• Iran beri amaran potensi serangan ke atas tapak perindustrian di Israel, negara-negara Teluk

    Media Iran pada Ahad menerbitkan senarai kemudahan perindustrian di Israel dan lima negara Teluk yang Tehran beri amaran boleh disasarkan dalam potensi serangan, lapor Anadolu.

    Anadolu melaporkan, menurut seorang korespondennya, senarai itu merangkumi butiran syarikat keluli dan perindustrian utama, termasuk Saudi Iron and Steel Company (Hadeed) di Arab Saudi, Emirates Steel Arkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar Steel, Foulath Holding di Bahrain, United Steel Industrial Company di Kuwait, dan Yehuda Steel di Israel.

    Pada Jumaat, Majid Mousavi, komander Pasukan Aeroangkasa IRGC, mengancam untuk tindakan balas “tit-for-tat” susulan serangan AS-Israel ke atas infrastruktur Iran.

    Serangan udara AS-Israel melanda Khuzestan Steel Company Iran pada Sabtu, menyasarkan kemudahan pengeluaran utama dan memaksa operasi dihentikan, menurut Anadolu.

  • Serangan AS-Israel hentam bangunan menempatkan pejabat TV Al Araby yang berpangkalan di Qatar di Tehran

    Serangan AS-Israel melanda bangunan yang menempatkan pejabat Rangkaian Televisyen Al Araby di ibu negara Iran, Tehran, pada Ahad, menurut Anadolu.

    Saluran yang berpangkalan di Qatar itu berkata di X, semua kakitangan selamat selepas serangan ke atas bangunan yang mengandungi pejabatnya di Tehran.

    Rakaman video disiarkan oleh saluran itu menunjukkan kerosakan yang meluas di tingkat dua dan tiga bangunan itu, tempat pejabatnya terletak.

    AS dan Israel telah meneruskan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Feb lalu.

  • Semua universiti AS, Israel di Asia Barat “sasaran yang sah” selepas serangan ke atas universiti Iran – IRGC

    Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memberi amaran pada Ahad, ia kini menganggap semua universiti Israel dan AS di Asia Barat sebagai “sasaran sah”, susulan serangan ke atas universiti Iran, lapor Xinhua.

    IRGC mengeluarkan amaran itu di saluran berita rasminya Sepah News, sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas Universiti Sains dan Teknologi di Tehran pada Sabtu dan ke atas Universiti Teknologi Isfahan di pusat bandar Isfahan pada Khamis.

    Ia menyatakan semua universiti Israel dan AS akan kekal sebagai sasaran sah sehingga Iran menyerang dua daripadanya sebagai tindakan balas.

    IRGC memberi amaran kepada kakitangan, pelajar dan penduduk dekat universiti terbabit untuk berada sekurang-kurangnya 1 km jauhnya bagi mengelakkan kecederaan.

    Ia menuntut Washington mengeluarkan kecaman rasmi terhadap serangan ke atas universiti Iran menjelang jam 12:00 tengah hari waktu tempatan Isnin (0830 GMT) jika ia mahu universiti serantaunya terselamat.

  • 3 maut dalam kemalangan trafik di Kazan, Rusia

    Tiga orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya pada Ahad di Kazan, sebuah bandar di Republik Tatarstan, Rusia, kata pihak berkuasa tempatan, menurut berita Xinhua.

    Menurut maklumat awal, kemalangan itu berlaku apabila pemandu mengabaikan papan tanda jalan dan merempuh penghadang konkrit.

    Impak itu menyebabkan kenderaan itu terbalik, berlanggar dengan lima buah kereta yang diletakkan, dan terbakar. Pemandu dan dua penumpang meninggal dunia di tempat kejadian. Serpihan dari penghadang bertaburan di jalan raya, merosakkan beberapa kenderaan lain.

  • 20 terbunuh dalam serangan Israel ke atas selatan Lubnan

    Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan ramai yang lain cedera dalam satu siri serangan udara Israel di selatan Lubnan pada malam Sabtu hingga Ahad, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan dan laporan tempatan, berita Xinhua melaporkan.

    Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan berkata, serangan udara Israel di daerah Nabatieh mengorbankan tujuh orang dan mencederakan lapan yang lain. Tujuh orang juga terbunuh dalam serangan udara di kampung Henniyeh, manakala dua orang terbunuh dan tiga yang lain cedera dalam serangan berasingan di kampung Jouaiya.

