• Letupan gegar Israel ketika Iran lancar serangan peluru berpandu baharu

    Sekurang-kurangnya lima letupan kedengaran di Baitulmaqdis, Tel Aviv dan kawasan sekitarnya susulan pelancaran peluru berpandu dari Iran ke arah Israel, lapor Anadolu memetik seorang wartawannya pada petang Ahad.

    Satu letupan kuat juga kedengaran di bandar utara Haifa, lapor Anadolu.

    Menurut Anadolu, Saluran 12 Israel melaporkan siren berbunyi di beberapa kawasan di selatan dan timur Israel selepas serangan peluru berpandu baharu dilancarkan dari Iran. Siren tambahan kemudiannya diaktifkan di bahagian utara negara itu.

    Saluran 12 juga melaporkan peluru berpandu Iran atau serpihannya jatuh dekat Tel Aviv di tengah Israel.

    Menurut Anadolu, akhbar harian Israel Yedioth Ahronoth berkata kerosakan material berlaku dan bangunan terjejas selepas serpihan peluru berpandu jatuh dekat Tel Aviv, tanpa sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian khusus itu.

    Siren kemudian berbunyi lagi di Dimona, Negev, kawasan Laut Mati dan bahagian lain di selatan Israel, Anadolu memetik laporan Saluran 12.

    Perkhidmatan ambulans Israel berkata beberapa orang cedera ketika menuju ke tempat perlindungan di kawasan Tel Aviv yang lebih besar, lapor Anadolu memetik satu kenyataan.

    Sementara itu, penyiar awam Israel KAN melaporkan bahawa kerajaan melanjutkan perintah darurat di seluruh negara selama 12 hari tambahan, sehingga 12 Mac, mengaitkan penamatannya dengan berakhirnya operasi ketenteraan yang sedang dijalankan terhadap Iran, lapor Anadolu.

  • AS serang kemudahan peluru berpandu balistik Iran dengan pengebom halimunan B-2

    Pengebom halimunan B-2 AS menyerang “kemudahan peluru berpandu balistik yang diperkuat” Iran semalaman, kata Perintah Pusat AS (CENTCOM) pada Ahad, menurut laporan Anadolu.

    Pengebom-pengebom itu dilengkapi dengan bom seberat 2,000 paun (907 kilogram) semasa operasi itu, kata CENTCOM di X, lapor Anadolu.

    Ia menandakan pengerahan besar kedua pengebom halimunan B-2 terhadap Iran. Jun tahun lalu, pesawat itu digunakan untuk menyerang tiga kemudahan nuklear utama Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan semasa perang 12 hari Israel-Iran, serangan yang Trump anggap memusnahkan kemudahan nuklear Iran.

    Serangan terbaru adalah sebahagian daripada kempen ketenteraan bersama AS-Israel yang dilancarkan pada Sabtu yang telah membunuh beberapa pegawai kanan Iran, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.
    Tehran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan negara-negara Teluk.

    Tiga anggota perkhidmatan AS telah terbunuh dan lima cedera parah sejak operasi bermula.

  • Perancis, Jerman, UK bersedia untuk mengambil ‘tindakan pertahanan’ terhadap Iran

    Perancis, Jerman dan United Kingdom (UK) mengatakan mereka bersedia untuk mempertahankan kepentingan mereka dan sekutu di Teluk jika perlu dengan mengambil “tindakan pertahanan” terhadap Iran, lapor Aljazeera.

    Para pemimpin ketiga negara itu “terkejut dengan serangan peluru berpandu yang tidak seimbang dan tidak pilih kasih yang dilancarkan oleh Iran terhadap negara-negara di rantau itu, termasuk mereka yang tidak terlibat dalam operasi ketenteraan awal AS dan Israel”, kata kenyataan bersama itu, menurut Aljazeera dalam kemas kininya.

    “Kami akan mengambil langkah untuk mempertahankan kepentingan kami dan sekutu kami di rantau itu, berpotensi melalui membolehkan tindakan pertahanan yang diperlukan dan seimbang untuk memusnahkan keupayaan Iran untuk menembak peluru berpandu dan dron ke sumbernya,” tambahnya.

