Amerika Syarikat (AS) merancang untuk membina pangkalan tentera bernilai $500 juta di Israel dekat sempadan Gaza untuk menyelia pelaksanaan perjanjian gencatan senjata di kawasan Palestin, lapor Anadolu memetik media Israel pada Selasa.
Menurut Anadolu, akhbar harian Yedioth Ahronoth, memetik pegawai Israel yang tidak dikenali, berkata Washington berusaha untuk menubuhkan pangkalan tentera yang besar di kawasan sempadan Gaza, yang akan menandakan “peningkatan ketara aktiviti AS di Israel”.
Pangkalan itu akan menempatkan pasukan petugas antarabangsa, yang telah dipersetujui untuk dibentuk di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza untuk memantau pelaksanaan gencatan senjata di dalam kawasan terbabit, sumber itu dilapor berkata.
Beberapa ribu tentera AS akan ditempatkan di pangkalan itu, sumber itu dilaporkan berkata.
Anadolu melaporkan, menurut akhbar itu, projek itu akan menjadi “pasukan tentera Amerika berskala besar pertama di wilayah Israel, yang menggariskan komitmen AS yang semakin mendalam terhadap usaha penstabilan pasca perang di Gaza”.
Semasa perang Tel Aviv selama dua tahun di Gaza, AS telah memasang sistem pertahanan peluru berpandu THAAD, yang digunakan dalam pemintasan peluru berpandu dan dron Iran semasa konflik 12 hari dengan Israel, tambahnya.
“Penubuhan pangkalan Amerika di tanah Israel menunjukkan betapa bertekadnya Washington untuk terlibat di Gaza dan konflik Israel-Palestin yang lebih luas,” kata seorang pegawai Israel kepada akhbar harian itu, menurut Anadolu.
Anadolu melaporkan, beberapa pegawai AS, termasuk Naib Presiden JD Vance, sebelum ini mengesahkan “tidak akan ada pasukan Amerika di lapangan di Gaza”.
Dilaporkan, pada masa ini, 200 anggota tentera AS ditempatkan di Pusat Penyelarasan Awam-Ketenteraan (CMCC) yang disokong AS di Kiryat Gat di selatan Israel untuk memantau gencatan senjata.
Anadolu melaporkan, menurut pegawai Israel, pusat yang diketuai AS itu dijangka akan mengambil alih sepenuhnya pengagihan bantuan kemanusiaan di Gaza, tidak termasuk mekanisme COGAT Israel.
Akhbar Israel itu, lapor Anadolu, tidak menyatakan lokasi sebenar kemudahan yang dirancang sambil menunjukkan bahawa tinjauan sedang dijalankan di lokasi yang mungkin.

















































