Pasukan Israel berkata unit Perintah Barisan Dalam Negeri mereka beroperasi di lokasi impak peluru berpandu di tengah Israel, di mana pejuang dan pasukan penyelamat sedang menjalankan pencarian meluas untuk mencari dan membebaskan orang yang terperangkap di bawah runtuhan, lapor Aljazeera dalam kemas kininya.
Komander Perintah Barisan Dalam Negeri, Mejar Jeneral Shai Klapper dilapor berkata insiden itu melibatkan kematian seorang awam akibat apa yang digambarkannya sebagai serangan peluru berpandu Iran.
“Ini adalah insiden malang di mana seorang awam terbunuh oleh serangan peluru berpandu Iran. Kami sedang mengkaji insiden itu,” kata Klapper, menurut kenyataan itu, seperti dilaporkan Aljazeera.
Dia menambah bahawa pasukan di lapangan telah menumpukan pada menyelamatkan mereka yang terperangkap dan menyelamatkan nyawa.
“Hari-hari yang kompleks menanti. Misi anda adalah untuk tiba dengan cepat di tempat kejadian dan menyelamatkan nyawa,” dia dilapor berkata.
Gabenor Minab, sebuah bandar di selatan Iran, mengumumkan jumlah kematian akibat pengeboman AS-Israel di sebuah sekolah di bandar itu telah meningkat kepada 115 orang, lapor Aljazeera dalam kemas kininya.
Agensi lapangan terbang berkata insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed “mengakibatkan seorang warga Asia meninggal dunia dan tujuh cedera”, menurut kemas kini Aljazeera, ia tidak memberikan butiran lanjut.
Ia seterusnya menggesa orang ramai “supaya tidak menyebarkan khabar angin dan maklumat palsu”.
Sistem pertahanan udara Bahrain memintas gelombang baharu peluru berpandu balistik Iran awal Ahad, menurut Pusat Komunikasi Kebangsaan Bahrain, lapor Anadolu.
Menurut Anadolu, dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Agensi Berita Bahrain, pusat itu berkata bahawa di tengah-tengah “serangan peluru berpandu Iran yang bermusuhan” yang berterusan di wilayah kerajaan itu, unit pertahanan udara Pasukan Pertahanan Bahrain bertindak dengan kecekapan tinggi dan kewaspadaan penuh untuk memintas dan menentang gelombang baharu peluru berpandu balistik bermusuhan dengan jayanya.
Serpihan terhad daripada pintasan itu dikesan di beberapa kawasan, tambahnya.
Pusat itu menyifatkan serangan itu sebagai “pelanggaran terang-terangan” terhadap kedaulatan dan keselamatan Bahrain, dengan mengatakan ia tidak akan menghalang kerajaan daripada mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi wilayahnya dan menjaga keselamatan dan kestabilannya.
Ia menekankan bahawa keselamatan rakyat dan penduduk kekal menjadi keutamaan.
Terdahulu pada Sabtu, Pemerintah Am Pasukan Pertahanan Bahrain berkata sistem pertahanan udara telah berkesan menentang “serangan bermusuhan” tambahan dari Iran, mengesahkan bahawa “keadaan adalah selamat sepenuhnya dan terkawal sepenuhnya” dan tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.
Kementerian Dalam Negeri berkata siren telah diaktifkan, dan ia menggesa rakyat dan penduduk untuk pergi ke lokasi selamat terdekat.
Ia juga melaporkan bahawa bangunan di ibu negara, Manama, dan bandar Muharraq telah disasarkan oleh dron dan serpihan peluru berpandu, tanpa menyatakan pihak yang bertanggungjawab.
AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran awal Sabtu, mendakwa ia bertujuan untuk menghapuskan “ancaman” yang ditimbulkan oleh “rejim” Iran. Sebagai tindak balas, Iran menyasarkan Israel dan pangkalan AS di rantau itu dengan peluru berpandu dan dron.
Pemandangan kebakaran yang berlaku di sebuah bangunan disasarkan di Manama, ibu negara Bahrain, pada 28 Februari 2026 – ANADOLU.