    Terdahulu, dua orang terbunuh apabila serangan udara melanda sebuah rumah di kampung Ebba.

    Satu lagi serangan yang menyasarkan sebuah pusat dekat Hospital Bint Jbeil di bandar Bint Jbeil mengorbankan dua orang paramedik dari Pihak Berkuasa Kesihatan Islam.

    Sementara itu, Hizbullah berkata ia melancarkan roket dan dron di beberapa pangkalan dan tapak tentera Israel di sepanjang sempadan Israel-Lubnan. Ia juga melepaskan peluru berpandu pertahanan udara ke arah helikopter Israel di atas kampung Adaisseh, memaksanya berundur.

    Juga pada Ahad, Israel berkata salah seorang askarnya, seorang warganegara AS-Israel, terbunuh semasa pertempuran di selatan Lubnan.

    Tentera Israel berkata, Sarjan Moshe Yitzchak Hacohen Katz, 22, dari New Haven, Connecticut, berkhidmat dalam Briged Pasukan Penerjun Payung. Tiada butiran lanjut diberikan.

    Pertempuran rentas sempadan berterusan di sepanjang sempadan Lubnan-Israel sejak 2 Mac, apabila Hizbullah melancarkan roket ke arah Israel buat kali pertama sejak gencatan senjata dipersetujui pada 27 November 2024, mencetuskan serangan udara Israel yang dipergiatkan di seluruh selatan dan timur Lubnan, dan di pinggir bandar selatan Beirut.

  • Israel kata serangan baharu ke atas Iran selesai ketika konflik masuk hari ke-30

    Tentera Israel berkata pada Ahad, ia menyerang infrastruktur di Tehran dan tempat lain di seluruh negara itu, lapor berita Xinhua.

    Seorang jurucakap tentera itu berkata, “gelombang serangan berskala luas” itu menyasarkan pusat arahan sementara, serta kemudahan pengeluaran dan penyimpanan sistem pertahanan udara dan peluru berpandu balistik, serta tapak pembuatan dan penyimpanan senjata lain.

    Menurut Xinhua, terdahulu agensi berita rasmi Iran, IRNA, melaporkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan empat yang lain cedera pada Ahad dalam serangan AS-Israel di sebuah dermaga di bandar pelabuhan di wilayah Hormozgan, selatan Iran.

    Serangan baharu itu berlaku di tengah-tengah konflik AS-Israel dengan Iran bermula dari 28 Feb lalu, dengan pertempuran sengit berterusan antara pihak-pihak berkaitan dan tiada kejayaan dalam gencatan senjata ketika ia memasuki hari ke-30 pada Ahad.

  • Arab Saudi kata 10 dron dipintas dan dimusnahkan dalam beberapa jam lalu

    Sistem pertahanan udara Arab Saudi memintas dan memusnahkan 10 dron sejak beberapa jam lalu, kata Kementerian Pertahanan negara itu dalam satu kenyataan pada pagi Ahad, lapor Anadolu.

    Kementerian itu tidak mendedahkan di mana pintasan itu berlaku.

    Ketegangan serantau terus meningkat sejak Israel dan AS melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb lalu.

  • Lima terbunuh dalam serangan AS-Israel ke atas Hormozgan Iran

    Menurut Aljazeera, agensi berita Fars melaporkan lima orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam serangan AS-Israel ke atas sebuah jeti di bandar Bandar e Khamir di wilayah Hormozgan.

    Ia mengatakan dua vesel dan sebuah kenderaan telah dilanda dan rosak dalam serangan itu.

  • Israel kata satu lagi gelombang serangan sasar Iran

    Satu lagi gelombang serangan di Iran telah “selesai”, menurut tentera Israel, hanya beberapa jam selepas letupan besar kedengaran di seluruh ibu negara, Tehran, lapor Aljazeera.

    Dalam satu kenyataan di X, ia mendakwa serangan itu menyasarkan tapak penyimpanan dan pengeluaran senjata serta sistem pertahanan udara, menurut Aljazeera.

  • Hizbullah dakwa serangan roket dan dron ke utara Israel

    Menurut Aljazeera, siren berbunyi di utara Israel sepanjang awal pagi ini disebabkan oleh tembakan roket yang masuk dari Lubnan.

    Hizbullah kini telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang memperincikan sasaran serangan terbabit.

