Dalam satu kenyataan diedarkan oleh media Iran, seorang pegawai perhubungan awam untuk IRGC di wilayah Fars, Iran berkata sistem pertahanan telah memintas dan memusnahkan dron Hermes 900 Israel di atas bandar Shiraz, lapor Aljazeera.
-
Pusat penyelidikan perubatan berusia satu abad di Tehran diserang
Menurut Aljazeera, jurucakap Kementerian Kesihatan Iran, Hossein Kermanpour, berkata satu serangan menyasarkan Institut Pasteur Iran, sebuah pusat penyelidikan perubatan yang ditubuhkan pada 1920, dan merosakkannya dengan teruk.
Kermanpour dalam satu catatan di X, menurut Aljazeera, menyifatkan serangan ke atas “tonggak kesihatan global berusia satu abad” di Tehran itu sebagai “serangan langsung terhadap keselamatan kesihatan antarabangsa”.
Dia menyiarkan imej dari tapak terbabit yang menunjukkan bangunan itu rosak teruk, dengan sebahagian daripada kemudahan itu musnah jadi runtuhan.
-
Siren berbunyi di utara Israel di tengah-tengah amaran peluru berpandu Iran akan datang
Tentera Israel mengeluarkan dua kenyataan beberapa ketika lalu, memberi amaran peluru berpandu yang dilancarkan dari wilayah Iran ke arah Israel, menurut berita Aljazeera.
Menurut Aljazeera, penyiar Channel 12 melaporkan serangan yang akan datang telah mencetuskan penggera di seluruh utara Israel dan salah satu peluru berpandu itu membawa kepala peledak yang berpecah-belah.
-
Hizbullah lancar serangan roket dan dron ke atas tentera Israel
Kumpulan bersenjata Lubnan itu mengatakan pejuangnya melepaskan roket ke arah tentera Israel di penempatan al-Malikiyah dan Yeroun pada jam 6:10 pagi waktu tempatan, lapor Aljazeera.
Ia juga mengatakan pejuangnya menyasarkan penempatan Even Menachem pada jam 6 pagi dengan sekumpulan dron serangan.
-
Kerosakan kecil dekat KEZAD Abu Dhabi selepas pemintasan peluru berpandu
Pejabat Media Abu Dhabi mengatakan pihak berkuasa di bandar itu telah bertindak balas “terhadap insiden di sekitar Zon Ekonomi Khalifa Abu Dhabi (KEZAD), susulan kejayaan pemintasan peluru berpandu oleh sistem pertahanan udara”, menurut Aljazeera.
Pemintasan itu “mengakibatkan kerosakan kecil dan tiada kecederaan”, katanya di X, lapor Aljazeera.
-
Trump sifatkan perang dengan Iran sebagai ‘pelaburan’ dalam masa depan kanak-kanak AS
Presiden AS menggambarkan konflik itu sebagai usaha untuk menjamin masa depan yang lebih baik dan selamat untuk AS, lapor Aljazeera.
“Ini adalah pelaburan sebenar untuk masa depan anak-anak dan cucu-cucu anda,” kata Trump.
“Seluruh dunia sedang memerhati, dan mereka tidak boleh meninggalkan kuasa, kekuatan dan kecemerlangan. Mereka tidak percaya apa yang mereka lihat.”
Dia menegaskan bahawa perang adalah perlu untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear, walaupun ketua perisikannya sendiri mengakui tahun lalu bahawa Tehran tidak sedang mencarinya.
-
Trump ikrar untuk ‘tamatkan tugas’, terima kasih kepada sekutu Timur Tengah
“Kami akan menyelesaikan tugas. Kami semakin hampir,” kata presiden AS, lapor Aljazeera.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sekutu kami di Timur Tengah – Israel, Arab Saudi, Qatar, UAE, dan Bahrain. Mereka telah melakukan yang terbaik, dan kami tidak akan membiarkan mereka gagal dalam apa jua cara, bentuk (shape), atau bentuk (form).”
-
Iran dilaporkan lancar lebih banyak peluru berpandu ke Israel ketika Trump akhiri ucapan
Tidak lama selepas Trump mengakhiri ucapannya, di mana dia mendakwa bahawa keupayaan ketenteraan Iran hampir hancur, tentera Israel berkata ia mengesan pelancaran peluru berpandu Iran, lapor Aljazeera.
“Sistem pertahanan beroperasi untuk memintas ancaman terbabit,” kata tentera Israel.
-
Trump menyimpulkan: AS di ‘ambang penamatan ancaman jahat Iran’
Presiden AS mengakhiri ucapannya dengan menegaskan semula bahawa perang telah dimenangi dan hampir berakhir, lapor Aljazeera.
