Polis di wilayah Lorestan, barat Iran, mengatakan mereka menembak jatuh dron “Lucas” buatan AS di bandar Khorramabad, menurut berita Aljazeera memetik laporan media Iran.
-
Dua pekerja Afghanistan cedera selepas serangan AS-Israel ke atas kemudahan meteorologi Bushehr
Menurut Aljazeera, agensi berita Tasnim Iran melaporkan beberapa siri serangan AS dan Israel di wilayah Bushehr selatan Iran.
Satu serangan menyasarkan kemudahan meteorologi di Bushehr, menghentam tapak terbabit dan merosakkan rumah hijau berdekatan, di mana dua pekerja Afghanistan cedera.
Satu lagi serangan menghentam ladang ternak ayam di kawasan Dashtestan.
Serangan ketiga menghentam khemah di daerah Deylam.
-
Sekurang-kurangnya 25 cedera dalam serangan ke atas Israel
Sekurang-kurangnya 25 orang cedera di 20 tapak di Israel susulan serangan pagi ini, lapor Aljazeera.
-
Gangguan internet Iran berterusan untuk hari ke-33
Pemantau keselamatan siber NetBlocks mengatakan pihak berkuasa Iran terus mengenakan gangguan internet hampir sepenuhnya ke atas negara itu untuk hari ke-33, lapor Aljazeera.
-
Letupan dilaporkan di Isfahan, tengah Iran
Menurut Aljazeera, media Iran melaporkan letupan di Isfahan, yang terletak di bahagian tengah negara itu.
-
Peluru berpandu dilancarkan dari Iran hentam kapal tangki minyak di luar pantai Qatar – kementerian pertahanan
Kementerian Pertahanan Qatar mengatakan Qatar disasarkan oleh tiga peluru berpandu jelajah yang dilancarkan dari Iran, salah satunya melanda kapal tangki minyak, lapor Aljazeera.
Menurut Aljazeera, kementerian itu dalam satu catatan di X, mengatakan ia memintas dua peluru berpandu, sementara yang ketiga menghentam sebuah kapal tangki dipajak kepada QatarEnergy.
Kru 21 orang kapal tangki itu telah dipindahkan, kata kementerian itu, menurut berita Aljazeera, tiada kecederaan dilaporkan.
-
Israel dakwa ‘hapus’ pegawai penting Pasukan Quds di Iran
Tentera Israel mengatakan ia berjaya menyasarkan seseorang yang digambarkannya sebagai ketua kejuruteraan untuk Kor Lubnan dalam Pasukan Quds IRGC, lapor Aljazeera.
Ia mengatakan Mahdi Vafa’i terbunuh di tengah bandar Mahallat.
Ia mendakwa Vafa’i telah memajukan “projek bawah tanah” di Lubnan dan Syria selama dua dekad sebagai bahagian daripada Pasukan elit Quds, termasuk mewujudkan infrastruktur untuk Hizbullah dan menguruskan penyimpanan senjata.
Tiada komen segera daripada Iran, menurut Aljazeera.
Israel telah menyasarkan ahli Quds sepanjang perang ke atas Iran, termasuk ketika ia menyerang sebuah hotel di pusat Beirut bulan lalu.
-
Kecederaan masa perang Israel meningkat kepada 6,286 – kementerian kesihatan
Kementerian Kesihatan Israel melaporkan,104 orang cedera dan dimasukkan ke hospital dalam 24 jam lalu, tidak termasuk yang terbaharu di tengah Israel, menurut berita Aljazeera.
Itu menjadikan jumlah keseluruhan rakyat Israel yang cedera semasa perang kepada 6,286, dan 100 daripadanya masih dirawat di hospital, menurut kementerian itu.
-
Houthi dakwa gelombang baharu serangan peluru berpandu balistik ke atas selatan Israel
Kumpulan bersenjata Houthi Yaman berkata pada Rabu, ia melancarkan gelombang baharu serangan peluru berpandu balistik yang menyasarkan “tapak penting” di selatan Israel, lapor berita Xinhua.
-
Wartawan Amerika Shelly Kittleson diculik di Baghdad
Kementerian dalam negeri Iraq mengatakan pihak berkuasa sedang mencari wartawan bebas Amerika, Shelly Kittleson setelah dia diculik dari luar sebuah hotel di Baghdad pada Selasa, lapor Aljazeera.
Jabatan Negara AS mengatakan seorang suspek yang ditahan setelah penculikan itu mempunyai hubungan dengan kumpulan militia Kataib Hezbollah yang berkaitan dengan Iran, menurut Aljazeera.
-
Arab Saudi tembak jatuh dua lagi dron
Kementerian Pertahanan Saudi mengatakan pasukannya telah memintas dan memusnahkan dua dron dalam beberapa jam kebelakangan ini, lapor Aljazeera.
