• Iran hukum mati tiga lelaki dituduh bekerja untuk agensi perisikan Israel

    Iran dilaporkan menghukum mati tiga lelaki yang dituduh bekerjasama dengan agensi Mossad Israel dan mencetuskan pergolakan ganas di bandar timur laut Mashhad semasa protes anti-kerajaan pada Januari.

    Menurut Al Jazeera, agensi berita separa rasmi Fars mengenal pasti lelaki terbabit sebagai Mehdi Rasouli dan Mohammadreza Miri, yang digambarkan sebagai “unsur Mossad”, dan Ebrahim Dolatabadi, yang digambarkan sebagai pemimpin pergolakan di kawasan Tabarsi di Mashhad.

    Al Jazeera melaporkan, menurut Fars, Rasouli dan Miri memainkan peranan langsung dalam pembunuhan seorang anggota pasukan keselamatan, Hamidreza Yousefinejad. Tuduhan lain terhadap mereka termasuk pemusnahan dan penjarahan harta awam, berpakat untuk melakukan jenayah terhadap keselamatan negara menggunakan koktel Molotov, serta membuat dan membawa pedang buatan sendiri.

    Dolatabadi dituduh membawa antara 250 dan 300 perusuh bersenjatakan parang ke tempat kejadian, yang membawa kepada pertempuran, menurut pihak berkuasa Iran, yang mengakibatkan kematian beberapa anggota keselamatan, serta kemusnahan harta awam dan swasta, termasuk sebuah bank dan pangkalan tentera milik pasukan separa tentera Basij.

  • Iran kata 37,000 bangunan rosak akibat perang dibaiki

    Yayasan Perumahan Iran berkata ia telah membaiki kira-kira 37,000 rumah dan bangunan komersial yang rosak dalam perang AS-Israel ke atas negara itu, menurut berita Al Jazeera memetik agensi berita separa rasmi Mehr.

    Lebih 125,000 struktur awam di Iran telah musnah atau rosak teruk akibat serangan AS-Israel ke kawasan perumahan di seluruh negara, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS).

    IRCS juga mengatakan kira-kira 339 pusat perubatan, termasuk hospital, farmasi, makmal, klinik kesihatan dan stesen kecemasan, telah kena serangan terbabit.

  • Kapal tangki di Selat Hormuz kena ‘projektil tidak diketahui’

    Agensi Operasi Perdagangan Maritim UK berkata sebuah kapal tangki di luar pantai Fujairah UAE telah diserang, menurut berita Al Jazeera.

    Dilaporkan “dihentam oleh projektil yang tidak diketahui”, Al Jazeera memetik UKMTO.

    “Semua anak kapal dilaporkan selamat. Tiada kesan alam sekitar dilaporkan.”

    Serangan itu berlaku beberapa jam selepas UKMTO melaporkan sebuah kapal pengangkut pukal telah diserang oleh beberapa kraf kecil di luar pantai Iran, kira-kira 11 batu nautika (18km) barat Sirik.

  • Angka maut runtuhan lombong di Timur Jauh Rusia meningkat kepada 8

    Lapan orang disahkan meninggal dunia selepas keruntuhan lombong arang batu di wilayah Magadan Rusia di Timur Jauh, kata pihak berkuasa tempatan pada Isnin, menurut berita Xinhua.

    Gabenor Wilayah Magadan, Sergey Nosov, berkata empat mayat tambahan ditemui semasa pembersihan serpihan di lombong arang batu Kadykchansky, menjadikan jumlah kematian kepada lapan orang.

    Operasi menyelamat berlangsung selama beberapa hari, membersihkan lebih daripada 15,500 meter padu batu, kata Nosov.

    Runtuhan itu berlaku pada Khamis lalu, memerangkap lapan pekerja. Penyelamat telah menemui empat mayat dari runtuhan menjelang Ahad, kata Kementerian Situasi Kecemasan Rusia, lapor Xinhua.

  • Angka maut tragedi kapal persiaran India meningkat kepada 13 orang

    Jumlah kematian dalam insiden kapal persiaran terbalik di negeri Madhya Pradesh, India tengah, meningkat kepada 13 orang, kata pegawai pada Isnin, menurut Xinhua.

    Kapal persiaran itu terbalik di Empangan Bargi pada Khamis di daerah Jabalpur, kira-kira 340 km di timur Bhopal, ibu kota Madhya Pradesh.

    Menurut polis, 28 orang telah diselamatkan.

