Saif al-Islam Gaddafi, anak lelaki bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi, dilaporkan terbunuh semasa pertempuran bersenjata di kawasan Al-Hamadah di barat daya Libya, menurut berita Xinhua memetik media tempatan pada Selasa.
Menurut berita Xinhua, Abdullah Othman, penasihat Saif al-Islam dan ketua pasukan politiknya, mengumumkan kematian itu dalam satu catatan di Facebook tetapi tidak memberikan butiran mengenai masa atau keadaannya.
Menurut Xinhua, Al Arabiya milik Saudi melaporkan Saif al-Islam ditembak oleh empat penyerang yang melarikan diri selepas melepaskan tembakan ke arahnya di tamannya.
Bagaimanapun, Xinhua mengatakan, laporan itu tidak dapat disahkan secara bebas.
Saif al-Islam, anak lelaki kedua bekas pemimpin Libya itu, kekal sebagai tokoh politik terkemuka sejak kejatuhan pemerintahan bapanya dalam pemberontakan yang disokong NATO pada 2011.
Menurut laporan Anadolu, peguamnya Khaled al-Zaidi dan penasihatnya Abdullah Osman pada petang Selasa berkata, Saif al-Islam, terbunuh di bandar Zintan di barat Libya.
Media Libya melaporkan pembunuhan itu berlaku di kediamannya dan dilakukan oleh empat individu yang tidak dikenali, sambil menambah bahawa kamera pengawasan di lokasi itu telah dilumpuhkan sebelum serangan itu, lapor Anadolu.
Pejabat Peguam Negara Libya telah membuka siasatan terhadap pembunuhan itu, Anadolu memetik media tempatan.
Sementara itu, Briged Tempur 444 “sepenuhnya” menafikan sebarang penglibatan dalam insiden itu, lapor Anadolu.
Bagaimanapun, menurut Anadolu, butiran mengenai pembunuhan itu masih tidak jelas, dan pihak berkuasa Libya belum mengeluarkan pengesahan rasmi.

















































