Beratus-ratus penerbangan dibatalkan atau ditangguhkan pada Isnin kerana jerebu tebal menyelimuti wilayah ibu kota India dan pinggirnya, kata pegawai, menurut Xinhua.
Xinhua melaporkan, akhbar tempatan The New Indian Express berkata disebabkan oleh jarak penglihatan yang kurang baik, Indigo telah mengumumkan pembatalan 109 penerbangan, manakala Air India telah membatalkan 37 penerbangan. Air India Express telah mengumumkan bahawa 20 penerbangan telah terjejas di seluruh rangkaiannya di Utara India.
Menurut Xinhua, sebuah lagi akhbar Hindustan Times berkata 400 penerbangan ditangguhkan kerana jarak penglihatan yang rendah kerana jerebu tebal meliputi wilayah ibu kota.
Sementara itu, Indeks Kualiti Udara (AQI) purata Delhi berada pada 498, berada dalam lingkungan kategori teruk yang lebih tinggi.
Kerajaan Delhi telah menggesa penduduk, terutama kanak-kanak dan mereka yang mempunyai penyakit pernafasan atau jantung, untuk tinggal di dalam rumah dan menggunakan pelitup muka jika keluar.
Aktiviti perindustrian dan lalu lintas merupakan penyumbang penting kepada pencemaran udara di bandar ini, bersama-sama dengan pembinaan yang berleluasa. Pencemaran udara terus bertambah buruk semasa musim sejuk.
















