    “Semalam, mayat seorang kanak-kanak berusia lima tahun dan bapa saudaranya ditemui terapung dan berjaya dikeluarkan dari empangan. Dengan ini, jumlah kematian dalam tragedi itu telah meningkat kepada 13 orang,” kata seorang pegawai kanan polis pada Isnin, lapor Xinhua.

    “Semua 13 orang telah dikenal pasti dan mayat dihantar ke hospital kerajaan untuk bedah siasat.”

    Pada mulanya, pegawai berkata 29 pelancong tempatan dan dua kru berada di dalam kapal persiaran itu.

  • 2 maut, 6 cedera di Donetsk dan Belgorod akibat serangan Ukraine

    Serangan Ukraine menyebabkan dua orang maut dan empat lagi cedera di wilayah Donetsk, Rusia dan dua lagi cedera di wilayah Belgorod pada Ahad, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

    Pasangan suami isteri terbunuh dan seorang lagi lelaki cedera di daerah Kalininsky di Horlivka dalam serangan dron Ukraine, lapor Xinhua memetik gabenor tempatan Denis Pushilin dalam catatan di Max.

    Di daerah Tsentralno-Gorodskoy di Horlivka, seorang lelaki parah apabila peluru berangkai yang tidak meletup meletup, lapor Xinhua, dua lelaki lain cedera dalam serangan dron berasingan di sebuah penempatan di daerah Mariupol.

    Menurut Xinhua, Vyacheslav Gladkov, gabenor wilayah Belgorod berkata, dron Ukraine melanda sebuah kemudahan komersial, merosakkan bangunan dan tujuh kenderaan penumpang, sambil menambah bahawa seorang gadis berusia 17 tahun parah dan seorang lelaki berusia 20 tahun mengalami luka serpihan di bahu.

  • Pegawai kerajaan Yaman terbunuh di Aden

    Seorang pegawai kerajaan Yaman ditemui mati di Aden pada Ahad, dengan mayatnya mengalami pelbagai luka tembakan, lapor Xinhua memetik seorang pegawai keselamatan yang memberitahunya.

    Pegawai keselamatan tempatan, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata Wissam Qaed, timbalan pengarah eksekutif Dana Sosial untuk Pembangunan, telah diculik pada awal hari oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali dekat kediamannya.

    Keadaan pembunuhan itu masih tidak jelas, dan tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas penculikan atau kematian berikutnya.

  • Afrika Selatan sahkan 2 kematian akibat jangkitan pernafasan di atas kapal persiaran Atlantik

    Jabatan Kesihatan Nasional Afrika Selatan mengesahkan pada petang Ahad, dua orang meninggal dunia akibat jangkitan pernafasan akut di atas kapal persiaran di Lautan Atlantik, lapor Xinhua.

    Kedua-dua individu terbabit berada di atas kapal persiaran kutub MV Hondius, yang dikendalikan oleh Oceanwide Expeditions berpangkalan di Belanda, yang dalam perjalanan dari Ushuaia di selatan Argentina ke Cape Verde.

    Xinhua melaporkan, menurut laporan media terdahulu, kes pertama yang dilaporkan, seorang penumpang berusia 70 tahun, meninggal dunia di atas kapal, dan isterinya yang berusia 69 tahun dipindahkan ke Afrika Selatan dan kemudian meninggal dunia di sebuah hospital di Johannesburg.

    Orang ketiga dimasukkan ke hospital dalam rawatan rapi di Johannesburg dan diuji positif untuk hantavirus. Tidak dapat dipastikan sama ada kes-kes itu berkaitan.

    “Saya boleh mengesahkan bahawa dua orang telah meninggal dunia akibat jangkitan pernafasan akut,” kata jurucakap Jabatan Kesihatan, Foster Mohale, kepada Xinhua.

    “Pada peringkat ini, tiada orang sakit tambahan yang dilaporkan,” kata Mohale, sambil menambah bahawa “tiada diagnosis muktamad” telah dibuat untuk kes ketiga.

    Hantavirus ialah virus jarang berlaku tetapi berpotensi serius yang merebak terutama melalui sentuhan dengan tikus yang dijangkiti atau najis, air kencing atau air liurnya.

  • Pesawat PM Sepanyol terpaksa mendarat di Ankara selepas masalah teknikal

    Pesawat Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, terpaksa melakukan pendaratan cemas di Ankara, ibu negara Turki, pada Ahad selepas masalah teknikal dikesan dalam perjalanan ke Armenia untuk Sidang Kemuncak Komuniti Politik Eropah (EPC), lapor Xinhua.