Pihak berkuasa Dubai mengesahkan sebuah dron telah dipintas dan serpihannya menyebabkan kebakaran terhad di bahagian luar hotel ikonik Burj Al Arab di Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor berita Xinhua.
Menurut Xinhua, pejabat media Dubai berkata bahawa pasukan pertahanan awam dapat mengawal kejadian itu tanpa sebarang kecederaan yang dilaporkan.
Aljazeera dalam kemas kininya memetik laporan agensi berita Mizan, memetik Pejabat Pendakwa Raya Minab, melaporkan bahawa jumlah korban di sekolah rendah perempuan Shajareh Tayyebeh di Minab telah mencecah 108 orang.
Seorang meninggal dunia selepas mengalami kecederaan dalam serangan Iran ke atas Tel Aviv, lapor Aljazeera dalam kemas kininya memetik laporan media Israel.
Dua puluh orang lagi cedera, dengan seorang lagi dalam keadaan kritikal.
Sementara itu, menurut Aljazeera, Perintah Barisan Dalam Negeri Israel mengatakan siren telah diaktifkan di bandar Eilat selepas penyusupan dron dikesan.
Bandar itu terletak di hujung selatan Israel yang sempit, diapit di antara Jordan dan Mesir, kira-kira 50km (31 batu) dari Arab Saudi.
“Lapangan Terbang Dubai mengesahkan bahawa sebuah ruang legar di Antarabangsa Dubai (DXB) mengalami kerosakan kecil dalam satu insiden, yang segera dikawal”, kata Pejabat Media Dubai di X, lapor Aljazeera dalam kemas kininya.
Empat orang cedera dan menerima rawatan perubatan, katanya.
“Disebabkan pelan kontingensi yang sedia ada, kebanyakan terminal sebelum ini telah dikosongkan daripada penumpang”.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata pada Sabtu, ia menembak jatuh 132 peluru berpandu balistik Iran dan memintas 195 dron sejak permulaan serangan ke atas wilayahnya, lapor Anadolu.
Kementerian Pertahanan dilapor berkata, 137 peluru berpandu dikesan, dengan lima jatuh ke laut, manakala 209 dron dikesan, termasuk 14 yang mendarat di wilayah atau perairan UAE, menyebabkan kerosakan cagaran yang terhad.
Menurut kementerian itu, serpihan yang jatuh mengakibatkan kerosakan bahan kecil di beberapa kawasan awam, sambil menambah bahawa pihak berkuasa telah mengamankan tapak terjejas dan masih dalam keadaan berjaga-jaga tinggi.
Ia menyifatkan serangan itu sebagai peningkatan yang berbahaya dan berkata UAE berhak untuk bertindak balas dan mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi kedaulatan dan keselamatannya.
Serangan ke atas UAE itu susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran awal Sabtu.
Sekurang-kurangnya 21 orang cedera, salah seorang daripadanya parah, selepas peluru berpandu Iran melanda Tel Aviv pada Sabtu, ketika letupan bergema di seluruh bandar semasa gelombang pelancaran baharu dari Iran, berita Anadolu memetik laporan akhbar harian Yedioth Ahronoth.
Menurut Anadolu, seorang wartawannya melaporkan letupan besar di bandar itu susulan serangan itu, manakala letupan besar juga kedengaran di Tel Aviv dan siren serangan udara dibunyikan di Baitulmaqdis.
Tentera Israel berkata ia mengesan rentetan peluru berpandu baharu yang dilancarkan dari Iran dan menggesa penduduk untuk berpindah ke kawasan perlindungan, menurut satu kenyataan.
Wartawan Israel mengedarkan rakaman yang menunjukkan kerosakan yang meluas dan kebakaran besar di Tel Aviv susulan serangan itu, di tengah-tengah penapisan berat mengenai kerugian dan tapak yang terjejas, lapor Anadolu memetik seorang wartawannya.
