• 1 maut, 60 cedera selepas struktur di pesta universiti di Brazil runtuh

    Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan 60 yang lain cedera awal pagi Ahad apabila angin kencang dan hujan lebat meruntuhkan struktur logam di pesta universiti di negeri Sao Paulo, tenggara Brazil, menurut Pertahanan Awam, berita Xinhua melaporkan.

    Sambutan untuk pelajar perubatan di perbandaran Regente Feijo berakhir dengan tragedi apabila tiupan angin sehingga 95 kilometer sejam meruntuhkan struktur itu.

    Pasukan penyelamat dari jabatan bomba dan polis tentera, dan kakitangan Pertahanan Awam dari bandar dan pekan jiran Presidente Prudente bertindak balas terhadap kemalangan itu.

    Laporan terkini daripada Pertahanan Awam mengenal pasti mangsa yang terbunuh sebagai ahli perniagaan berusia 47 tahun, Marcelo Giglio de Souza, seorang penduduk bandar jiran Pirapozinho.

  • Gempa bumi kuat bermagnitud 6.4 landa Afghanistan

    Gempa bumi bermagnitud 6.4 melanda rantau Hindu Kush di Afghanistan lewat Ahad, kata Pusat Penyelidikan Geosains Jerman, berita Anadolu melaporkan.

    Gempa bumi itu berlaku pada 2029GMT pada kedalaman kira-kira 10 kilometer (6 batu) barat daya pekan Khulm di wilayah Samangan di utara Afghanistan.

    Tiada laporan segera mengenai korban atau kerosakan.

    Menurut Kajian Geologi AS (USGS), lapor Anadolu, magnitud gempa bumi itu direkodkan pada 6.3.

  • Gempa bumi 5.8 magnitud landa Negros, Filipina

    Gempa bumi bermagnitud 5.8 menggegarkan Negros, Filipina pada jam 19:06 GMT Ahad, kata Pusat Penyelidikan Geosains Jerman GFZ, Xinhua melaporkan.

    Pusat gempa, dengan kedalaman 10.0 km, pada mulanya ditentukan berada pada 9.66 darjah latitud utara dan 122.64 darjah longitud timur.

  • Anggota polis terbunuh, 2 cedera dalam letupan tidak sengaja di barat laut Pakistan

    Seorang anggota polis terbunuh dan dua lagi cedera dalam letupan tidak sengaja di sebuah balai polis di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan pada Ahad, berita Xinhua memetik kenyataan.

    Letupan itu berlaku di ibu kota wilayah Peshawar, disebabkan oleh letupan bahan letupan lama yang disimpan di bilik peluru balai polis, Pegawai Polis Ibu Kota, Mian Saeed Ahmad dilaporkan berkata dalam satu kenyataan.

    “Kebakaran juga telah merebak ke amunisi lain, menyebabkan letupan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

  • 9 cedera dalam tembakan di pesta remaja di rumah sewa di Ohio, AS

    Tembakan meletus awal Ahad di sebuah rumah sewa besar di mana remaja telah berkumpul untuk pesta hari jadi yang dipromosikan di media sosial, mencederakan sembilan orang, lapor AP.

    Keadaan di timur laut Ohio itu huru-hara apabila sesetengah orang melarikan diri dan responder (pihak tindakan) pertama melakukan langkah-langkah menyelamatkan nyawa, kata polis.

    Tembakan itu dilaporkan berlaku sekitar jam 12:15 pagi di Bath Township, kira-kira 15 batu (24 kilometer) barat laut Akron.

    Pada sidang akhbar pagi Ahad, Ketua Polis Vito Sinopoli dilaporkan berkata tahap keseriusan kecederaan mangsa tidak jelas.

    Ia juga tidak jelas sama ada semua sembilan orang itu ditembak — kecederaan kaki seorang mungkin disebabkan oleh jatuh, katanya.

    Kebanyakan orang di pesta itu dilaporkan berumur di bawah 18 tahun.

  • RSF tahan beribu-ribu orang awam Sudan di El-Fasher di tengah-tengah keadaan teruk – Medik

    Kumpulan perubatan Sudan menuduh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera pada Ahad menahan beribu-ribu orang awam di El-Fasher, ibu kota Darfur Utara, dan menyekat pemindahan mereka, lapor berita Anadolu.

