• Perkhidmatan keselamatan Rusia gagalkan percubaan sabotaj kereta api, bunuh 2

    Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) Rusia berkata ia menggagalkan percubaan sabotaj kereta api di Wilayah Altai dan membunuh dua pelaku yang melepaskan tembakan semasa penahanan mereka, Xinhua memetik laporan agensi berita TASS pada Isnin.

    Menurut Pusat Perhubungan Awam FSB, kedua-dua penduduk tempatan itu sedang menyediakan serangan ke atas infrastruktur kereta api di bawah penyelarasan perkhidmatan khas Ukraine dan ahli organisasi yang diharamkan di Rusia.

    Insiden itu berlaku pada Sabtu di bahagian kereta api di antara stesen Altayskaya dan Biysk, di mana kedua-dua lelaki itu cuba memasang apa yang dipanggil peranti tergelincir di landasan yang digunakan secara intensif oleh kedua-dua kereta api pengangkutan dan penumpang, kata FSB.

    FSB mengeluarkan video yang menunjukkan pelaku melakukan peninjauan di tapak serangan yang dirancang dan tiba dengan sebuah SUV sebelum menghampiri landasan di bawah jambatan kereta api.

    Video itu kemudian menunjukkan pegawai keselamatan tiba, bersurai di sekitar kenderaan penjenayah, dan membalas tembakan selepas lelaki itu menembak mereka. Ia juga memaparkan kerosakan peluru pada kenderaan FSB, mayat kedua-dua suspek dengan senjata berdekatan, dan peluru ditemui di dalam kereta mereka.
    Beberapa sudut alat tergelincir yang dirancang dipasang oleh pelaku juga ditunjukkan.

  • China akan sediakan bantuan tunai kepada Vietnam dilanda banjir

    Jurucakap kementerian luar China berkata pada Isnin, China akan menyediakan bantuan tunai kepada Vietnam yang dilanda banjir, lapor Xinhua.

    Jurucakap Mao Ning dilapor memberitahu taklimat berita harian, China menyedari bahawa baru-baru ini banyak kawasan di Vietnam telah mengalami kemalangan jiwa dan kerugian harta benda akibat taufan dan bencana banjir.

    Atas pertimbangan kemanusiaan dan semangat persahabatan terhadap rakyat Vietnam, China akan menyediakan bantuan tunai, Mao dilapor berkata.

  • Paras banjir di selatan Thai masih meningkat

    Banjir teruk berterusan dan lebih dalam di kebanyakan 10 wilayah selatan yang terjejas pada Isnin, lapor Bangkok Post, dengan hujan lebat diramalkan berterusan di wilayah itu hingga Selasa.

    Menurut Bangkok Post, Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana melaporkan pada pagi Isnin bahawa banjir berterusan di 10 wilayah selatan dan paras air terus meningkat di kebanyakannya.

    Banjir di 10 wilayah dilaporkan di:

    1. Surat Thani: Daerah Tha Chang, Kanchanadit dan Khian Sa.
    2. Krabi: Khao Phanom.
    3. Nakhon Si Thammarat: Cha-uat, Muang, Tha Sala, Phrommakhiri, Ron Phibun, Na Bon, Sichon, Chawang, Thung Song, Chalerm Prakiat, Hua Sai, Lan Saka, Bang Khan, Phra Phrom, Chang Klang, Pak Phanang, Chulabhorn, Nop Phi Tam, Thung Yai, Phipun, Chian Yai dan Tham Phan Yai
    4. Trang: Na Yong, Huai Yot, Ratsada, Yan Ta Khao, Wang Wiset, Kantang, Muang, Sikao dan Palian.
    5. Phatthalung: Muang, Khuan Khanun, Kong Ra, Khao Chaison, Sri Nakarin, Bang Kaew, Pa Bon, Pak Phayun, Sri Banphot, Pa Phayom dan Tamot.
    6. Satun: Khuan Don, Langu, Tha Phae, Manang, Khuan Ka Long, Muang dan Thung Wa.
    7. Songkhla: Rattaphum, Muang, Chana, Khlong Hoi Khong, Ranot, Krasae Sin, Sathing Phra, Hat Yai, Khuan Niang, Na Thawi, Singha Nakhon, Na Mom, Bang Klam, Sadao, Thepha dan Saba Yoi.
    8. Pattani: Sai Buri, Mae Lan, Khok Pho, Mayo, Yarang, Mai Kaen, Yaring, Panare, Thung Yang Daeng, Kapho, Nong Chik dan Muang.
    9. Yala: Muang, Raman, Betong dan Bannang Sata.
    10. Narathiwat: Bacho, Yi-ngo, Muang, Rangae, Tak Bai, Sungai Padi dan Sri Sakhon