Pada pagi Sabtu, AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran, mendakwa ia bertujuan untuk menghapuskan “ancaman” yang ditimbulkan oleh “rejim” Iran. Sebagai tindak balas, Iran menyasarkan pangkalan Israel dan AS di rantau itu dengan peluru berpandu dan dron.
Israel mengisytiharkan “darurat khas dan segera” di seluruh negara.
Jabatan Negara mengeluarkan amaran keselamatan global pada Sabtu yang menggesa rakyat Amerika untuk meningkatkan langkah berjaga-jaga susulan serangan AS terhadap Iran, lapor Anadolu.
Jabatan itu menasihati rakyat Amerika di seluruh dunia, terutama mereka yang berada di Timur Tengah, untuk memantau dengan teliti panduan dikeluarkan oleh misi diplomatik AS.
“Berikutan pelancaran operasi tempur AS di Iran, rakyat Amerika di seluruh dunia dan terutama di Timur Tengah harus mengikuti panduan dalam amaran keselamatan terkini yang dikeluarkan oleh kedutaan atau konsulat AS terdekat,” ia dilapor sebagai berkata.
Perhubungan Awam Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengumumkan gelombang ketiga dan keempat Operasi Janji Sejati 4 telah bermula sebagai reaksi terhadap pencerobohan AS-Israel yang dikenakan terhadap Republik Islam pada Sabtu di tengah-tengah rundingan nuklear Tehran-Washington yang dimediasi oleh Oman, lapor IRNA.
Perhubungan Awam IRGC mengumumkan dalam kenyataan ketiganya pada awal Ahad bahawa operasi itu terus menyasarkan sasaran ketenteraan dan keselamatan rejim Zionis dan AS yang meluas dengan peluru berpandu lebih canggih daripada yang digunakan dalam Janji Sejati 3, memberikan serangan yang lebih tepat dan dahsyat.
Pasukan IRGC bersedia sepenuhnya untuk menyasarkan kedudukan musuh tetap dan mudah alih di rantau itu dengan peluru berpandu dan dron Iran, lapor IRNA memetik kenyataan itu.
Terdahulu, Perhubungan Awam IRGC mengumumkan pada petang Sabtu bahawa kapal Amerika, MST, telah diserang teruk oleh peluru berpandu Tentera Laut Iran.
AS dan Israel melancarkan serangan udara ke atas bandar-bandar di 24 wilayah di seluruh Iran, hanya dua hari sebelum rundingan yang dirancang di Vienna mengenai program nuklear Iran.
Lebih 100,000 rakyat Israel terkandas di luar negara selepas Israel menutup ruang udaranya, ketika pihak berkuasa bersiap sedia untuk kemungkinan tindakan balas Iran akibat serangan udara, menurut berita Anadolu memetik laporan Hebrew Channel 12 pada Sabtu,
Penyiar itu dilapor berkata, Lapangan Terbang Ben Gurion dekat Tel Aviv ditutup kepada lalu lintas awam sehingga diberitahu kelak, dengan semua penerbangan masuk dan keluar digantung.
Ia menambah bahawa lintasan darat kekal sebagai satu-satunya pilihan yang tersedia untuk kembali ke Israel.
Majlis Keselamatan Negara juga telah memberi amaran kemungkinan serangan balas terhadap sasaran Israel di beberapa negara, selepas Washington dan Tel Aviv melancarkan serangan terhadap Iran awal Sabtu.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, berkata pada Sabtu bahawa Pemimpin Agung Ali Khamenei dan Presiden Masoud Pezeshkian selamat, menolak dakwaan bahawa mereka telah terbunuh dalam serangan oleh AS dan Israel, lapor Anadolu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebelum ini mendakwa terdapat pelbagai petunjuk bahawa Khamenei telah terbunuh dalam serangan terbabit.
Gempa bumi berukuran 5.8 magnitud menggegarkan Mindanao, Filipina, pada 1722 GMT Sabtu, kata Pusat Penyelidikan Geosains Jerman GFZ, menurut berita Xinhua.
Pusat gempa, dengan kedalaman 10 km, pada mulanya ditentukan berada pada 5.15 darjah latitud utara dan 126.09 darjah longitud timur.