  • Enam cedera dalam serangan peluru berpandu balistik Iran di Baitulmaqdis Barat

    Perkhidmatan ambulans Israel mengatakan krunya sedang merawat seorang lelaki berusia 50-an dalam keadaan sederhana dan lima yang lain yang cedera ringan di tempat kejadian, lapor Aljazeera dalam kemas kininya.

    Menurut media Israel, rakaman kejadian itu menunjukkan hentaman peluru berpandu itu menghasilkan kawah besar di jalan dan merosakkan sebuah kereta.

  • Balai polis dekat Tehran dilanda serangan, orang terperangkap di bawah runtuhan

    Media Iran melaporkan sebuah balai polis di pinggir ibu negara Iran dilanda serangan yang mengorbankan sejumlah orang yang tidak dinyatakan, lapor Aljazeera.

    Yang lain masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang musnah itu.

    “Berikutan serangan musuh ke atas bandar Rey, bangunan Ibu Pejabat Polis Rey dan bangunan kediaman berdekatan telah dilanda,” Aljazeera dalam kemas kininya memetik laporan agensi berita Tasnim.

    “Menurut laporan awal, beberapa warga terkorban dan sebahagiannya sesetengahnya di bawah runtuhan.”

  • Siri letupan kedengaran di Baitulmaqdis Barat

    Siri letupan kuat kedengaran di Baitulmaqdis Barat susulan siren serangan udara selepas tentera Israel berkata ia mengesan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran, lapor Aljazera.

    “Sebentar lalu, [tentera Israel] mengenal pasti peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran ke arah wilayah negara Israel,” kata tentera dalam satu kenyataan, menurut Aljazeera dalam kemas kininya.

    “Sistem pertahanan sedang beroperasi untuk memintas ancaman terbabit.”

  • Tujuh komander tentera Iran dilaporkan terbunuh dalam serangan udara

    Menurut laporan Aljazeera dalam kemas kininya, agensi berita Tasnim Iran melaporkan, tujuh komander tentera Iran terbunuh dalam serangan udara.

    Senarai nama termasuk Mejar Jeneral Basij, Shahid Mohammad Shirazi, Ketua Pejabat Panglima Tertinggi Angkatan Tentera.

    Laporan itu juga mendakwa Jeneral Raider, Shahid Saleh Asadi, Timbalan Perisikan Staf Am Angkatan Tentera, terbunuh dalam serangan terbabit.

  • Serangan Israel dilaporkan hentam hospital di Tehran

    Serangan Israel melanda sebuah hospital di kawasan Jalan Gandhi di Tehran, lapor Reuters memetik dua saksi memberitahunya pada Ahad, mengatakan hospital itu rosak teruk dan pesakit sedang dibawa keluar.

  • AS kata ia musnahkan ibu pejabat Pengawal Revolusi Iran

    Tentera AS mengumumkan ia memusnahkan ibu pejabat pasukan Pengawal Revolusi Iran, lapor Aljazeera.

    “Amerika mempunyai tentera paling berkuasa di dunia, dan IRGC tidak lagi mempunyai ibu pejabat,” kata Perintah Pusat AS, atau CENTCOM, dalam satu catatan di media sosial, lapor Aljazeera dalam kemas kininya.

    “Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) telah membunuh lebih 1,000 rakyat Amerika sejak 47 tahun lalu. Semalam, serangan besar-besaran AS telah memenggal kepala ular itu,” kata CENTCOM.

  • Iran lancar serangan balas di seluruh Timur Tengah

    Iran melancarkan serangan balas peluru berpandu dan dron pada hujung minggu terhadap lapan negara di seluruh Timur Tengah, ketika hari kedua letupan menggegarkan rantau itu susulan operasi ketenteraan bersama AS-Israel terhadap Tehran, menurut laporan Anadolu.

    Setakat ini, serangan Iran telah melanda Bahrain, Iraq, Jordan, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor Anadolu, di Iran, Bulan Sabit Merah Iran melaporkan sekurang-kurangnya 201 orang terbunuh dan 747 cedera akibat serangan AS-Israel yang bermula pada Sabtu.

