Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dibebaskan dari penjara di Bangkok selepas menghabiskan lapan bulan hukuman penjara satu tahun di sana atas tuduhan berkaitan rasuah, lapor berita Al Jazeera.
Beratus-ratus orang, termasuk keluarga dan sekutu politik jutawan berusia 76 tahun itu dilapor menyambutnya pada Isnin, sambil melaungkan, “Kami sayang Thakisn” ketika dia meninggalkan Penjara Pusat Klong Prem.
Dengan rambutnya dipotong rapat dan dalam kemeja putih ringkas, Thaksin dilapor keluar dari penjara kira-kira jam 7:40 pagi waktu tempatan (00:40 GMT) dan serta-merta dikelilingi oleh ahli keluarga, termasuk anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra, yang dipecat sebagai perdana menteri atas perintah mahkamah pada Ogos tahun lalu, beberapa minggu sebelum pemenjaraannya.
Dia tersenyum lebar sambil berjalan untuk menyambut penyokongnya, tetapi beredar tanpa bercakap dengan wartawan.
Thaksin telah berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2001 sehingga rampasan kuasa tentera menggulingkannya pada 2006, semasa dia berada di luar negara.
Dilaporkan, sebuah panel Kementerian Kehakiman bulan lalu bersetuju untuk memberikannya parol sebagai sebahagian daripada semakan lebih 900 kes banduan layak, dengan memetik tingkah laku baiknya di penjara, usianya dan risiko rendah dia akan mengulangi kesalahannya.
Menurut jabatan pembetulan, Thaksin dikehendaki memakai monitor buku lali elektronik untuk baki hukumannya, lapor Al Jazeera.