    Ia berkata pejuangnya menyasarkan pekan Metula dengan tembakan serentak roket pada jam 5 pagi waktu tempatan, dan menyerang kampung Shtul dengan tembakan serentak roket pada jam 6:20 pagi.

    Kumpulan itu berkata ia juga menjalankan serangan dron ke atas pangkalan Rawiya di Dataran Tinggi Golan yang diduduki dan melancarkan roket di sebuah tapak di kampung Ghajar pada jam 6:25 pagi.

  • 2 wartawan dan jurukamera terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan, Aoun kutuk serangan

    Dua wartawan dan seorang jurukamera dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah kereta yang membawa empat orang di Jezzine, selatan Lubnan, pada tengah hari Sabtu. Keempat-empat penumpang dilaporkan maut.

    Wartawan terbabit dikenal pasti sebagai wartawan Al-Manar Ali Shoaib, wartawan Al-Mayadeen Fatima Ftouni, dan jurukamera Mohammad Ftouni, lapor berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, Presiden Lubnan Joseph Aoun mengutuk serangan itu, menyifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

    Dia berkata, wartawan adalah orang awam yang dilindungi di bawah Konvensyen Geneva dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1738, yang melarang serangan ke atas wartawan yang tidak terlibat secara langsung dalam permusuhan.

    Aoun menggesa badan antarabangsa untuk campur tangan bagi menghentikan serangan ke atas wilayah Lubnan dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan komuniti media.

    Menurut Xinhua, tentera Israel berkata pada Sabtu, Shoaib adalah ahli unit perisikan Radwan Force Hezbollah yang beroperasi di bawah penyamaran seorang wartawan untuk rangkaian Al-Manar yang bergabung dengan Hezbollah. Ia tidak memberikan sebarang bukti.

    Sekurang-kurangnya 10 orang lagi terbunuh, dan berpuluh-puluh orang cedera dalam serangan udara dan pengeboman Israel di seluruh selatan Lubnan, lapor Xinhua memetik pegawai dan media Lubnan.

    Lima warga Syria terbunuh dan lapan yang lain cedera dalam serangan udara pada fajar di kampung Hanine, dekat sempadan Lubnan-Israel.

    Pasukan Pertahanan Awam menemui mayat dan mengangkut mereka yang cedera ke hospital di Tyre.

    Dalam serangan berasingan, seorang paramedik terbunuh, dan empat yang lain cedera apabila serangan udara Israel melanda ambulans Pertahanan Awam di Kfar Tebnit, menurut Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam Lubnan.

    Dua orang lagi, seorang bapa dan anak lelakinya, terbunuh apabila kereta mereka dilanda semasa dalam perjalanan dari Rmeish ke Debel.

    Seorang lagi terbunuh dalam serangan ke atas motosikal di Haddatha.

    Kemudian, seorang terbunuh dan 17 yang lain cedera dalam serangan udara di Sarafand di daerah Sidon, kata Kementerian Kesihatan.

    Di pinggir bandar selatan Beirut, sebuah projektil Israel yang membawa risalah amaran mendarat di balkoni di kawasan Jnah. Tiada serangan susulan.

    Menurut Xinhua, Hizbullah berkata, ia melancarkan pelbagai serangan ke atas tapak tentera Israel, perhimpunan tentera dan penempatan di utara Israel pada Jumaat dan Sabtu, termasuk roket, artileri dan dron.

    Kumpulan itu juga mendakwa ia telah menyerang hendap pasukan Israel dekat Baydar al-Faqaani di Taybeh selepas tengah malam, mengakibatkan ramai korban. Saksi melaporkan melihat orang yang cedera dipindahkan.

    Pertempuran rentas sempadan telah berterusan sejak 2 Mac lalu, apabila Hizbullah melancarkan roket ke Israel buat kali pertama sejak gencatan senjata pada 27 November 2024, mendorong serangan udara Israel yang dipergiatkan di seluruh selatan dan timur Lubnan.

  • Angka maut akibat kebakaran bangunan di utara China meningkat kepada 3

    Tiga orang terbunuh dan 23 lagi cedera dalam kebakaran bangunan di Taiyuan, Wilayah Shanxi di utara China, pada malam Sabtu, kata pihak berkuasa tempatan, menurut Xinhua.

    Kebakaran itu meletus sekitar jam 8 malam di Daerah Xiaodian di Taiyuan, kata sumber kerajaan perbandaran Taiyuan.

