Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini mengerahkan sejumlah besar jet pejuang dan pesawat pengangkut ke Pangkalan Udara Muwaffaq Salti di Jordan, menandakan peningkatan ketara berbanding tahap pengerahan biasa pangkalan itu, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan pada Sabtu.
Pengerahan itu dijalankan mengikut perjanjian pertahanan yang ditandatangani antara Jordan dan AS di Amman pada 2021, Xinhua memetik laporan Royal News, memetik beberapa pegawai Jordan yang tidak dinamakan.
Para pegawai melahirkan harapan bahawa rundingan berterusan antara AS dan Iran akan menghasilkan persetujuan dan membantu mencegah tercetusnya perang di rantau itu.
Menurut Xinhua, secara berasingan, The New York Times (NYT) baru-baru ini melaporkan bahawa imej satelit yang diambil pada 20 Februari menunjukkan AS telah mengerahkan lebih daripada 60 jet pejuang di pangkalan udara Jordan, kira-kira tiga kali ganda jumlah yang biasanya ditempatkan di kemudahan itu.
Laporan itu, menurut Xinhua, menambah bahawa imej satelit menunjukkan kehadiran model pesawat yang lebih canggih daripada yang diperhatikan sebelum ini di pangkalan itu, termasuk jet pejuang halimunan F-35. Di samping itu, sistem pertahanan udara baharu telah dipasang.
Data pengesanan penerbangan juga menunjukkan sekurang-kurangnya 68 pesawat pengangkutan mendarat di pangkalan itu sepanjang minggu lalu, Xinhua memetik NYT.
Terletak kira-kira 100 km timur laut Amman, ibu negara Jordan, Muwaffaq Salti dianggap sebagai salah satu pangkalan tentera utama AS di Timur Tengah.
Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak antara Tehran dan Washington, dan menyusuli dua pusingan rundingan nuklear tidak langsung antara kedua-dua pihak bulan ini, dengan yang pertama di Muscat pada 6 Februari dan yang kedua di Geneva pada 17 Februari.
















