Enam orang maut pada petang Sabtu di daerah Nandi, barat laut Kenya selepas sebuah helikopter komersial terhempas, kata pegawai tempatan, lapor Xinhua.
Speaker parlimen Kenya, Moses Wetang’ula, mengesahkan kematian penggubal undang-undang Johana Ng’eno dalam kemalangan itu.
Menurut media tempatan, helikopter itu telah cuba melakukan pendaratan cemas sebelum terbakar di tengah-tengah cuaca berkabus dan jarak penglihatan lemah.
Jumlah kematian akibat nahas pesawat di bandar El Alto, Bolivia pada Jumaat meningkat kepada 22 orang, termasuk empat kanak-kanak, Menteri Kesihatan Marcela Flores mengesahkan pada Sabtu, lapor Xinhua.
Flores dilapor berkata, 37 orang cedera, dengan beberapa orang dalam keadaan serius, dan semuanya telah dipindahkan ke pusat perubatan awam dan swasta di El Alto dan La Paz.
Kemalangan itu berlaku pada malam Jumaat apabila pesawat tentera Hercules C-130 Tentera Udara Bolivia tergelincir dari landasan sebaik sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa El Alto dan berlanggar dengan jalan awam, lapor Xinhua, berpuluh-puluh orang cedera dan kira-kira 20 kenderaan, termasuk pengangkutan awam, musnah.
Pesawat itu, yang tiba dari Santa Cruz, sedang mengangkut berjuta-juta dolar wang tunai dari Bank Pusat Bolivia. Rakaman dari tempat kejadian menunjukkan pesawat yang musnah, dengan kotak dan wang kertas yang dibuka berselerak di sekitar lokasi nahas. Beberapa orang ditahan kerana didakwa cuba mengambil wang berkenaan.
Abdullah Khalifa Al-Muftah, ketua perhubungan awam di Kementerian Dalam Negeri Qatar, berkata lapan orang cedera akibat serpihan peluru berpandu yang jatuh, salah seorang daripadanya parah, lapor Aljazeera dalam kemas kininya.
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, dia dilapor berkata, 66 peluru berpandu telah ditembak ke Qatar.
Menurutnya, terdapat 114 laporan serpihan jatuh di seluruh negara.
Ibrahim Sultan Al-Hashemi, ketua perhubungan awam di Kementerian Luar Negeri, dilapor berkata tindakan Iran yang berulang kali menyasarkan Qatar adalah satu tindakan melulu dan tidak bertanggungjawab yang bercanggah dengan prinsip kejiranan baik.
Pangkalan Tentera Laut Mohammed Al-Ahmad Kuwait disasarkan oleh dron pada Sabtu, ketika pertahanan udara berjaya memintas dan meneutralkan ancaman terbabit, kata tentera Kuwait, menurut berita Anadolu.
Dalam satu kenyataan di X, jurucakap Kementerian Pertahanan berkata, pangkalan tentera laut itu disasarkan oleh kenderaan udara tanpa pemandu, sambil menambah bahawa pasukan pertahanan udara Kuwait menangani ancaman itu “dengan jayanya” melindungi ruang udaranya dan menjaga kedaulatan, menurut Anadolu.
Jurucakap itu dilapor berkata, pemintasan itu dijalankan mengikut pelan dan prosedur operasi diluluskan, mencerminkan tahap kesediaan dan keupayaan unit pertahanan udara yang tinggi dan penyelarasan antara pelbagai cabang angkatan tentera.
Insiden itu berlaku ketika lima negara Arab yang menjadi tuan rumah pangkalan tentera AS – Qatar, Bahrain, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu dan Jordan – melaporkan letupan dan pemintasan peluru berpandu pada Sabtu di tengah serangan berterusan Israel dan AS ke atas Iran.
Pada pagi Sabtu, AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran, mendakwa ia bertujuan untuk menghapuskan “ancaman” yang ditimbulkan oleh “rejim Iran”. Sebagai tindak balas, Iran menyasarkan Israel dan pangkalan AS di rantau itu dengan peluru berpandu dan dron.