    Dalam satu kenyataan, Rangkaian Doktor Sudan dilaporkan berkata, kumpulan pemberontak itu “terus menahan beribu-ribu orang awam di dalam bandar El-Fasher, dan menghalang mereka daripada pergi selepas merampas semua cara pengangkutan yang digunakan untuk memindahkan orang terlantar.”

    Kumpulan militia itu juga memaksa kembali penduduk yang cuba melarikan diri, termasuk individu yang cedera akibat tembakan dan yang lain yang mengalami kekurangan zat makanan, tambahnya.

    Rangkaian itu menyifatkan situasi di bandar itu sebagai “sangat teruk” memetik kekurangan ubat-ubatan yang teruk dan kekurangan kakitangan perubatan yang teruk – sebahagian daripada mereka masih ditahan atau diculik oleh RSF.

    Ia menyeru “pembebasan segera semua orang awam, pembukaan koridor selamat untuk pemindahan mereka, dan membenarkan organisasi kemanusiaan mengebumikan mayat yang masih bergelimpangan di pinggir bandar”.

    Pada 26 Oktober, RSF merampas kawalan El-Fasher dan melakukan “pembunuhan beramai-ramai” terhadap orang awam, menurut organisasi tempatan dan antarabangsa, di tengah-tengah amaran bahawa serangan itu boleh mengukuhkan pembahagian geografi Sudan, menurut Anadolu.

  • Angka maut akibat tanah runtuh di Kenya meningkat kepada 26 orang ketika pencarian 25 orang hilang diteruskan

    Jumlah kematian akibat tanah runtuh di Rift Valley, Kenya meningkat kepada 26 orang, ketika pasukan penyelamat terus mencari berpuluh-puluh orang yang masih dilaporkan hilang selepas hujan lebat, kata menteri dalam negeri negara itu pada Ahad, berita Anadolu melaporkan.

    Kipchumba Murkomen dilaporkan memberitahu pemberita, 26 orang ditemui mati dan 25 orang lagi masih hilang.

    Tanah runtuh itu dilaporkan berlaku awal Sabtu di wilayah Elgeyo Marakwet Timur, yang dalam musim hujan dan terletak 320 kilometer (200 batu) barat laut ibu negara Afrika Timur itu, Nairobi.

    Murkomen dilaporkan berkata pada Sabtu, persediaan sedang dijalankan untuk menghantar lebih banyak bantuan makanan dan bukan makanan kepada keluarga terjejas, dengan helikopter tentera dan polis bersiap sedia untuk membantu pengangkutan.

  • 5 maut dalam runtuhan salji di pergunungan Alp Itali

    Lima orang terbunuh selepas runtuhan salji melanda kawasan Ortles di wilayah utara Itali, Alto Adige, salah satu bahagian tertinggi dan paling terpencil di banjaran gunung pada petang Sabtu, kata pihak berkuasa pada Ahad, lapor berita Anadolu.

    Runtuhan salji itu melanda ketika sekumpulan pemain ski Jerman berada di gunung, pada mulanya membunuh tiga orang.

    Operasi mencari dan menyelamat disambung semula pada pagi Ahad, membawa kepada penemuan dua lagi mayat, menjadikan jumlah kematian kepada lima orang.

  • Dalam pelanggaran gencatan senjata, warga Palestin terbunuh akibat serangan dron Israel di Gaza

    Seorang lelaki Palestin terbunuh pada Ahad akibat tembakan dron Israel di kawasan kejiranan Shujaiya, timur bandar Gaza, lapor Agensi Berita & Info Palestin (WAFA).

    Sejak awal Ahad, Shujaiya dan kawasan kejiranan Al-Zaytoun yang berdekatan telah dirobohkan oleh tentera pendudukan Israel yang menyasarkan beberapa buah rumah.

  • Angka maut Gaza meningkat kepada 68,865 sejak serangan Israel Oktober 2023

    Angka kematian di Jalur Gaza meningkat kepada 68,865, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, sejak serangan Israel pada Oktober 2023, menurut berita WAFA memetik sumber perubatan mengumumkan pada Ahad.

    Pihak berkuasa kesihatan tempatan melaporkan jumlah kecederaan meningkat kepada 170,670, sementara ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan, dengan ambulans dan pasukan penyelamat tidak dapat sampai kepada mereka, lapor agensi berita Palestin itu.

    Menurut sumber yang sama, mayat tujuh mangsa tiba di hospital di Jalur Gaza dalam tempoh 24 jam lalu, termasuk tiga mangsa yang baru terbunuh, tiga yang ditemui di bawah runtuhan, dan seorang yang meninggal dunia akibat lukanya.