    Di Israel, sembilan rakyat Israel terbunuh dalam serangan peluru berpandu Iran yang melanda terus sebuah bangunan di Beit Shemesh di barat Baitulmaqdis pada Ahad.

    AS juga melaporkan korban, dengan Perintah Pusat AS mengesahkan tiga anggota tentera terbunuh dan lima “cedera parah” sejak permulaan serangan terhadap Iran.

    Serangan itu menjejaskan seluruh Teluk. UAE melaporkan tiga orang dari Pakistan, Nepal dan Bangladesh terbunuh, manakala 58 orang dari pelbagai negara cedera dalam serangan peluru berpandu dan dron Iran susulan serangan AS-Israel ke atas Iran, lapor Anadolu.

    Menurut Anadolu, Kementerian Kesihatan Kuwait juga berkata seorang terbunuh dan 32 yang lain cedera di tengah-tengah peningkatan serantau semasa.

    Di Qatar, jumlah kecederaan meningkat kepada 16 orang susulan serangan balas oleh Iran, pegawai mengumumkan, menurut Anadolu.

    Iraq melaporkan dua maut dan tiga cedera dalam serangan di kawasan Jurf al-Nasr di wilayah Babil.

    Di Bahrain, sebuah dron Iran menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain, menyebabkan kerosakan material tetapi tiada korban jiwa, Kementerian Dalam Negeri Bahrain melaporkan, menurut Anadolu.

    Di ibu negara, Manama, sebuah dron kamikaze berasingan melanda sebuah bangunan di Jalan Al-Ma’arid, menurut Anadolu, imej yang tersebar di media sosial menunjukkan asap naik dari lokasi terbabit, walaupun pihak berkuasa masih belum mengeluarkan maklumat mengenai potensi kecederaan atau kematian.

    Di Oman, lima orang cedera dalam dua insiden berasingan — empat orang di atas kapal tangki minyak berbendera Palau terhempas di utara Pelabuhan Khasab, dan seorang pekerja asing cedera dalam serangan dron di Pelabuhan Duqm, lapor Anadolu, tiada korban jiwa dilaporkan di Jordan atau Arab Saudi.

    AS dan Israel mula melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, membunuh beberapa pemimpin tertinggi Iran, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.

  • Serangan AS, Israel landa bahagian ibu pejabat televisyen kerajaan Iran di Tehran

    Iran melaporkan serangan udara AS-Israel ke atas bahagian ibu pejabat televisyen kerajaan di ibu negara Tehran pada petang Ahad, lapor Anadolu.

    Menurut Anadolu, Press TV yang dikendalikan oleh kerajaan berkata pesawat perang AS dan Israel melanda bahagian ibu pejabat Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB) di Tehran.

    Serangan turut menyasarkan daerah kediaman di ibu negara, tambah penyiar itu.

    Sementara itu, agensi berita kerajaan IRNA melaporkan letupan kedengaran di kawasan timur, tenggara dan tengah Tehran, lapor Anadolu, tiada maklumat tersedia mengenai korban jiwa.

    AS dan Israel mula melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, membunuh beberapa pemimpin tertinggi Iran, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.

  • Pegawai AS beritahu Al Jazeera serangan peluru berpandu Iran tidak hentam kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln

    Menurut laporan Aljazeera, seorang pegawai AS memberitahunya bahawa serangan peluru berpandu Iran ke atas USS Abraham Lincoln tidak menjejaskan kapal pengangkut pesawat itu, yang meneruskan operasinya.

    Pegawai itu berkata, peluru berpandu itu tidak sampai ke kapal dan tidak menyebabkan kerosakan.

    Menurut laporan Aljazeera, Pengawal Revolusi Iran mengatakan mereka menyerang kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln di Teluk setelah Pemimpin Tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh oleh serangan udara AS dan Israel.

    “Kapal pengangkut pesawat AS Abraham Lincoln telah diserang oleh empat peluru berpandu balistik,” kata Pengawal dalam satu kenyataan disiarkan oleh media tempatan, memberi amaran “darat dan laut akan semakin menjadi tanah perkuburan penyerang pengganas”.

    USS Abraham Lincoln beroperasi di Laut Arab sejak akhir Januari.

