada dalam keadaan mengancam nyawa.

    Kebakaran itu dilaporkan berlaku pada pagi Isnin di sebuah bangunan tujuh tingkat di komune Decines dan kemudiannya dipadamkan oleh anggota bomba.

  • Negara EU setuju mengenai sekatan terhadap peneroka Israel

    Anggota Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin bersetuju mengenai sekatan baharu terhadap peneroka Israel atas keganasan terhadap rakyat Palestin, selepas kebuntuan selama berbulan-bulan, lapor Xinhua memetik seorang diplomat tertinggi EU.

    Ketua dasar luar EU, Kaja Kallas, berkata di X bahawa menteri luar negara anggota EU telah meluluskan langkah itu, lapor Xinhua, keputusan itu dibuat di tengah-tengah peningkatan keganasan peneroka dan pengembangan penempatan di Tebing Barat diduduki Israel.
    “Sudah tiba masanya kita beralih daripada kebuntuan kepada penyampaian,” kata Kallas.

  • 1 terbunuh dalam pertempuran di Cameroon

    Pertempuran bersenjata meletus pada Isnin di Wilayah Barat Daya Cameroon yang dilanda konflik dan berbahasa Inggeris, menyebabkan seorang terbunuh, lapor Xinhua memetik sumber keselamatan dan penduduk tempatan.

    Pertempuran meletus kira-kira jam 7 pagi waktu tempatan (0600 GMT) di Buea, ibu kota wilayah itu, antara pasukan kerajaan dan pejuang pemisah yang disyaki, kata seorang pegawai tentera, lapor Xinhua.

    “Pengganas pemisah melepaskan tembakan ke arah orang awam, membunuh seorang dan mencederakan beberapa orang lagi. Pasukan kami berjaya menghalau dan menolak mereka berundur,” kata pegawai itu kepada Xinhua.

  • 2,869 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas Lubnan

    Menurut Al Jazeera, Kementerian Kesihatan Lubnan mengatakan sekurang-kurangnya 2,869 orang terbunuh dalam serangan Israel sejak pertempuran bermula pada 2 Mac lalu, manakala 8,730 lagi cedera.

  • 4 maut dalam nahas pesawat kecil di destinasi pelancongan popular di Gurun Namib, Namibia

    Empat orang maut dalam nahas sebuah pesawat ringan di kawasan Sossusvlei, Namibia, menurut berita Xinhua memetik pengendali carter tempatan Desert Air pada Isnin.

    Serpihan pesawat itu, yang dilaporkan hilang pada Ahad, ditemui pada pagi Isnin di kawasan Sossusvlei, destinasi pelancongan popular di Gurun Namib, Namibia, lapor Xinhua memetik syarikat itu.

    Mangsa terbabit ialah juruterbang pesawat dan tiga penumpang di dalamnya.

    “Tiada mangsa yang terselamat,” kata Willem de Wet, ketua pegawai eksekutif Desert Air, dalam kenyataan itu, menurut Xinhua.

  • Itali kata tiada misi Hormuz sedang dijalankan meskipun pergerakan tentera laut

    Menteri pertahanan Itali berkata pada Isnin, tiada misi di Selat Hormuz sedang dijalankan, meskipun terdapat laporan pergerakan tentera laut di rantau itu, lapor Anadolu memetik agensi berita ANSA.

    “Satu perkara untuk mendekatkan kapal-kapal dan satu lagi untuk mengarahkannya terus ke Hormuz,” Guido Crosetto dilapor berkata kepada ANSA.

    Crossetto berkata, sebarang pengerahan yang berkaitan secara langsung dengan Selat Hormuz memerlukan “kelulusan misi baharu” termasuk “gencatan senjata, kemudian rangka kerja perundangan, dan akhirnya kebenaran parlimen”.

    Katanya, perbincangan mengenai isu itu akan bermula di parlimen pada Rabu.

    Menurutnya, memindahkan kapal lebih dekat ke rantau itu tidak akan dianggap sebagai misi Hormuz, tetapi sebaliknya boleh menjadi sebahagian daripada operasi sedia ada.

    Komen itu dibuat di tengah-tengah perbincangan antara negara-negara Eropah mengenai keselamatan maritim di dan sekitar Selat Hormuz berikutan ketegangan di Timur Tengah.

  • 3 askar Israel cedera akibat dron letupan di selatan Lubnan

    Tiga askar Israel cedera ringan akibat dron letupan di selatan Lubnan, menurut berita Anadolu memetik laporan Channel 12 Israel pada Isnin.

    Mereka dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, Anadolu memetik saluran itu.

    Perkembangan itu berlaku ketika tentera Israel meneruskan serangan harian di Lubnan dan berbalas tembakan dengan Hizbullah meskipun gencatan senjata telah diumumkan pada 17 April dan dilanjutkan sehingga 17 Mei, lapor Anadolu.