    Dilaporkan, paras banjir di wilayah selatan meningkat kecuali di Surat Thani dan Krabi, di mana banjir telah surut. Kawasan banjir meluas di Narathiwat dan Yala.

    Jumlah tertinggi isi rumah terjejas dilaporkan di Songkhla (243,568), diikuti Nakhon Si Thammarat (210,950).

    Menurut Bangkok Post, Jabatan Meteorologi berkata hujan lebat akan berterusan di bahagian bawah Selatan hingga Selasa.

  • 3 terbunuh, 5 cedera dalam serangan di ibu pejabat pasukan persekutuan di Peshawar Pakistan

    Sekurang-kurangnya tiga anggota keselamatan terbunuh dan lima lagi cedera pada pagi Isnin dalam serangan di ibu pejabat Konstabulari Persekutuan di barat laut Pakistan, ibu kota wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Peshawar, kata polis, Xinhua melaporkan.

    Inspektor Jeneral Polis (ketua polis) di Khyber Pakhtunkhwa Zulfiqar Hameed dilapor memberitahu media bahawa seorang pengebom berani mati meletupkan jaketnya di pintu pagar utama ibu pejabat Federal Konstabulari, yang dahulunya dikenali sebagai Frontier Konstabulari.

    Susulan serangan itu, dua pengganas memasuki kawasan awal ibu pejabat, tetapi pengawal yang bertugas menembak mati kedua-dua pengganas di tempat kejadian, ketua polis dilapor berkata.

    Ketua polis dilapor berkata, salah seorang daripada dua pengganas yang terbunuh adalah pengebom berani mati, dan jaket sarat bahan letupannya meletup selepas tembakan.

    Saksi mata dilapor memberitahu Xinhua bahawa mereka mendengar tembakan sengit selepas dua letupan berlaku di kawasan itu.

    Polis, pasukan keselamatan dan pasukan penyelamat bergegas ke lokasi dan memindahkan mangsa yang cedera ke hospital berdekatan.

    Polis telah menyekat jalan menuju ke kawasan itu dan meminta rakyat berwaspada dan mengelak daripada melakukan perjalanan yang tidak perlu di wilayah itu.

  • 2 maut dalam kemalangan bas-motosikal di ibu negara Vietnam

    Kemalangan jalan raya di sebuah jambatan di ibu negara Vietnam, Hanoi meragut dua nyawa pada malam Ahad, Xinhua memetik laporan Agensi Berita Vietnam pada Isnin.

    Sebuah bas penumpang hilang kawalan dan berlanggar dengan sebuah motosikal yang dalam perjalanan ke arah sama menyebabkan dua di atas motosikal itu maut serta-merta. Bas itu kemudian merempuh pagar penghadang jambatan dan terbakar.

  • Presiden Nigeria sahkan kepulangan 89 mangsa culik

    Presiden Nigeria Bola Tinubu pada Ahad mengesahkan penyelamatan dan pemulihan sekurang-kurangnya 89 mangsa yang diculik awal minggu lalu di wilayah tengah negara itu, lapor Xinhua.

    Mangsa yang mendapat semula kebebasan termasuk 38 penganut yang diculik semasa perkhidmatan gereja di Eruku, Negeri Kwara, dan sekurang-kurangnya 51 pelajar terperangkap dalam serangan sekolah di Niger pada Jumaat, Tinubu dilapor berkata dalam satu kenyataan di X rasminya.

