Pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei, berkata pada Jumaat, barisan hadapan negara itu jauh lebih kuat daripada yang disangkakan oleh “musuh-musuhnya”, menuduh mereka salah mengira kekuatan dalaman Iran, lapor Anadolu.
Dalam mesej bertulis yang menandakan permulaan Tahun Baru Parsi (Nowruz), Khamenei berkata perang bermula selepas musuh hilang harapan untuk mencetuskan pemberontakan rakyat di dalam Iran.
Dia berkata, pihak musuh percaya membunuh pemimpin tertinggi dan tokoh tentera akan mewujudkan ketakutan dan keputusasaan dalam kalangan penduduk dan membawa kepada keruntuhan sistem politik.
Namun, Khamenei berkata rakyat Iran membentuk apa yang digambarkannya sebagai “barisan pertahanan yang luas” di seluruh negara, yang menggagalkan rancangan terbabit.
Dia juga menyeru media Iran supaya mengelak daripada memberi tumpuan kepada kelemahan dalaman, memberi amaran bahawa operasi media yang bermusuhan bertujuan untuk melemahkan perpaduan negara.
Khamenei mengisytiharkan slogan untuk tahun baharu Parsi sebagai “ekonomi penentangan di bawah perpaduan negara dan keselamatan negara”.
Dia juga berkata, serangan yang menyasarkan Turkiye dan Oman tidak dilakukan oleh Iran atau sekutunya, menuduh Israel cuba memecahbelahkan Iran dan negara-negara jirannya.
Ketegangan serantau telah meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb.
