  • Arab Saudi pintas serangan peluru berpandu ke lapangan terbang, pangkalan tentera

    Arab Saudi mengatakan ia memintas peluru berpandu Iran yang menyasarkan lapangan terbang antarabangsa Riyadh dan Pangkalan Udara Prince Sultan yang menempatkan anggota tentera AS, lapor Aljazeera dalam kemas kininya.

    “Pertahanan udara berjaya memintas peluru berpandu Iran dekat lapangan terbang Riyadh dan Pangkalan Udara Prince Sultan pada petang Ahad,” kata sumber yang tidak dikenali, yang meminta namanya dirahsiakan untuk membincangkan perkara sensitif, kepada agensi berita AFP, lapor Aljazeera.

    Pemintasan itu tidak mengganggu navigasi atau menyebabkan sebarang kerugian manusia atau material, lapor Aljazeera, seorang saksi mata berhampiran lapangan terbang berkata mereka “melihat dan mendengar pertahanan udara memintas peluru berpandu di langit”.

    Menurut Aljazeera, lapangan terbang Dubai, Abu Dhabi, Kuwait dan Manama juga telah disasarkan oleh serangan Iran dengan pihak berkuasa melaporkan satu kematian di ibu negara Emiriah dalam “insiden” di kemudahan terbabit.

    Arab Saudi menempatkan pangkalan dan anggota AS walaupun kemudahan yang lebih besar terletak di Bahrain dan Qatar.

  • Pertahanan udara berlapis-lapis Israel ‘tidak sempurna’

    Menurut laporan Aljazeera, di Beit Shemesh, sebuah bandar di barat Baitulmaqdis dalam perjalanan ke Jaffa di sepanjang pantai, peluru berpandu Iran telah dilancarkan awal hari ini.
    Menurut laporan itu, beberapa bangunan rosak, satu runtuh sepenuhnya. Sekurang-kurangnya sembilan rakyat Israel kini disahkan terkorban. Penyelamat terus mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan.

    Siren tidak berbunyi sebelum serangan itu. Tentera dan pihak berkuasa Israel telah berkata mereka akan menyiasat mengapa sistem pertahanan udara gagal di Beit Shemesh.

    Sistem pertahanan udara berlapis-lapis Israel tidak sempurna dan tidak dapat memintas setiap peluru berpandu yang dilancarkan ke arah bandar-bandar Israel. Kita telah melihatnya di Tel Aviv dan bandar-bandar lain semasa peningkatan ini, dan juga pada Jun, apabila Israel melancarkan pusingan serangan sebelumnya terhadap Iran.

    Iran telah menunjukkan bahawa ia boleh melancarkan peluru berpandu balistik dan jenis lain yang mampu menyerang jantung bandar-bandar Israel, menyebabkan kerosakan yang ketara – bukan sahaja kepada bangunan tetapi juga kepada nyawa.

    Perkembangan ini berkemungkinan akan menjejaskan imej yang cuba diunjurkan oleh kerajaan Israel: imej yang tidak terkalahkan, kawalan, dan tekanan berterusan terhadap kerajaan Iran – lapor Aljazeera dalam kemas kininya.

  • Serangan di barat Iran mengorbankan berpuluh-puluh anggota pasukan keselamatan

    Media Iran melaporkan lebih 40 anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam serangan ke atas ibu pejabat rejimen sempadan di bandar barat Mehran, dekat Iraq, lapor Aljazeera.

    “Serangan ini, yang disertai dengan pengeboman, malangnya mengakibatkan syahidnya 43 anggota keselamatan, kebanyakannya pengawal sempadan, dan sebahagian bangunan berdekatan juga rosak teruk,” Alajzeera dalam kemas kininya memetik agensi berita Mehr.

    “Menurut laporan awal, tindakan bermusuhan ini dilakukan oleh ejen Amerika Syarikat dan rejim Zionis.”

    Iran menggunakan istilah “rejim Zionis” untuk merujuk kepada Israel.

  • Tentera Israel gerakkan 100,000 anggota simpanan semasa serangan Iran

    Tentera Israel berkata ia akan memanggil hampir 100,000 anggota simpanan sebagai sebahagian daripada kempennya menentang musuh ketat Iran, lapor Aljazeera dalam kemas kininya.