    Antara yang cedera, sembilan dalam keadaan serius, menurut jabatan publisiti daerah itu. Punca kebakaran sedang disiasat.

  • Hizbullah dakwa serang pangkalan Israel dekat Safad

    Kumpulan bersenjata Lubnan itu mengatakan iamelakukan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan Mahava Alon Israel dan menembak dron ke pangkalan Berea, kedua-duanya dekat bandar utara di Safad, pagi ini, lapor Aljazeera.

    Hizbullah juga mengatakan ia menembak tiga roket ke arah tentera dan kenderaan Israel di tapak Al-Malikiyah di utara Israel.

    Kumpulan itu mengatakan pejuangnya juga menyasarkan pasukan berperisai Israel di Deir Siryan di selatan Lubnan.

  • Kedutaan Israel enggan terima kenyataan daripada mangsa bom atom Jepun

    Kedutaan Israel di Tokyo enggan menerima kenyataan daripada empat kumpulan mewakili mangsa bom atom yang mengkritik perang AS dan Israel ke atas Iran, lapor Aljazeera.

    Kenyataan itu telah dikembalikan kepada kumpulan-kumpulan di Wilayah Nagasaki oleh pejabat pos, yang mengatakan bahawa kedutaan itu “enggan menerimanya”, agensi berita Kyodo melaporkannya, memetik Majlis Mangsa Bom Atom Nagasaki.

    “Dokumen itu dihantar kembali tanpa dibaca. Saya fikir mereka semakin berfikiran tertutup,” kata Shigemitsu Tanaka, ketua majlis berusia 85 tahun itu.

    Nagasaki telah musnah akibat bom atom AS bersama-sama Hiroshima pada hari-hari terakhir Perang Dunia II. Mangsa pengeboman AS telah berkempen untuk larangan senjata nuklear global.

  • Beberapa letupan kedengaran di Tehran

    Menurut Aljazeera, agensi berita Iran Fars mengatakan beberapa letupan kedengaran di ibu negara, Tehran.

    Sementara itu, Aljazeera memetik agensi berita AFP melaporkan dua letupan kuat telah menggegarkan utara Tehran sekitar jam 7:20 pagi (03:50 GMT) ketika pertahanan udara beroperasi, walaupun tidak jelas apa yang disasarkan.

  • Siren berbunyi di Israel susulan serangan baharu peluru berpandu Iran

    Siren berbunyi di seluruh Israel selepas Iran melancarkan serangan baharu peluru berpandu, kata pihak berkuasa Israel pada Ahad, lapor Anadolu.

    Tentera itu berkata, sistem pertahanan udara memintas peluru berpandu terbabit.

    Ia juga menghantar amaran awal ke telefon bimbit di kawasan yang terancam, menggesa penduduk untuk kekal di tempat perlindungan sehingga diberitahu kelak.

  • Pegawai polis Israel berdepan tindakan disiplin kerana gelar Menteri Keselamatan Negara Ben-Gvir ‘penjenayah yang disabitkan kesalahan’

    Seorang pegawai polis Israel bakal menghadapi tindakan disiplin selepas merujuk Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir sebagai “penjenayah yang disabitkan kesalahan,” kata laporan media pada Sabtu, berita Anadolu menyiarkan.

    Menurut Anadolu, laporan oleh Haaretz berkata polis menyimpulkan dalam siasatannya bahawa menggambarkan Ben-Gvir sebagai “penjenayah yang disabitkan kesalahan” merupakan “kenyataan politik” walaupun rekod jenayahnya, termasuk sabitan untuk 13 kesalahan, antaranya “menyokong organisasi pengganas”.

    Ben-Gvir, yang telah dituduh cuba mengubah polis menjadi “militia persendirian” mempunyai sabitan yang termasuk menghasut perkauman, mengenal pasti diri dengan organisasi pengganas, propaganda untuk organisasi pengganas, penyertaan dalam perhimpunan haram, mengambil bahagian dalam rusuhan dan kerosakan harta benda.

    Peguam Negara Gali Baharav-Miara sebelum ini telah membuat petisyen kepada Mahkamah Agung untuk memecat Ben-Gvir daripada jawatannya, dengan memetik campur tangan politik yang menyalahi undang-undang dalam polis dan memudaratkan ketenteraman demokratik.

    Mahkamah Agung menangguhkan pendengaran petisyen terbabit kepada 15 April.