“Kita berada di ambang penamatan ancaman jahat Iran terhadap Amerika dan dunia,” kata Trump.
-
Siren amaran berbunyi di Bahrain
Kementerian Dalam Negeri telah memberitahu orang ramai untuk “bertenang dan menuju ke tempat selamat terdekat” ketika siren berbunyi memberi amaran serangan yang akan datang, lapor Aljazeera.
Secara berasingan, kementerian itu juga mengatakan aliran lalu lintas telah kembali beroperasi di Lebuhraya Khalifa Bin Salman susulan insiden terdahulu yang membabitkan serpihan jatuh.
-
UAE dilapor seru PBB luluskan langkah, termasuk penggunaan kekerasan, untuk buka semula Selat Hormuz
Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyeru PBB untuk memberi kuasa kepada langkah-langkah, termasuk penggunaan kekerasan, bagi membuka semula Selat Hormuz, menurut berita Anadolu memetik laporan Bloomberg pada Rabu.
Majlis mesti mengambil “tindakan segera” bagi memastikan navigasi yang selamat di dan sekitar selat itu, kata Duta Besar Mohamed Abushahab dalam surat bertarikh Selasa kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan presiden Majlis Keselamatan, menurut berita itu.
Negara Teluk itu secara khusus berusaha untuk menggunakan Bab 7 Piagam PBB. Kerangka kerja undang-undang ini memberi kuasa kepada majlis untuk menangani ancaman kepada keamanan antarabangsa melalui langkah-langkah daripada sekatan ekonomi kepada penggunaan kekerasan tentera yang dibenarkan.
Selat Hormuz telah terganggu sejak awal Mac, apabila Iran bertindak untuk menyekat laluan air itu sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel yang bermula pada 28 Feb lalu.
Kira-kira 20 juta tong minyak, kira-kira 20% daripada bekalan global, biasanya melalui selat itu setiap hari. Penutupannya telah meningkatkan harga minyak global, mengganggu perkapalan dan menimbulkan kebimbangan kerosakan ekonomi yang berpanjangan.
-
Hizbullah kata ia lancar 51 serangan ke atas sasaran Israel
Kumpulan Hizbullah Lubnan mengumumkan pada Rabu, ia melancarkan 51 serangan menggunakan roket, dron dan peluru artileri yang menyasarkan penempatan, pangkalan, perhimpunan, pasukan dan kenderaan tentera Israel, lapor Anadolu.
Ia berkata serangan itu adalah “untuk mempertahankan Lubnan dan rakyatnya” memandangkan serangan Israel ke atas negara itu telah berterusan sejak 2 Mac lalu.
Roket Hizbullah menyebabkan kemusnahan bangunan dan kenderaan di penempatan Kiryat Shmona di utara Israel.
Video yang diterbitkan oleh media Israel, termasuk Channel 12, menunjukkan kepulan asap naik di atas bangunan dan kereta yang rosak di penempatan itu, menurut Anadolu.
Menurut Anadolu, Channel 14 melaporkan kerosakan langsung pada sebuah bangunan di Kiryat Shmona susulan tembakan roket dari Lubnan.
-
Gempa bumi 7.4 magnitud gegar Laut Maluku utara Indonesia
Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud melanda utara wilayah Laut Maluku di timur Indonesia awal Khamis, lapor Anadolu.
Gempa bumi itu dilaporkan pada kedalaman cetek 10 kilometer (6.21 batu).
Sistem Amaran Tsunami AS mengatakan gelombang tsunami mungkin berlaku dalam lingkungan 1,000 kilometer (621 batu) dari pusat gempa, berpotensi menjejaskan pantai Indonesia, Filipina dan Malaysia, lapor Anadolu.
Pusat gempa itu terletak kira-kira 120 kilometer (74 batu) dari bandar Ternate di wilayah Maluku Utara Indonesia, menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat, lapor Anadolu. Bandar ini mempunyai populasi lebih 205,000 orang.
-
Iran kata transit Selat Hormuz akan ikut termanya
Iran berkata transit maritim melalui Selat Hormuz akan tertakluk kepada peraturan baharu yang ditetapkan oleh Tehran, sambil menambah bahawa ia telah menyampaikan syarat-syarat berkaitan perangnya kepada pengantara, lapor Anadolu.
Ebrahim Azizi, ketua Suruhanjaya Keselamatan Negara parlimen Iran berkata di X, laluan melalui selat itu kini bergantung pada terma Iran, mengisytiharkan bahawa tempoh berdekad-dekad yang digambarkannya sebagai “keramahan” telah berakhir.
Secara berasingan, jurucakap Kementerian Luar Esmail Baghaei berkata konflik itu telah menjejaskan keselamatan serantau secara langsung, termasuk Selat Hormuz, Teluk Parsi dan Laut Oman, memberi amaran mengenai akibat lebih luas terhadap ekonomi global.