    “[Tentera] sedang bersedia untuk memanggil kira-kira 100,000 anggota simpanan dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan di pelbagai bidang sebagai sebahagian daripada Operasi ‘Singa mengaum’,” katanya dalam satu kenyataan, menggunakan nama yang diberikan Israel kepada serangannya – yang dilancarkan dengan kerjasama AS – terhadap Iran.

    Sekurang-kurangnya 50,000 anggota simpanan sudah pun bertugas, lapor Aljazeera memetik The Times of Israel.

  • 3 tentera AS terbunuh, 5 ‘parah’ dalam operasi Iran

    Tiga anggota perkhidmatan AS terbunuh dan lima “cedera parah” sejak bermulanya serangan bersama AS-Israel terhadap Iran, kata Perintah Pusat AS (CENTCOM) pada Ahad, lapor Anadolu.

    “Beberapa orang lain mengalami kecederaan serpihan ringan dan gegaran dan sedang dalam proses untuk kembali bertugas,” katanya, sambil menambah “operasi tempur besar diteruskan” dan usaha tindak balas sedang dijalankan.

    Identiti mereka yang terbunuh akan dirahsiakan selama 24 jam selepas waris terdekat dimaklumkan, lapor Anadolu.

    Kematian diumumkan ketika operasi bersama AS-Israel terhadap Iran memasuki hari kedua.

    Serangan yang dilancarkan pada Sabtu itu mengorbankan beberapa pegawai kanan Iran, termasuk pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei.

    Tehran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu menyasarkan beberapa negara Teluk, terutama pangkalan tentera AS di rantau itu.

    Pandangan udara Kumpulan Tembakan Kapal Pengangkut USS Abraham Lincoln semasa beroperasi di Laut Arab – ANADOLU.
  • 2 warga Israel cedera selepas serpihan dron hentam kompleks kedutaan Israel di Abu Dhabi

    Dua warga Israel “cedera ringan” selepas serpihan dron menghentam kompleks kedutaan Israel di Abu Dhabi, lapor Anadolu memetik akhbar harian Israel Yedioth Ahronoth pada Ahad.

    Menurut laporan itu, kedua-dua warga Israel cedera akibat gelombang letupan susulan hentaman serpihan di dalam kompleks kedutaan, tempat utusan Israel berada.

  • Tentera Israel lancar gelombang serangan baharu ke atas Tehran

    Tentera Israel berkata pada Ahad, ia melancarkan gelombang serangan udara baharu yang menyasarkan ibu negara Iran, Tehran, lapor Anadolu.

    “Tentera Udara Israel telah memulakan gelombang serangan di tengah-tengah Tehran,” kata tentera itu dalam satu kenyataan ringkas, menurut Anadolu.

    Anadolu melaporkan, beberapa letupan kedengaran di Tehran susulan pengumuman tentera Israel.

    AS dan Israel mula melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, membunuh beberapa pemimpin tertinggi Iran, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.

    Kepulan asap naik ke kawasan perumahan ibu negara Iran susulan serangan udara di tengah-tengah serangan berterusan AS-Israel ketika pelbagai letupan kedengaran di seluruh bandar di Tehran, Iran pada 1 Mac 2026 – ANADOLU.
  • Pasukan AS serang kapal perang Iran di Teluk Oman

    Pasukan AS menyerang sebuah korvet kelas Jamaran Iran di Teluk Oman semasa fasa pembukaan “Operasi Epic Fury”, kata Perintah Pusat AS (CENTCOM) pada Ahad, menurut Anadolu.

    “Kapal itu kini sedang tenggelam ke dasar Teluk Oman di jeti Chah Bahar,” kata agensi itu di X, menurut Anadolu.

    “Tinggalkan kapal,” katanya, menyampaikan seruan Presiden AS Donald Trump kepada angkatan tentera Iran, Pengawal Revolusi dan polis untuk “meletakkan senjata anda”.

    Iran belum mengesahkan serangan itu.

    Pengumuman itu dibuat ketika serangan AS-Israel ke atas Iran memasuki hari kedua.