    Pesawat itu, sebuah Airbus A310, berlepas sejurus sebelum jam 4:00 petang waktu tempatan (1500 GMT) dari pangkalan udara Torrejon de Ardoz dekat Madrid, menuju ke Yerevan, ibu negara Armenia, lapor Xinhua memetik media tempatan.

    Sumber kerajaan berkata, isu teknikal itu tidak serius, tetapi pesawat itu dikehendaki mendarat di lapangan terbang terdekat selaras dengan prosedur keselamatan penerbangan.

    Sidang Kemuncak EPC ke-8 di Yerevan bertemakan “Membina Masa Depan: Perpaduan dan Kestabilan di Eropah” yang menghimpunkan pemimpin dari hampir 50 negara dan institusi Eropah.

  • 20 terbunuh dalam serangan Israel di Lubnan dalam 24 jam terakhir, angka maut hampiri 2,700

    Serangan Israel mengorbankan 20 orang dalam 24 jam terakhir di Lubnan, menjadikan jumlah kematian negara itu sejak 2 Mac kepada 2,679, kata Kementerian Kesihatan pada Ahad, lapor Anadolu.

    Menurut Anadolu, kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, 46 orang juga cedera sepanjang hari lalu, menjadikan jumlah kecederaan kepada 8,229 dalam tempoh yang sama.

  • Tentera Israel pintas roket Hizbullah di selatan Lubnan

    Tentera Israel melaporkan memintas roket Hizbullah selepas amaran diaktifkan di kawasan Menara, utara Israel, lapor Al Jazeera, roket-roket itu dilaporkan menyasarkan tentera Israel yang kini ditempatkan di selatan Lubnan.

    Menurut Al Jazeera, tentera itu berkata, tentera udaranya memintas satu pelancaran, manakala roket-roket lain jatuh di kawasan terbuka, tanpa sebarang kecederaan.

  • Kapal pengangkut pukal diserang di luar pantai Iran – UKMTO

    Agensi Operasi Perdagangan Maritim UK (UKMTO) berkata sebuah kapal pengangkut pukal yang menuju ke utara melaporkan diserang oleh beberapa kraf kecil di luar pantai Iran, kira-kira 11 batu nautika (18km) barat Sirik, lapor Al Jazeera.

    Semua kru selamat, dan tiada kesan alam sekitar dilaporkan, tambah agensi itu.

  • Hizbullah lapor serangan dron dan roket ke atas pasukan Israel di selatan Lubnan

    Hizbullah berkata ia menyasarkan kenderaan tentera dan askar Israel di pekan al-Bayyad, selatan Lubnan, mengesahkan satu hentaman, lapor Al Jazeera.

    Serangan itu berlaku pada jam 11:30 pagi (08:30 GMT) pada Ahad, dan pasukan Israel dihentam dengan dron “kamikaze”.

    Pada jam 2:30 petang (11:30 GMT), Hizbullah berkata ia juga menyasarkan kenderaan dan askar Israel di pekan al-Qantara, di daerah Marjayoun, dengan senjata roket tanpa hentaman disahkan.

    Serangan itu dilakukan “untuk mempertahankan Lubnan dan rakyatnya, dan sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata oleh musuh Israel dan serangan yang menyasarkan kampung-kampung di selatan Lubnan, mengakibatkan syahid dan kecederaan orang awam”, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan di Telegram, menurut Al Jazeera.

  • Briged ke-401 Israel yang dituduh bunuh Hind Rajab temui lebih 100 senjata Hizbullah di selatan Lubnan

    Tentera Israel berkata ia menemui lebih 100 senjata digunakan oleh Hizbullah di selatan Lubnan dalam 24 jam, lapor berita Al Jazeera.

    Senjata-senjata itu termasuk raifal jenis Kalashnikov, 20 roket, raifal penembak hendap dan peralatan tempur lain.

    Senjata-senjata ini dilaporkan ditemui di kawasan Rashaf di selatan Lubnan oleh pasukan Briged ke-401, menurut Al Jazeera, itulah briged Israel yang dituduh membunuh budak perempuan Palestin Hind Rajab dan keluarganya di Gaza pada Januari 2024.

  • Pengawal pantai Sweden rampas kapal tangki disyaki berbendera palsu di Laut Baltik

    Pengawal Pantai Sweden berkata pada Ahad, ia merampas sebuah kapal tangki di Laut Baltik yang dipercayai sebagai sebahagian daripada armada bayangan Rusia, tindakan terbaru dalam rentetan tindakan serupa yang dilakukan dalam beberapa bulan kebelakangan ini oleh pihak berkuasa negara itu, lapor Reuters.