  • Israel tahan 18 orang semasa protes menentang perang ke atas Iran

    Polis Israel menahan 18 orang pada Sabtu di Tel Aviv dan Haifa semasa protes menentang perang ke atas Iran, lapor Anadolu memetik laporan media.

    Menurut Anadolu, akhbar Yedioth Ahronoth berkata 13 orang ditahan semasa demonstrasi di Dataran Habima di tengah Tel Aviv.

    Polis berkata, peserta protes mengganggu ketenteraman awam dan gagal mematuhi arahan pegawai.

    Akhbar itu berkata, pertempuran berlaku antara penunjuk perasaan dan polis semasa perhimpunan itu, menyebabkan penangkapan beberapa orang yang digambarkan oleh polis sebagai “perusuh”.

    Lima lagi ditangkap semasa protes berasingan yang melibatkan 100 penunjuk perasaan di Horev Junction di bandar utara Haifa, tambah akhbar itu.

    Polis berkata penangkapan di sana dibuat atas apa yang mereka sifatkan sebagai gangguan terhadap ketenteraman awam.

    AS dan Israel telah menjalankan serangan ke atas Iran sejak 28 Feb lalu.

  • Pasukan Israel bom pusat pemeriksaan polis Gaza, 6 terbunuh

    Israel meneruskan serangan ke atas rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki di tengah-tengah perang ke atas Iran, lapor Aljazeera.

    Menurut pegawai kesihatan di Gaza, sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh selepas pasukan Israel melancarkan serangan udara ke atas dua pusat pemeriksaan polis di selatan Khan Younis.

    Menurut Aljazeera, pegawai memberitahu agensi berita Reuters bahawa mangsa membabitkan tiga anggota polis dan tiga orang awam, termasuk seorang kanak-kanak perempuan. Empat yang lain cedera.

    Tiada pengesahan segera daripada Israel mengenai serangan itu, lapor Aljazeera.

    Pasukan Israel telah membunuh 692 rakyat Palestin dan mencederakan 1,895 yang lain sejak Israel bersetuju dengan “gencatan senjata” yang diusahakan oleh AS, November lalu.

  • Hizbullah kata ia menjalankan lebih 30 serangan terhadap sasaran Israel dalam tempoh 24 jam terakhir

    Hizbullah berkata pada Sabtu, ia telah menjalankan 32 serangan dalam tempoh 24 jam terakhir, menyasarkan tapak tentera, tentera dan kenderaan Israel dengan roket, dron dan artileri, lapor Anadolu.

    Ia berkata, serangan itu datang “untuk mempertahankan Lubnan dan rakyatnya” ketika serangan Israel ke atas negara itu berterusan.

    Satu kenyataan berkata, operasi itu menyasarkan pangkalan tentera, kepekatan tentera dan kenderaan berperisai di selatan Lubnan dan utara Israel.

    Kumpulan itu berkata ia menyerang pangkalan Mishar, yang digambarkannya sebagai ibu pejabat perisikan utama untuk wilayah utara Israel, dan pangkalan Dado, ibu pejabat Perintah Utara tentera Israel.

    Hizbullah juga berkata, ia menyasarkan pesawat peninjau RC-12 Israel di atas barat Bekaa di timur Lubnan, memaksanya berundur.

    Kumpulan itu berkata ia menyerang kenderaan Hummer dan tujuh kereta kebal Merkava di pekan Qantara, Dibel dan Bayyada di selatan Lubnan, mendakwa hentaman langsung.

    Ia juga melaporkan pertempuran dengan pasukan Israel di beberapa kawasan di selatan Lubnan, termasuk Taybeh, Bayyada, Qantara dan Shamaa.

    Menurut Anadolu, tentera Israel berkata sembilan askar, termasuk dua pegawai, cedera pada Sabtu selepas roket dilancarkan dari selatan Lubnan.

    Penyiar awam Israel, Kan, berkata tujuh askar dan dua pegawai cedera selepas roket dilancarkan ke arah mereka dari selatan Lubnan, tanpa menyatakan sama ada kecederaan itu disebabkan oleh serangan langsung atau serpihan pemintas yang jatuh.

    Israel telah menggempur Lubnan dengan serangan udara dan melancarkan serangan darat di selatan Lubnan sejak serangan rentas sempadan oleh Hizbullah pada 2 Mac.

    Pihak berkuasa Lubnan berkata sekurang-kurangnya 1,189 orang telah terbunuh dan 3,427 cedera dalam serangan Israel.