Jumlah kematian akibat sebuah kapal yang membawa ratusan penumpang karam di Filipina meningkat kepada 28 orang, dengan 10 orang hilang, menurut berita Anadolu memetik laporan media pada Selasa, memetik pihak berkuasa.
Jabatan Pengangkutan mengarahkan penggantungan seluruh armada penumpang Aleson Shipping Lines, pemilik M/V Trisha Kerstin 3 yang karam, Anadolu memetik Manila Times.
Pemangku Setiausaha Giovanni Lopez berkata operasi mencari dan menyelamat diteruskan ketika pihak berkuasa melancarkan siasatan.
Lopez menyatakan bahawa kapal itu mempunyai 317 penumpang dan 27 kru yang disenaraikan di atasnya, tetapi hampir 50 penumpang yang bertiket tidak berada di atas kapal semasa pelayaran.
Pihak berkuasa masih mencari lapan kru, kapten kapal, dan seorang marshal Pengawal Pantai Filipina (PCG).
M/V Trisha Kerstin 3 sedang dalam perjalanan ke Pulau Jolo di wilayah Sulu sebelum ia tenggelam di perairan Pulau Baluk-Baluk, Basilan.
Kapal itu mengeluarkan isyarat kecemasan sekitar jam 1.50 pagi (1750GMT) Ahad, empat jam selepas ia berlepas dari Pelabuhan Bandar Zamboanga di hujung barat daya Mindanao.
Filipina, yang terdiri daripada 7,000 pulau, mempunyai sejarah panjang kemalangan feri yang membawa maut akibat bot dan kapal yang murah dan tidak dikawal selia dengan baik.
















