    Menurut agensi berita itu, Pengawal Pantai Sweden berkata dalam satu kenyataan, ia dan polis telah menaiki Jin Hui berbendera Syria di perairan wilayah Sweden di selatan Trelleborg dan memulakan siasatan awal terhadap kekurangan kelayakan laut.

    “Pengawal pantai mengesyaki kapal itu belayar di bawah bendera palsu, memandangkan terdapat beberapa penyelewengan mengenai status benderanya, dan oleh itu tidak memenuhi tuntutan kelayakan laut seperti yang dinyatakan dalam peraturan dan perjanjian antarabangsa,” katanya.

    Menurut Reuters, pengawal pantai itu berkata, kapal itu, yang destinasinya tidak jelas dan dianggap tidak membawa kargo, disenaraikan dalam beberapa senarai sekatan, termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan Britain.

    Menurut Reuters, Menteri Pertahanan Awam Sweden, Carl-Oskar Bohlin, berkata secara berasingan di X bahawa vesel itu disyaki milik apa yang disebut armada bayangan Rusia.

  • 1 rakyat Palestin terbunuh, 4 cedera akibat tembakan Israel di Tebing Barat

    Seorang pemuda Palestin terbunuh dan empat lagi cedera akibat tembakan tentera Israel di bandar Nablus, utara Tebing Barat pada Ahad, kata Kementerian Kesihatan Palestin, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, ia menyatakan dalam satu kenyataan, Naif Samaro, 26, terbunuh selepas ditembak di kepala semasa serbuan Israel.

  • 2 anggota perkhidmatan AS hilang selepas latihan ketenteraan di Maghribi – Perintah Afrika AS

    Dua anggota perkhidmatan Amerika Syarikat (AS) hilang dekat bandar Tan Tan, barat daya Maghribi, selepas menyertai latihan ketenteraan multinasional tahunan di negara itu, kata Perintah Afrika AS pada Ahad, menurut berita Xinhua.

    “Kejadian itu masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.

  • Dua pendatang maut dalam percubaan menyeberangi Selat Inggeris di luar utara Perancis

    Dua pendatang maut awal Ahad semasa percubaan menyeberangi Selat Inggeris dari sebelah Perancis, menurut berita Xinhua memetik media tempatan.

    Xinhua melaporkan, menurut harian Perancis Le Figaro, kira-kira 82 orang bertolak dengan menaiki bot sementara dari Neufchatel-Hardelot, di jabatan Pas-de-Calais di utara Perancis, pada awal pagi Ahad.

    Bot itu kemudiannya hanyut di laut kerana disyaki mengalami kegagalan enjin sebelum terkandas di pantai berdekatan.

    Tujuh belas orang yang jatuh ke dalam air diselamatkan di luar pesisir oleh unit gendarmerie maritim, manakala 65 penumpang ditemui di atas bot. Dua wanita ditemui mati di dalam bot, dan beberapa yang lain dipindahkan ke hospital, termasuk tiga dalam keadaan kritikal.

  • Dua maut selepas letupan rumah di Bristol, Britain

    Dua orang maut selepas letupan di sebuah alamat kediaman di Bristol, selatan England, kata polis tempatan pada Ahad, lapor Xinhua.

    Polis dipanggil ke Sterncourt Road pada pagi Ahad, sebelum mereka mengepung kawasan itu dan memindahkan penduduk berdekatan, menurut kenyataan oleh Polis Avon dan Somerset, lapor Xinhua.

    Punca kejadian itu dianggap mencurigakan, dan satu insiden besar telah diisytiharkan.

    “Memandangkan perubahan baru-baru ini pada tahap ancaman UK, kami ingin memberi jaminan kepada orang ramai dari awal lagi bahawa kami tidak menganggap ini sebagai insiden pengganas yang disyaki,” kata kenyataan itu.

    Britain minggu lalu menaikkan tahap ancaman keganasannya kepada “teruk”, tahap kedua tertinggi, selepas polis mengisytiharkan serangan tikaman di kawasan Golders Green London sebagai “insiden pengganas”.

  • Korea Selatan rampas gelaran Piala Uber

    Korea Selatan merampas gelaran Piala Uber, menewaskan juara bertahan China 3-1 di perlawanan akhir di Horsens, Denmark, pada Ahad, menurut berita Xinhua.

    Ia merupakan mahkota Piala Uber ketiga Korea Selatan, menambah kemenangannya pada 2010 dan 2022.