  • Sekurang-kurangnya 5 terbunuh, 25 cedera dalam serangan Israel di Beirut

    Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 25 yang lain cedera pada Ahad dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah apartmen kediaman di Haret Hreik, pinggir selatan Beirut, Xinhua memetik laporan Kementerian Kesihatan Lubnan.

    Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilapor mengesahkan serangan itu, berkata ia cuba membunuh Haytham Ali Tabatabai, yang Netanyahu sifatkan sebagai ketua de facto kakitangan Hizbullah yang “mengetuai pembinaan pasukan dan usaha persenjataan”.

    “Israel berazam untuk meneruskan objektifnya di mana-mana dan pada bila-bila masa,” Netanyahu dilapor berkata.

    Israel mahupun Hizbullah tidak menyebut sama ada Tabatabai terbunuh dalam serangan itu.

    Xinhua melaporkan, menurut saluran TV Al-Jadeed Lubnan, serangan itu juga menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan dan kereta yang diparkir di kawasan kejiranan yang padat penduduknya.

    Hizbullah dilapor berkata, kawasan itu tidak mengandungi pusat tentera.

    Berikutan serangan itu, pesawat perang Israel terus terbang rendah merentasi wilayah Dahieh di pinggir selatan.

    Sebelumnya, Netanyahu dilapor memberitahu mesyuarat kabinet mingguan bahawa Israel “akan terus melakukan apa sahaja yang perlu untuk menghalang Hizbullah daripada mewujudkan semula keupayaannya” untuk mengancam Israel.

    Menurut laporan Xinhua, presiden Lubnan Joseph Aoun mengecam serangan itu, menyifatkannya sebagai “satu lagi tanda tidak mengendahkan gesaan berulang kali untuk menghentikan serangan dan melaksanakan resolusi antarabangsa”.

    Dia menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas untuk menghentikan serangan, mencegah ketegangan serantau, dan mengelakkan pertumpahan darah lebih lanjut.

    Dalam perkembangan berasingan, menurut Xinhua, Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan melaporkan, serangan dron Israel pada awal hari menyasarkan sebuah kereta di perkampungan Aita al-Shaab di daerah Bint Jbeil di selatan Lubnan mengorbankan seorang.

    Sumber keselamatan Lubnan dilapor memberitahu Xinhua bahawa yang maut adalah anggota Hizbullah bernama Mohammad Saleh.

  • Sekurang-kurangnya 50 murid yang diculik dari sekolah Katolik Nigeria melarikan diri, kata gereja

    Lima puluh daripada lebih 300 pelajar yang diculik dari sekolah Katolik Nigeria minggu lalu telah melarikan diri, kata Persatuan Kristian Nigeria (CAN) pada Ahad, berita Reuters melaporkan.

    Murid-murid itu melarikan diri antara Jumaat dan Sabtu dan sejak itu telah bersatu semula dengan ibu bapa mereka, pengerusi CAN Bulus Yohanna dilapor berkata dalam satu kenyataan.

    Kira-kira 253 kanak-kanak, termasuk 12 kakitangan, masih bersama penculik, tambah Yohanna, seorang Uskup Katolik yang juga pemilik sekolah itu, lapor Reuters.

    Lelaki bersenjata menculik pelajar dan guru dari sekolah St. Mary di barat laut negara itu pada Jumaat, yang terbaru dalam beberapa serangan sekolah minggu ini yang telah memaksa kerajaan menutup 47 kolej.

    Pope Leo dilapor merayu pada Ahad agar membebaskan segera kanak-kanak dan kakitangan yang diculik, salah satu penculikan beramai-ramai yang paling teruk pernah direkodkan di sana.

    “Saya membuat rayuan ikhlas untuk pembebasan segera tebusan,” Pope Leo dilapor berkata pada akhir misa di Dataran St Peter di Rom.

  • Banjir 5 negeri di Malaysia semakin serius, mangsa dipindahkan kini 8,895 orang

    Jumlah mangsa banjir membabitkan lima negeri di Malaysia terus meningkat kepada 8,895 orang membabitkan 3,162 keluarga, menurut laporan BH Online.