  • Letupan pasar raya di Mexico: Sekurang-kurangnya 23 terbunuh

    Sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh pada Sabtu dalam letupan di sebuah pasar raya di Mexico, berita Anadolu memetik laporan media.

    Letupan itu dilaporkan berlaku selepas kebakaran di sebuah kedai Waldo’s di Hermosillo di barat laut negeri Sonora.

    Walaupun angka rasmi masih belum dikeluarkan, laporan media menunjukkan jumlah kematian awal sekurang-kurangnya 23 orang, dengan lebih daripada 10 orang cedera.

    Kebocoran gas atau pengumpulan bahan api dilaporkan merupakan salah satu hipotesis yang sedang dipertimbangkan, Anadolu memetik akhbar La Jornada.

    Presiden Claudia Sheinbau mengucapkan takziah kepada mangsa.

    “Saya telah berhubung dengan gabenor Sonora, Alfonso Durazo, untuk memberikan sokongan mengikut keperluan. Saya telah mengarahkan Setiausaha Dalam Negeri, Rosa Icela Rodriguez, untuk menghantar pasukan sokongan bagi membantu keluarga dan mereka yang cedera,” tulisnya di X, menurut Anadolu.

  • Takungan air pecah, seorang maut di tengah Vietnam

    Sebuah takungan air yang dibina di atas gunung di wilayah Lam Dong, Central Highlands, Vietnam pecah pada malam Sabtu, menghanyutkan tiga sekeluarga dan mengorbankan anak perempuan mereka, berita Xinhua memetik laporan media tempatan VnExpress pada Ahad.

    Ibu bapa dilaporkan berpaut pada dahan pokok dan diselamatkan semalaman oleh penduduk dan pasukan tempatan, manakala mayat anak perempuan berusia 13 tahun itu ditemui awal Ahad kira-kira 600 meter dari rumah mereka.

    Pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat punca kejadian.

    Hujan lebat sejak kebelakangan ini dilaporkan telah meningkatkan paras air sungai dan takungan air di seluruh rantau itu, mencetuskan tanah runtuh, membanjiri lebuh raya, dan mengganggu lalu lintas di beberapa kawasan.

  • Jumlah kematian meningkat kepada 35 orang dalam banjir di tengah Vietnam

    Jumlah kematian akibat hujan lebat dan banjir di wilayah tengah Vietnam meningkat kepada 35 orang, dengan 5 orang hilang dan 60 yang lain cedera, lapor Xinhua memetik Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Vietnam pada Ahad.

    Lebih 16,500 rumah dilaporkan masih ditenggelami air, manakala 361 yang lain rosak.

    Banjir itu juga dilaporkan menenggelamkan lebih 5,300 hektar tanaman padi dan tanaman lain, merosakkan hampir 800 hektar pokok buah-buahan, dan membunuh atau menghanyutkan lebih 42,000 ternakan dan ayam.

    Bekalan elektrik telah dipulihkan untuk kebanyakan kawasan yang terjejas, dengan kira-kira 75,000 isi rumah masih terputus bekalan elektrik.

    Kerajaan Vietnam telah meluluskan dana bantuan kecemasan sebanyak 450 bilion dong Vietnam (kira-kira 17.93 juta dolar AS) untuk menyokong empat bandar dan wilayah di tengah Vietnam dalam usaha pemulihan, termasuk Hue, Da Nang, Quang Tri, dan Quang Ngai.

  • Sekurang-kurangnya 22 maut dalam letupan kedai di utara Mexico

    Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh selepas satu letupan mencetuskan kebakaran di sebuah gedung serbaneka di Hermosillo, ibu kota negeri Sonora di utara Mexico, berita Xinhua memetik laporan media tempatan pada Sabtu.

    Letupan itu berlaku pada sebelah petang di sebuah gedung serbaneka rangkaian di pusat bandar, menurut laporan. Saksi berkata api cepat merebak melalui bangunan dan kenderaan berdekatan, memerangkap beberapa orang di dalamnya.

    Pasukan penyelamat bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat dan membawa mangsa yang cedera ke hospital tempatan.

    Siasatan awal menunjukkan kebakaran itu mungkin disebabkan oleh asap daripada transformer yang tidak berfungsi.

    Pihak berkuasa di Sonora dilaporkan berkata kemungkinan serangan pengganas telah diketepikan.