Kementerian itu melaporkan, sejumlah empat dron telah ditembak jatuh sepanjang malam.
-
Jumlah cedera di Bnei Brak Israel meningkat kepada 14
Semua 14 orang yang cedera di kawasan tengah Bnei Brak dipindahkan ke hospital, menurut berita Aljazeera memetik Channel 12 Israel.
-
Israel kata lebih banyak peluru berpandu dilancarkan dari Iran
Tentera Israel berkata ia mengesan satu lagi gelombang peluru berpandu yang menuju ke negara itu dari Iran, lapor Aljazeera.
Ini menandakan serangan peluru berpandu ketiga yang menyasarkan Israel dalam masa lebih sejam.
-
Gadis antara 6 cedera dalam serangan Iran ke tengah Israel
Menurut berita Aljazeera, Ynet yang memetik perkhidmatan ambulans Israel, Magen David Adom, mengatakan yang cedera di kawasan Bnei Brak termasuk seorang gadis berusia 11 tahun, seorang budak lelaki berusia 13 tahun, seorang wanita berusia 39 tahun, seorang lelaki berusia 50 tahun, dan dua wanita.
Di Telegram, Magen David Adom mengatakan ia merujuk gadis berusia 11 tahun itu ke hospital dengan kecederaan serpihan.
-
‘Empat lokasi nahas’ di tengah Israel selepas serangan peluru berpandu Iran
Menurut Aljazeera, saluran berita YNet mengatakan terdapat “empat lokasi nahas” di tengah Israel susulan serangan peluru berpandu Iran, yang membabitkan dua di Bnei Brak dan masing-masing satu di Holon dan Petah Tikva.
Ia mengatakan sebuah apartmen tingkat atas telah rosak di Bnei Brak dan kebakaran berlaku di kawasan terbuka di Holon dan Petah Tikva.
-
Lebih banyak peluru berpandu Iran sasar utara dan selatan Israel
Aljazeera memetik media Israel, tentera (negara itu) telah mengesan lebih banyak peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran, kali ini ke arah utara dan selatan negara itu.
Ini berlaku beberapa ketika selepas serangan yang menyasarkan tengah Israel.
-
Warga Bangladesh terbunuh di Fujairah, UAE
Menurut Aljazeera, agensi berita rasmi WAM mengatakan serpihan daripada pintasan dron jatuh di sebuah ladang di kawasan Al Rifaa dan mengorbankan seorang warga Bangladesh.
Pihak berkuasa dilaporkan sedang menangani kejadian itu.
-
Letupan kedengaran di tengah Israel ketika Iran lancar peluru berpandu
Menurut Aljazeera, penyiar Channel 12 mengatakan “letupan kuat” dan “beberapa lokasi nahas” telah dilaporkan di tengah Israel berikutan pelancaran peluru berpandu dari Iran.
Ia (penyiar itu) mengatakan serangan itu – yang mencetuskan penggera di wilayah Gush Dan, Sharon dan Samaria – telah berakhir. Tiada laporan korban, tambahnya.
-
Sekurang-kurangnya 10 jururawat Iran terbunuh dalam serangan AS-Israel
Menurut Aljazeera, agensi berita ISNA melaporkan jururawat terbabit terbunuh di tempat kejadian perkhidmatan mereka dan, meskipun terdapat pembunuhan, perkhidmatan perubatan diteruskan tanpa gangguan.
Agensi itu memetik ketua pengarah Pertubuhan Sistem Kejururawatan.
-
Israel dakwa lebih 800 serangan di Iran, jatuhkan 16,000 peluru
Tentera Israel mengeluarkan kenyataan panjang lebar mengenai serangannya pada bulan pertama perang ke atas Iran, lapor Aljazeera.
Ia mengatakan “lebih daripada 800 penerbangan serangan tentera udara telah dijalankan, menggunakan kira-kira 16,000 peluru yang berbeza”.
Ia mendakwa lebih daripada 2,000 tentera dan komander Iran telah terbunuh, dan lebih daripada 4,000 sasaran telah diserang.
Tiada komen segera daripada Iran, lapor Aljazeera.
Menurut Aljazeera, pihak berkuasa di Iran mengatakan serangan AS-Israel setakat ini telah membunuh sejumlah 1,937 orang, termasuk 240 wanita dan 212 kanak-kanak. Seorang daripada mangsa adalah seorang bayi berusia lapan bulan.
Tentera Israel mempunyai sejarah menggambarkan orang awam yang terbunuh sebagai pejuang, termasuk di Gaza, di mana laporan yang bocor mengakui bahawa hanya 17 peratus daripada mereka yang terbunuh adalah pejuang, lapor Aljazeera.