    Menurut portal berita itu, semua mangsa kini ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di semua negeri terbabit setakat jam 8 malam ini.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dilapor berkata, Kelantan merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 7,695 orang daripada 2,810 keluarga dengan 31 PPS dibuka di empat daerah.

    Di Kedah dilaporkan 404 mangsa daripada 122 keluarga kini berlindung di tiga PPS, manakala di Terengganu dilaporkan 361 mangsa membabitkan 108 keluarga ditempatkan di dua PPS.

    Di Perlis dilaporkan 307 mangsa daripada 92 keluarga yang ditempatkan di dua PPS dan di Pulau Pinang, dilaporkan negeri terbaru terkesan banjir merekodkan 128 mangsa membabitkan 30 keluarga, dipindahkan di dua PPS.

  • Israel serang pinggir selatan Beirut

    Pesawat perang Israel pada Ahad menyerang sebuah apartmen kediaman di Haret Hreik, pinggir selatan Beirut, mengakibatkan terbunuh atau cedera (casualities), Xinhua memetik laporan saluran TV al-Manar Lubnan.

    Tentera Israel dilaporkan mengesahkan serangannya ke atas Beirut, berkata ia menyasarkan anggota “utama” Hizbullah.

  • Banjir menyebabkan lebih 5,000 orang berpindah di pantai timur Malaysia

    Banjir menyebabkan lebih 5,000 orang berpindah di Malaysia, dengan kawasan paling teruk dilanda banjir adalah Kelantan, menurut pihak berkuasa pada Ahad, lapor Xinhua.

    Kelantan, yang mengalami hujan lebat berterusan sejak beberapa hari, merekodkan 5,142 mangsa banjir, yang ditempatkan di 26 pusat pemindahan banjir, menurut Xinhua.

    Negeri jiran Terengganu merekodkan 528 mangsa dipindahkan setakat jam 3 petang waktu tempatan, menurut jabatan kebajikan masyarakat negara itu, lapor Xinhua.

    Jabatan meteorologi dilaporkan telah mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan dan angin kencang.

  • Kebakaran kilang di Gyeonggi Korea Selatan, 1 maut

    Kebakaran berlaku di sebuah kilang pembuatan kadbod beralun di Anseong, wilayah Gyeonggi, Korea Selatan, menyebabkan seorang pekerja maut, Xinhua memetik laporan berita YTN pada Ahad.

  • Kanak-kanak antara 11 rakyat Palestin ditahan dalam serbuan tentera Israel di Tebing Barat

    Tentera Israel menangkap 11 rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, pada Ahad dalam serbuan tentera di seluruh Tebing Barat yang diduduki, Anadolu memetik laporan media tempatan.

    Sembilan orang, termasuk seorang kanak-kanak, telah dibawa ke dalam tahanan Israel apabila tentera menyerbu bandar selatan Bethlehem dan pekan Dura, Al-Karmel, selatan Hebron, dan Beit Ummar di utara bandar itu, kata agensi berita rasmi Wafa, lapor Anadolu.

    Beberapa rumah telah digeledah semasa serbuan, kata saluran itu.

    Tentera Israel juga dilaporkan menangkap dua bersaudara Palestin semasa serbuan di pekan Burin, selatan Nablus di utara Tebing Barat.

    Tentera Israel dilaporkan telah meningkatkan serangannya di Tebing Barat sejak permulaan perang Gaza pada Oktober 2023.

    Lebih 1,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan hampir 11,000 lagi cedera dalam serangan tentera dan peneroka haram di wilayah yang diduduki dan lebih 20,000 orang juga telah ditangkap, lapor Anadolu.

  • Gencatan senjata Gaza dilanggar Israel hampir 500 kali dalam 44 hari

    Rejim Israel melanggar gencatan senjata Gaza yang ditengahi AS sekurang-kurangnya 497 kali dalam 44 hari, membunuh ratusan rakyat Palestin sejak gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 10 Oktober, menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, berita Mehr melaporkan.

    Kira-kira 342 orang awam telah terbunuh dalam serangan itu, dengan kanak-kanak, wanita dan orang tua merupakan sebahagian besar mangsa, berita Mehr memetik laporan Al Jazeera.

