Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan pada Selasa, termasuk tiga penyelamat Pertahanan Awam Lubnan, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, lapor Xinhua.
Pusat Operasi Kecemasan kementerian itu berkata jumlah korban awal daripada serangan udara Israel yang menyasarkan kampung Majdal Zoun termasuk lima orang yang terkorban, antaranya tiga paramedik pertahanan awam yang terperangkap di bawah runtuhan selepas menjadi sasaran semasa menjalankan misi menyelamat.
Kenyataan itu menambah bahawa dua askar tentera Lubnan juga cedera dalam serangan itu.
Dalam satu lagi kenyataan, pusat itu berkata dua orang terbunuh dan 13 yang lain cedera dalam jumlah korban awal selepas serangan udara Israel menyasarkan kampung selatan Jibchit pada malam Selasa.
Presiden Lubnan Joseph Aoun mengutuk pembunuhan tiga anggota pertahanan awam di Majdal Zoun, dengan mengatakan bahawa menyasarkan penyelamat merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa, menurut satu kenyataan daripada pihak presiden.
Juga pada Selasa, Hizbullah berkata dalam satu kenyataan bahawa ia menembak jatuh sebuah dron Hermes 900 tentera Israel dengan peluru berpandu darat ke udara di atas pekan Qantara di selatan Lubnan.
Sementara itu, tentera Israel berkata dalam satu kenyataan bahawa seorang awam Israel yang bekerja sebagai pekerja kontrak untuk Kementerian Pertahanan terbunuh di selatan Lubnan oleh dron letupan Hizbullah.
Lelaki itu bekerja untuk sebuah syarikat kejuruteraan yang dikontrak oleh kementerian untuk menjalankan projek di Lubnan, kata tentera terbabit, tanpa mengulas lanjut.