  • 4 ahli Hizbullah terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan

    Empat orang terbunuh dan tiga lagi cedera pada malam Sabtu dalam serangan udara Israel di perkampungan Kfar Roummane di selatan Lubnan, berita Xinhua memetik laporan Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam negara itu.

    Menurut Agensi Berita Kebangsaan (NNA), lapor Xinhua, sebuah dron Israel melancarkan serangan udara sekitar jam 10:20 malam waktu tempatan (2020 GMT) pada Sabtu, menyasarkan kenderaan pacuan empat roda dengan peluru berpandu di jalan Doha-Kfar Roummane, di pinggir timur perkampungan itu.

    Pasukan ambulans dilaporkan bergegas ke tempat kejadian.

    Sumber keselamatan dilaporkan memberitahu Xinhua, empat mangsa itu adalah ahli Hizbullah, tanpa memberikan butiran lanjut.

    Sejak 27 November 2024, perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat dan Perancis antara Hizbullah dan Israel telah berkuat kuasa, menamatkan pertempuran rentas sempadan selama berbulan-bulan yang meletus selepas perang di Jalur Gaza.

    Walaupun terdapat perjanjian itu, tentera Israel berterusan melancarkan serangan di Lubnan, dengan mengatakan mereka menyasarkan “ancaman” Hizbullah, sambil mengekalkan pasukan di lima kedudukan utama di sepanjang sempadan Lubnan.

  • 45 pendatang tanpa izin diselamatkan di luar pantai timur Libya

    Seramai 45 pendatang tanpa izin diselamatkan di luar pantai bandar Tobruk di timur Libya, Xinhua memetik laporan akhbar Libya, Al-Watan pada Sabtu.

    Pendatang terbabit, yang dikenal pasti sebagai 23 warga Mesir dan 22 warga Sudan di atas bot getah, telah diselamatkan oleh Pengawal Pantai Libya kira-kira 222.2 km di utara Tobruk, lapor Xinhua memetik Al-Watan.

    Mereka dilaporkan menerima bantuan perubatan dan kemanusiaan yang diperlukan, dan kemudian dirujuk ke pusat tahanan bagi menyelesaikan prosedur undang-undang.

    Libya menjadi titik transit utama bagi pendatang yang cuba sampai ke Eropah sejak pemberontakan disokong NATO pada 2011 yang menggulingkan Muammar Gaddafi.

    Negara itu masih berpecah antara Kerajaan Perpaduan Nasional berpangkalan di Tripoli dan pentadbiran timur yang bersekutu dengan Tentera Nasional Libya Khalifa Haftar.

  • Nepal duduki tempat teratas dalam indeks hubungan alam semula jadi, Sepanyol tempat terakhir antara 61 negara

    Nepal merupakan negara yang paling “berkaitan dengan alam semula jadi” di dunia, manakala Sepanyol menduduki tempat terakhir dalam kajian yang mengukur hubungan emosi dan psikologi dengan alam semula jadi, Anadolu memetik laporan The Guardian pada Sabtu.

    Britain berada hampir di tempat terbawah, menduduki tempat ke-55 daripada 61 negara, di samping Belanda, Kanada, Jerman, Israel dan Jepun.

    Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Ambio itu meninjau 57,000 orang di 61 negara dan menilai bagaimana faktor sosial, budaya, ekonomi dan geografi membentuk sikap terhadap alam semula jadi.

    Sepanyol menduduki tempat terakhir dalam 61 negara yang ditinjau, manakala Belanda, Kanada, Jerman, Israel dan Jepun juga mendapat markah di bawah Britain.

    Nepal menduduki tempat pertama, diikuti oleh Iran, Afrika Selatan, Bangladesh dan Nigeria. Croatia dan Bulgaria adalah satu-satunya negara Eropah yang berada dalam 10 teratas, dengan Perancis negara Eropah seterusnya tertinggi di tempat ke-19.

    Pasukan penyelidikan yang diketuai oleh ahli akademik British dan Austria termasuk Miles Richardson, profesor keterkaitan alam semula jadi di Universiti Derby, mendapati bahawa kerohanian dan kepercayaan agama merupakan peramal terkuat bagi hubungan rapat dengan alam semula jadi.

    Sebaliknya, kajian itu juga mendapati bahawa “kemudahan menjalankan perniagaan” – ukuran Bank Dunia tentang sifat mesra perniagaan sesebuah negara – berkorelasi dengan kurang hubungan alam semula jadi.

