Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 15 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak akan dibayar pada 13 Mac, menurut berita disiarkan BH Online, memetik BERNAMA.
Menurut laporan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam dalam kenyataan menerusi laman rasmi Facebook hari ini memaklumkan bantuan itu bagi membantu penjawat awam dan pesara membuat persiapan menjelang perayaan Aidilfitri.
Menurut kenyataan itu, lapor BH Online, BKK akan turut dipanjangkan kepada pesara kerajaan, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen dengan bayaran RM250.
“BKK ini akan menjadi tanggungan jabatan di mana pegawai berkhidmat pada tarikh pembayaran tersebut.
“Pemberian BKK ini akan dikecualikan daripada cukai pendapatan selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967,” menurut kenyataan itu, seperti dilaporkan BH Online.
Menurut laporan itu, pemberian BKK diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lalu.
















