    “Kami mengutuk sekeras-kerasnya pelanggaran serius dan sistematik yang berterusan terhadap perjanjian gencatan senjata oleh pihak berkuasa pendudukan Israel,” pejabat itu dilapor berkata dalam satu kenyataan pada Sabtu.

    “Pelanggaran ini merupakan pelanggaran terang-terangan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan protokol kemanusiaan yang dilampirkan pada perjanjian itu. Antara pelanggaran ini, 27 berlaku hari ini, Sabtu, mengakibatkan 24 mati syahid dan 87 cedera,” tambahnya.

    Pejabat itu juga dilapor berkata, rejim Zionis bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesan kemanusiaan dan keselamatan daripada pencabulannya.

    Rejim Israel terus menyekat aliran penuh dan bebas bagi bantuan dan bekalan perubatan yang sangat diperlukan ke dalam kawasan yang musnah seperti diamanatkan dalam perjanjian gencatan senjata.

    Tentera Israel dilaporkan melancarkan gelombang serangan udara di seluruh Gaza pada Sabtu, membunuh sekurang-kurangnya 24 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, dalam pencabulan terbaru gencatan senjata selama enam minggu di wilayah yang dilanda perang.

    Berpuluh-puluh keluarga Palestin telah “terkepung” di utara Gaza, pihak berkuasa tempatan dilapor berkata, ketika tentera Israel telah menempatkan semula pasukannya lebih jauh ke dalam kawasan itu yang melanggar perjanjian gencatan senjata.

  • 10 terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Herat Afghanistan

    Kemalangan jalan raya menyebabkan 10 orang maut dan lebih 10 lagi cedera pada Ahad di wilayah Herat, barat Afghanistan, lapor Xinhua memetik kenyataan pejabat polis wilayah itu.

    Satu nahas berlaku pada sebelah pagi di lebuh raya Herat-Kandahar, salah satu laluan paling sibuk di negara ini yang menghubungkan wilayah barat dan selatan, menurut kenyataan itu dilaporkan Xinhua.

    Kemalangan maut itu dilaporkan membabitkan sebuah kereta bertembung secara berdepan dengan kenderaan yang datang.

  • Dua individu yang diculik dari Sweida dibebaskan

    Dua orang dari Sweida, Syria, yang diculik kira-kira enam minggu lalu, dibebaskan berikutan operasi bersasar oleh pasukan keselamatan dalam negeri, lapor Agensi Berita Arab Syria (SANA) memetik pegawai.

    Brigedier Jeneral Hussam al-Tahan, ketua Keselamatan Dalam Negeri Sweida, dilapor memberitahu SANA, operasi itu dibuat selepas susulan intensif berikrar bahawa pasukan keselamatan dalam negeri akan terus menyelamatkan semua orang yang diculik, melindungi rakyat, dan mengejar sesiapa mengancam keselamatan awam.

    Operasi itu menggariskan langkah keselamatan berterusan dan usaha untuk memerangi aktiviti jenayah dan memastikan keselamatan orang ramai.

  • Paras banjir kebanyakan meningkat di selatan Thailand

    Air banjir dilaporkan semakin meningkat di banyak wilayah di selatan Thailand yang dilanda banjir besar akibat hujan berterusan.

    Menurut laporan Bangkok Post, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana berkata pada pagi Ahad, 10 wilayah selatan dinaiki air dan kira-kira 1.47 juta orang terjejas.

    Wilayah selatan dilanda banjir, menurut laporan itu, ialah Surat Thani, Krabi, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.

    Paras banjir dilaporkan meningkat di sana kecuali di Surat Thani dan Krabi di mana banjir semakin surut.

    Jumlah tertinggi isi rumah dilaporkan terjejas, 194,574, di Nakhon Si Thammarat, diikuti oleh 190,757 keluarga di Songkhla dan 103,190 isi rumah di Phatthalung.

    Di selatan, Jabatan Meteorologi berkata hujan akan berterusan lebat pada Ahad dan berkurangan dari Isnin hingga Jumaat, menurut laporan Bangkok Post.