    Menurut kajian itu, negara-negara yang berada di kedudukan tinggi dalam “kemudahan menjalankan perniagaan”, metrik Bank Dunia yang menunjukkan ekonomi mesra pasaran, mempunyai hubungan alam semula jadi yang lebih rendah.

  • Trump ugut Nigeria dengan kemungkinan tindakan ketenteraan atas dakwaan ‘pembunuhan orang Kristian’

    Presiden AS Donald Trump mengancam Nigeria pada Sabtu dengan kemungkinan tindakan ketenteraan atas dakwaan “pembunuhan orang Kristian”, berita Anadolu melaporkan.

    “Jika Kerajaan Nigeria terus membenarkan pembunuhan orang Kristian, AS akan segera menghentikan semua bantuan dan pertolongan kepada Nigeria, dan mungkin akan menyerang negara yang kini terhina itu, ‘serangan senjata api’,” Trump dilaporkan menulis di platform Truth Social.

    Ancaman itu datang sehari selepas dia mendakwa bahawa agama Kristian menghadapi “ancaman kewujudan” di Nigeria dan menuduh “Islamis radikal” bertanggungjawab atas “pembunuhan beramai-ramai”.

    “Saya dengan ini mengarahkan Jabatan Perang kami untuk bersedia bagi kemungkinan tindakan. Jika kami menyerang, ia akan menjadi pantas, ganas, dan manis, sama seperti samseng pengganas menyerang orang Kristian kami yang DIHARGAI!” kata Trump.

    Dia memberi amaran kepada kerajaan Nigeria untuk “bergerak pantas”.

    Kenyataannya dilaporkan menggemakan retorik daripada penggubal undang-undang sayap kanan yang menggambarkan konflik ganas Nigeria sebagai serangan oleh Islamis radikal terhadap orang Kristian, yang menurut pakar pencirian adalah mengelirukan kerana pergolakan itu tidak boleh dikurangkan kepada agama sahaja, Anadolu memetik rangkaian berita Al Jazeera.

  • 21 maut, 30 hilang dalam tanah runtuh di Kenya

    Kejadian tanah runtuh melanda barat Kenya mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang, mencederakan berpuluh-puluh lagi, dan menyebabkan lebih 30 orang hilang, lapor Anadolu memetik seorang pegawai tempatan.

    Tanah runtuh itu dilaporkan berlaku awal Sabtu di kawasan Marakwet Timur, yang sedang melalui musim hujan.

    “Kami telah mengesahkan kehilangan 21 orang dalam tragedi ini, manakala lebih 30 orang masih belum dikenal pasti seperti yang dilaporkan oleh keluarga mereka,” Menteri Dalam Negeri Kenya, Kipchumba Murkomen dilaporkan sebagai berkata dalam satu catatan di X.

    Dua puluh lima orang yang mengalami kecederaan parah telah diterbangkan ke sebuah hospital di Eldoret untuk rawatan, manakala yang lain mengalami luka ringan telah dirawat di kawasan tempatan, tambah Murkomen.

    Usaha mencari dan menyelamat akan disambung semula pada Ahad, kata menteri itu.

    “Kami sedang berusaha dengan segera untuk menyelaraskan usaha menyelamat, menghulurkan bantuan kemanusiaan, dan menyokong keluarga yang terjejas oleh bencana tanah runtuh Marakwet Timur,” katanya.

    Menteri itu juga menggesa penduduk yang tinggal dekat sungai bermusim atau di kawasan di mana tanah runtuh berlaku untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

  • 2 ditangkap selepas berbilang mangsa ditikam dalam tren UK

    Dua orang ditangkap selepas berbilang mangsa ditikam di dalam kereta api, kata Polis Pengangkutan British (BTP) pada Sabtu, berita Anadolu melaporkan.

    “Kami sedang memberi respons kepada satu kejadian di dalam kereta api ke Huntingdon di mana berbilang orang telah ditikam,” BTP dilaporkan sebagai berkata di X.

    Ia menambah bahawa pegawai sedang bertugas bersama polis Cambridgeshire.

    Dalam satu kenyataan kepada media, polis Cambridgeshire dilaporkan berkata, mereka telah dihubungi pada jam 7.39 malam GMT dengan laporan bahawa berbilang orang telah ditikam di dalam kereta api.

    “Beberapa orang telah dibawa ke hospital,” kata polis.