Menurut Anadolu, Baghaei dalam ucapan kepada agensi berita Yonhap Korea Selatan, berkata kapal milik pihak yang tidak bermusuhan boleh terus melalui selat itu selepas penyelarasan yang diperlukan dengan pihak berkuasa Iran, menekankan langkah itu bertujuan untuk memastikan laluan yang selamat.
-
Houthi dakwa serangan peluru berpandu bersama Iran dan Hizbullah ke atas Israel
Kumpulan Houthi Yaman berkata ia menyasarkan tapak sensitif di selatan Israel dengan peluru berpandu balistik dalam operasi bersama dengan Iran dan kumpulan Lubnan Hizbullah pada Rabu, menurut jurucakap tenteranya, lapor Anadolu.
Kumpulan itu mengumumkan serangan itu dalam kenyataan televisyen yang disampaikan oleh jurucakap Yahya Saree.
“Pasukan kami menjalankan operasi ketenteraan ketiga yang menyasarkan tapak sensitif musuh Israel di selatan Palestin yang diduduki menggunakan serangan peluru berpandu balistik,” kata Saree.
Serangan itu dijalankan “dengan kerjasama saudara-saudara kami di Iran dan Hizbullah di Lubnan,” dan telah “berjaya mencapai objektifnya,” katanya, tanpa memberikan butiran lanjut.
Peningkatan itu susulan amaran daripada Houthi lewat Jumaat mengenai kemungkinan “campur tangan ketenteraan langsung” jika pakatan baharu menyertai AS dan Israel menentang Iran, atau jika Laut Merah digunakan untuk operasi yang menyasarkan Tehran.
Sebelum ini, kumpulan Yaman telah melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel dan laluan perkapalan Laut Merah sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan Israel di Gaza, di mana lebih 72,000 orang telah terbunuh sejak Oktober 2023.
-
Trump kata dia serius pertimbang untuk tarik AS keluar dari NATO
Bercakap dengan The Telegraph dari UK, Presiden Trump mengancam untuk meninggalkan NATO, lapor Aljazeera.
“Oh ya, saya akan katakan [ia] tidak boleh dipertimbangkan semula,” katanya. “Saya tidak pernah terpengaruh oleh NATO. Saya sentiasa tahu mereka adalah harimau kertas, dan Putin juga tahu itu.”
Trump kerap mengecam sekutu NATO atas kekurangan sokongan mereka terhadap perang, menggelarkan mereka “pengecut” kerana enggan menghantar tentera ke Selat Hormuz.
Dia mengulangi aduan terbabit kepada The Telegraph, mendakwa sokongan “sepatutnya automatik” dan seolah-olah membuat perbandingan antara perang ke atas Iran dan perang Rusia ke atas Ukraine.
“Kami telah berada di sana secara automatik, termasuk Ukraine. Ukraine bukan masalah kami,” katanya. “Ia adalah ujian, dan kami berada di sana untuk mereka, dan kami akan sentiasa berada di sana untuk mereka. Mereka tidak berada di sana untuk kami.”
-
Tujuh terbunuh, 26 cedera dalam serangan Israel di selatan Beirut
Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan 26 cedera dalam serangan Israel ke atas Jnah, selatan Beirut, Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan, menurut Aljazeera.
-
Bahrain kata 186 peluru berpandu, 419 dron ditembak jatuh semasa perang
Tentera Bahrain berkata pertahanan udaranya telah menembak jatuh 186 peluru berpandu dan 419 dron yang ditembak oleh Iran semasa perang, menurut berita Aljazeera.
Dalam satu kenyataan, tentera menggesa orang ramai untuk menjauhi tapak yang rosak dan “objek yang mencurigakan” dan mengelakkan mengambil gambar tapak serpihan.
-
Serangan sasar medan minyak di wilayah Kurdish separa autonomi Iraq
Satu serangan menyasarkan medan minyak Sarsang, yang terletak di wilayah Duhok di rantau Kurdish separa autonomi Iraq, menurut Aljazeera memetik laporan rakan sekerjanya di lapangan.
Menurut Aljazeera, sumber keselamatan yang dipetik oleh agensi berita Reuters juga melaporkan serangan itu, mengatakan ia disebabkan oleh dron.
Insiden itu menyusuli serangan terdahulu ke atas sebuah gudang minyak di Erbil, ibu kota rantau itu, Aljazeera memetik Agensi Berita Kebangsaan Iraq.
-
Starmer ikrar UK tidak akan diheret ke dalam perang menentang Iran
Starmer berkata rakyat UK “bimbang UK akan diheret ke dalam” perang AS-Israel menentang Iran, lapor Aljazeera.
“Kami tidak akan,” ikrarnya.