    Di utara dan dataran tengah, limpahan air dilaporkan terus menyebabkan banjir di 11 wilayah.

    Banjir dilaporkan di dua wilayah di utara; Phitsanulok dan Nakhon Sawan, manakala di Dataran Tengah, wilayah masih ditenggelami air membabitkan Uthai Thani, Chai Nat, Sing Buri, Ang Thong, Suphan Buri, Ayutthaya, Pathum Thani, Nonthaburi, Nakhon Pathom, menurut Bangkok Post, di mana paras banjir menurun kecuali di Phitsanulok di mana air banjir stabil.

  • Angka maut akibat banjir teruk di Vietnam meningkat kepada 90 orang

    Bencara banjir yang melanda Vietnam kini meragut 90 nyawa, manakala 12 orang masih tidak dapat dikesan, menurut Vietnam News memetik laporan daripada Jabatan Pengurusan Dyke dan Pencegahan Bencana, yang dikemas kini pada pagi Ahad.

    Wilayah Dak Lak dilaporkan mengalami kerugian paling teruk, dengan 63 kematian dan lapan hilang, Khanh Hoa melaporkan 14 kematian dan dua hilang, manakala Lam Dong merekodkan lima kematian.

    Kawasan lain dilaporkan membabitkan Quang Tri, Thua Thien Hue, Da Nang dan Gia Lai.

    Menurut laporan Vietnam News, kerugian ekonomi pada peringkat awal dianggarkan pada VND9.035 trilion (hampir AS$343 juta).

    Hujan lebat dilaporkan berterusan di beberapa kawasan, ketika peramal menjangkakan hujan yang sangat lebat di Hue, Da Nang dan timur Wilayah Quang Ngai dari 23 hingga 25 November, dengan jumlah 60 hingga 120mm dan, di beberapa kawasan, lebih daripada 250mm.

    Sungai di Dakk Lak, Khanh Hoa dan lembangan Dong Nai dilaporkan semakin surut tetapi kekal tinggi.

    Banjir berterusan di bahagian Dak Lak, di mana empat komune dan wad, termasuk Hoa Xuan, Dong Hoa, Hoa Thinh dan Hoa My, kekal di bawah air, lapor Vietnam News.

    Kerosakan kepada perumahan dilaporkan meluas, dengan 1,154 rumah telah musnah atau rosak teruk – Lam Dong menyumbang 825 daripadanya.

    Enam seksyen kereta api dilaporkan masih ditutup.

  • Angka maut akibat banjir di tengah Vietnam meningkat kepada 72

    Bilangan orang yang terkorban akibat banjir teruk di tengah Vietnam meningkat kepada 72 orang setakat petang Sabtu, menurut berita Xinhua pada Sabtu memetik laporan harian tempatan VnExpress, memetik Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Dyke Vietnam.

    Tiga belas orang masih tidak diketahui, menurut laporan itu, kata Xinhua.

    Kementerian Pembinaan dilapor berkata dalam kemas kini terbarunya bahawa 33 kereta api penumpang telah terpaksa menangguhkan operasi, manakala banyak lagi masih dihentikan di sepanjang rangkaian rel.

  • Anggota bomba padam kebakaran di wilayah Gangwon Korea Selatan

    Korea Selatan mengeluarkan amaran tindak balas kebakaran hutan Tahap 1 awal Ahad, ketika kebakaran hutan meletus di hutan Yangyang di Wilayah Gangwon di bahagian timur laut negara itu, memaksa ratusan orang dipindahkan, lapor Reuters.

    Perkhidmatan Perhutanan Korea dilaporkan mengaktifkan amaran Tahap 1 ketika usaha memadam kebakaran diteruskan di perkhemahan popular dan pekan pantai, yang kini dianggarkan meliputi antara 10 dan 50 hektar.

    Menurut Reuters, pihak berkuasa hutan mengerahkan 101 kenderaan pemadam kebakaran dan 326 anggota untuk mengawal kebakaran dan 25 helikopter dalam perjalanan untuk dikerahkan pada Ahad.